Tuesday, 19 Mar 2024
You are here: Home Sewa Beli
Info Pengguna - Sewa Beli PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 13 August 2009 16:54
PENGENALAN
Sewa beli adalah salah satu kaedah yang paling kerap diamalkan oleh orang ramai untuk memiliki kereta. Sebelum memasuki sesuatu perjanjian sewa beli bagi kereta persendirian, ada baiknya anda menatap halaman ini untuk lebih mendalami hal-hal yang berkaitan dengannya. Memahami langkah-langkah yang terlibat di dalam pembiayaan sewa beli boleh membantu anda menjimatkan masa dan mengelakkan keraguan dan keresahan.

Halaman ini juga menyediakan panduan asas kepada anda dan menghuraikan istilah teknikal di samping memberikan tip-tip yang berguna untuk memohon pembiayaan sewa beli.


APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN SEWA BELI (SB)?
Sewa beli ialah aktiviti menyewa barangan dengan opsyen untuk membeli barangan tersebut. Anda adalah penyewa dan syarikat yang membiayai barang-barang tersebut adalah pembiaya dan juga pemilik. Hak milik hanya akan berpindah kepada penyewa selepas semua ansuran dijelaskan. Sementara itu, anda boleh membawa pulang barangan tersebut untuk digunakan.

DI MANAKAH BOLEH DAPAT PEMBIAYAAN?
Anda boleh memohon pembiayaan SB daripada syarikat kewangan.

JENIS BARANGAN YANG BOLEH DIPEROLEHI SECARA SB
Pelbagai barangan boleh diperolehi secara SB, termasuk:
  • Semua barangan pengguna yang diperolehi untuk kegunaan peribadi, keluarga atau isi rumah
  • Kenderaan bermotor termasuk kenderaan orang sakit, motosikal, motokar (termasuk teksi dan kereta sewa), kenderaan barangan dan bas

Walau bagaimanapun, panduan untuk tatapan pengguna ini adalah diterbitkan khusus untuk SB kenderaan bermotor milik persendirian.

DARI SUDUT UNDANG-UNDANG- AKTA SEWA BELI 1967
Semua transaksi SB adalah dikawal oleh Akta Sewa Beli 1967 (Akta SB). Butir-butir dan syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian SB, hak di sisi undang-undang, tanggungjawab dan tugas penyewa serta pembiaya ada diterangkan di dalam Akta SB. Akta SB ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

DARI SUDUT KEMAMPUAN
Sebelum memasuki perjanjian untuk membeli kenderaan bermotor melalui SB, pastikan dahulu berapa yang anda mampu untuk bayar melalui ansuran bulanan supaya tidak lari daripada bajet. Sebagai panduan, bayaran ansuran bulanan untuk rumah dan kenderaan bermotor hendaklah tidak melebihi 33% daripada pendapatan bulanan rumah. Anda juga perlu menyediakan peruntukan tambahan untuk insurans dan cukai jalan. Adalah juga mustahak anda meneliti segala kewajipan dan tanggungjawab anda, termasuk penalti yang mungkin akan dikenakan sebelum menandatangani perjanjian SB.

BERURUSAN DENGAN SYARIKAT KEWANGAN:
Perjanjian SB boleh dirunding secara terus dengan syarikat kewangan atau melalui pengedar kenderaan bermotor yang akan mengemukakan permohonan pembiayaan anda kepada syarikat kewangan.

  • Sekiranya anda berurusan secara terus dengan syarikat kewangan, anda akan diberi penyata kewangan bertulis yang dikenali sebagai Jadual Kedua Bahagian I. Penyata ini akan menerangkan tanggungjawab kewangan anda di bawah perjanjian SB yang dicadangkan
  • Sekiranya anda berurusan melalui pengedar kenderaan bermotor, di samping Jadual Kedua Bahagian I, anda akan menerima penyata tambahan yang dikenali sebagai Jadual Kedua Bahagian II yang menyatakan persetujuan syarikat kewangan untuk menjadi salah satu pihak kepada perjanjian tersebut. Bahagian ini hendaklah ditandatangani oleh pengedar dan syarikat kewangan selepas anda menerima Bahagian I Jadual Kedua
  • Anda tidak boleh dipaksa untuk memasuki perjanjian SB ataupun dikehendaki menjelaskan kos menyediakan dan mendapatkan Jadual Kedua sekiranya anda tidak bersetuju untuk menandatangani perjanjian SB tersebut
  • Anda tidak tertakluk kepada terma dan syarat-syarat penyata Jadual Kedua (Bahagian I dan II) selagi anda tidak memasuki perjanjian SB tersebut
  • Sekiranya anda bersetuju untuk menyewa kenderaan bermotor tersebut selepas menerima penyata Jadual Kedua (Bahagian I dan II), satu perjanjian SB akan dibuat di antara anda dan syarikat kewangan



PERJANJIAN SB
Perjanjian SB seharusnya mengandungi maklumat-maklumat penting berikut:
  • Perihal kenderaan bermotor yang dibiayai
  • Pengiraan jumlah yang perlu dibayar
  • Deposit minimum
  • Caj terma dan Kadar Peratus Tahunan untuk caj terma
  • Caj lewat bayar
  • Tarikh permulaan sewa
  • Bilangan ansuran bulanan
  • Jumlah ansuran bulanan
  • Kepada siapa, bila dan di mana pembayaran ansuran bulanan perlu dibuat
  • Alamat di mana kenderaan bermotor biasanya disimpan


Anda hendaklah memastikan bahawa butir-butir yang terkandung di dalam perjanjian adalah sama dengan butir-butir yang terdapat di penyata Jadual Kedua

Perjanjian tersebut akan disetemkan pada kadar nominal atas tanggungan anda

Anda tidak memerlukan khidmat peguam untuk memasuki sebarang perjanjian SB

DEPOSIT MINIMUM
Deposit minimum ialah 10% daripada harga tunai kenderaan bermotor. Walau bagaimanapun, syarikat kewangan boleh mengenakan deposit yang lebih tinggi.

CAJ TERMA (KADAR FAEDAH)
Caj terma maksimum yang boleh dikenakan oleh syarikat kewangan ialah pada kadar sama rata sebanyak 10% setahun. Kadar peratusan sama rata ini dikenakan sepanjang tempoh SB. Sekiranya anda dikenakan kadar faedah sama rata sebanyak 10% sepanjang tempoh 5 tahun untuk pembiayaan SB sebanyak RM50,000, kadar peratus tahunan yang anda bayar ialah 17.3%.

CAJ LEWAT BAYAR
Caj lewat bayar maksimum yang boleh dikenakan oleh syarikat kewangan ialah 8% setahun dikira berasaskan baki harian ke atas ansuran yang tertunggak.

PENJAMIN
Syarikat kewangan akan membuat penilaian kredit ke atas pemohon kemudahan SB. Berdasarkan kepada keputusan penilaian kredit tersebut, syarikat kewangan mungkin memerlukan penjamin untuk kemudahan SB sebagai cagaran tambahan kepada kemudahan SB tersebut. Penjamin dikehendaki menandatangani surat jaminan. Penjamin akan menerima sesalinan perjanjian SB dan menanggung liabiliti ke atas kemudahan SB tersebut. Sekiranya penyewa ingkar membuat pembayaran, penjamin bertanggungjawab untuk menjelaskan jumlah yang tertunggak bagi kemudahan SB ini, termasuk faedah tertunggak.

PENGIRAAN CAJ TERMA
Caj terma, iaitu faedah, adalah dikira seperti di bawah. Contohnya, sekiranya anda mengambil pembiayaan sebanyak RM50,000 pada kadar 10% setahun selama lima tahun.

Image 

 

 

Faedah ke atas pembiayaan SB dikira berasaskan jumlah pembiayaan permulaan dan bukannya berasaskan baki belum jelas sebagaimana pinjaman lain.

PENGIRAAN ANSURAN SB
Menggunakan contoh tadi,
Image


INSURANS
  • Syarikat kewangan bertanggungjawab menginsuranskan kenderaan bermotor di bawah nama anda untuk tahun pertama sahaja. Untuk tahun-tahun yang berikutnya, adalah tanggungjawab anda sebagai penyewa untuk memperbaharui polisi insurans
  • Sekiranya anda gagal untuk memperbaharui polisi, syarikat kewangan akan menginsuranskan kenderaan bermotor anda dan mengenakan sebarang kos berkaitan ke atas anda
  • Sesalinan resit insurans akan diserahkan kepada anda
  • Mengikut amalan biasa, polisi insurans yang diperlukan oleh syarikat kewangan ialah yang bersifat komprehensif



PENYERAHAN PERJANJIAN SB
Anda dan penjamin (jika ada) akan diberi sesalinan perjanjian SB dalam masa 14 hari selepas perjanjian dimeterai.

PENYELESAIAN AWAL
Anda boleh memilih untuk menyelesaikan lebih awal baki hutang di bawah perjanjian SB. Sekiranya anda berbuat demikian, anda berhak untuk mendapat rebat ke atas faedah.

Mengikut contoh tadi, tempoh SB anda ialah 5 tahun (60 bulan). Setelah membayar ansuran selama 4 tahun (48 bulan), anda ingin menyelesaikan pembiayaan tersebut. Anda berhak mendapat rebat ke atas faedah bagi baki tempoh pembayaran balik yang tinggal sebanyak 12 bulan (iaitu, 60 bulan - 48 bulan = 12 bulan).

Pengiraan rebat ke atas faedah mengikut contoh tadi adalah seperti berikut:

Jumlah faedah ke atas jumlah pembiayaan ialah RM25,000.

Image



HAK ANDA SEBAGAI PENYEWA
Anda mempunyai hak-hak seperti berikut:

  • Menerima sesalinan perjanjian SB
  • Memperolehi sebarang maklumat mengenai akaun anda
  • Meminta penyata baki belum jelas (sekali setiap 3 bulan)
  • Menyelesaikan kemudahan SB lebih awal
  • Menamatkan perjanjian SB pada bila-bila masa



TANGGUNGJAWAB ANDA SEBAGAI PENYEWA
Anda mempunyai tanggungjawab berikut:

  • Tidak memindahkan atau menjual kenderaan bermotor tanpa persetujuan syarikat kewangan
  • Membayar ansuran mengikut jadual
  • Memberitahu syarikat kewangan jika berlaku sebarang pertukaran alamat
  • Tidak gagal menginsuranskan kenderaan bermotor selepas tahun pertama dan memberitahu syarikat kewangan mengenai pembaharuan polisi insurans tidak lewat 14 hari sebelum polisi sekarang luput



HAK SYARIKAT KEWANGAN
Syarikat kewangan mempunyai hak-hak seperti berikut:

  • Menarik balik kenderaan bermotor bila anda ingkar dalam membuat pembayaran
  • Menggesa anda menginsuranskan kenderaan bermotor
  • Mengenakan fi ke atas anda bagi tujuan menguatkuasakan perjanjian SB



HAK PENJAMIN
Sebagai penjamin di bawah perjanjian SB, anda mempunyai hak-hak seperti berikut:

  • Menerima sesalinan perjanjian SB
  • Menerima semua notis pembayaran yang dihantar oleh syarikat kewangan kepada peminjam
  • Dilepaskan daripada liabiliti sebaik sahaja jumlah yang terhutang kepada syarikat kewangan dibayar dengan sepenuhnya
  • Mengambil tindakan undang-undang terhadap penyewa kerana gagal melaksanakan tanggungjawab
  • Dibayar ganti rugi oleh penyewa terhadap tuntutan-tuntutan oleh syarikat kewangan selepas anda membayar jumlah hutang kepada syarikat kewangan



MENARIK BALIK KENDERAAN BERMOTOR
Sebagai penyewa, anda hendaklah memastikan bahawa ansuran bulanan dibayar mengikut jadual. Syarikat kewangan boleh menarik balik kenderaan bermotor yang disewa kepada anda bila:

  • Anda ingkar membayar dua ansuran berturut-turut atau ansuran terakhir
  • Jika penyewa meninggal dunia, keingkaran berlaku untuk empat ansuran berturut-turut



SIAPAKAH YANG BOLEH MENARIK KENDERAAN BERMOTOR ANDA?
Biasanya syarikat kewangan akan melantik penarik yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia untuk menarik balik kenderaan bermotor. Sebelum menarik balik kenderaan bermotor, penarik mestilah menunjukkan kad pengenalannya, kad kuasa dan surat arahan penarikan yang dikeluarkan oleh syarikat kewangan yang membenarkan penarik mengambil kenderaan bermotor tersebut. Anda boleh meminta untuk melihat kad pengenalan dan kad kuasanya sebelum menyerahkan kenderaan bermotor anda.

PERILAKU PENARIK
Penarik haruslah menunjukkan sikap profesional semasa menjalankan tugas menarik kenderaan bermotor daripada anda. Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia telah mengeluarkan "Garis Panduan Mengenai Perlantikan dan Perilaku Penarik" untuk dipatuhi oleh penarik dan untuk melindungi kepentingan penyewa. Di antara peraturan tersebut adalah seperti berikut:
  • Penarik hendaklah menunjukkan kepada penyewa Perintah Penarikan dan kad kuasa yang diberi oleh syarikat kewangan sebelum menarik kenderaan bermotor
  • Mereka yang ditugaskan untuk menarik kenderaan bermotor hendaklah seminimum mungkin, melainkan dalam keadaan yang memerlukan kumpulan yang lebih ramai
  • Penarik hanya boleh memasuki premis dengan izin penghuninya atau penyewa kenderaan bermotor itu sendiri
  • Penarik hendaklah kelihatan profesional dan bertindak secara profesional
  • Bertindak secara kekerasan dan paksaan adalah dilarang sama sekali
  • Penyewa hendaklah diberi masa yang mencukupi untuk mengeluarkan barang-barang peribadi daripada kenderaan bermotor yang akan ditarik
  • Selepas kenderaan bermotor ditarik, penarik hendaklah membuat laporan polis dengan serta-merta dan membawa kenderaan bermotor tersebut ke tempat yang diarahkan oleh syarikat kewangan terbabit
Sekiranya penarik melanggar peraturan di atas, anda boleh membuat aduan kepada syarikat kewangan terbabit atau kepada Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia.


SEBELUM KENDERAAN BERMOTOR DITARIK
Syarikat kewangan anda seharusnya telah menghantar notis-notis berikut:
  • Notis Jadual Keempat. Ini adalah merupakan notis bertulis 21 hari yang menyatakan hasrat syarikat kewangan untuk menarik kenderaan bermotor
  • 14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat, notis kedua akan dikeluarkan untuk memberitahu anda bahawa syarikat kewangan berhasrat untuk menarik kenderaan bermotor selepas luput notis Jadual Keempat

Catatan:
Sila ambil perhatian bahawa menurut Akta SB, notis akan dihantar oleh syarikat kewangan itu sendiri atau melalui pos berdaftar ke alamat terakhir yang diketahui.

APA YANG PERLU ANDA BUAT?

  • Anda boleh membayar jumlah tertunggak seperti yang tertera di dalam notis Jadual Keempat sebelum luput 21 hari seperti yang dinyatakan di dalam notis Jadual Keempat. Dengan berbuat demikian, kenderaan bermotor anda tidak akan ditarik balik
  • Anda boleh memulangkan kenderaan bermotor kepada syarikat kewangan sebelum luput 21 hari notis Jadual Keempat. Anda akan dikehendaki menyelesaikan baki hutang selepas ditolak nilai kenderaan bermotor


TARIKH PENARIKAN
Penarikan boleh dijalankan pada bila-bila masa selepas luput 21 hari sebagaimana yang dinyatakan di dalam notis Jadual Keempat.

SELEPAS KENDERAAN BERMOTOR DITARIK
Sebaik sahaja kenderaan bermotor anda ditarik, syarikat kewangan hendaklah memberi kepada anda dokumen bertulis yang mengesahkan penerimaan kenderaan bermotor tersebut. Sekiranya anda tidak dapat dihubungi, dokumen tersebut akan dihantar kepada anda secepat mungkin.

Dalam masa 21 hari selepas penarikan, syarikat kewangan akan memberi kepada anda dan setiap penjamin notis Jadual Kelima yang membenarkan anda membayar balik jumlah hutang kepada syarikat kewangan.

APAKAH TINDAKAN ANDA SETERUSNYA?
Sebelum tempoh 21 hari seperti yang tertera di dalam notis Jadual Kelima luput, anda boleh meminta syarikat kewangan untuk memulangkan kenderaan bermotor anda dengan:
  • Menjelaskan semua jumlah yang tertunggak dan belanja tunai langsung (termasuk kos penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan, kos penarikan dan penghantaran balik) yang ditanggung oleh institusi kewangan; atau
  • Membayar balik jumlah baki hutang sepenuhnya dan menyelesaikan semua belanja tunai langsung (termasuk kos penarikan, penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan
Anda boleh juga memperkenalkan seorang bakal pembeli yang berminat untuk membeli kenderaan bermotor anda pada harga yang ditetapkan dalam notis tersebut


HAK SYARIKAT KEWANGAN TERHADAP KENDERAAN BERMOTOR YANG DITARIK
Sekiranya anda atau penjamin anda tidak menyelesaikan jumlah belum jelas seperti yang ditetapkan dalam notis Jadual Kelima dalam tempoh 21 hari selepas notis Jadual Kelima dihantar kepada anda, syarikat kewangan berhak menjual kenderaan bermotor tersebut melalui lelongan awam atau jualan terus.

Sekiranya syarikat kewangan menjual kenderaan bermotor melalui:
  • Lelongan awam, syarikat kewangan berkenaan perlu memberi sesalinan notis lelongan awam tersebut kepada anda, 14 hari sebelum tarikh lelongan
  • Kaedah yang selain daripada lelongan awam, syarikat kewangan hendaklah memberi opsyen kepada anda untuk membeli kenderaan bermotor tersebut sekiranya syarikat kewangan berhasrat untuk menjual pada harga yang lebih rendah daripada harga anggaran yang ditetapkan di dalam notis Jadual Kelima

PROSEDUR PENARIKAN SECARA RINGKAS

Image



Catatan:
X ialah hari syarikat kewangan menghantar notis Jadual Kelima yang mana ia mestilah dalam masa 21 hari dari tarikh kenderaan bermotor ditarik.


BAKI HUTANG SELEPAS PENARIKAN
Anda dan penjamin masih bertanggungjawab untuk menyelesaikan baki hutang kepada syarikat kewangan walaupun kenderaan bermotor telah dilelong. Anda perlu juga menanggung perbelanjaan yang berkaitan dengan lelongan tersebut.

NASIHAT KEPADA PENYEWA
Kena Buat
  • Pastikan bahawa semua perjanjian dibuat secara bertulis
  • Baca setiap cetakan halus pada perjanjian bertulis
  • Pastikan bahawa harga belian dan terma SB dalam perjanjian adalah sebagaimana yang telah dipersetujui
  • Pastikan bahawa anda mampu membayar ansuran bulanan sepanjang tempoh pembiayaan
  • Pastikan anda mengetahui hak-hak anda di bawah Akta SB
  • Pastikan anda mengetahui tanggungjawab anda di bawah kontrak SB untuk memastikan bahawa anda tidak melakukan apa-apa tindakan yang melanggar kontrak
  • Segala dokumen yang berkaitan perjanjian SB seperti surat perjanjian, resit dan sebagainya hendaklah disimpan di tempat selamat
  • Semua pembayaran mestilah dibuat kepada orang yang diberi kuasa oleh syarikat kewangan

Jangan Buat

  • Menandatangani perjanjian atau borang kosong atau dokumen yang tidak lengkap
  • Menerima surat perjanjian yang tidak ditandatangani
  • Menghilangkan sebarang dokumen berkaitan dengan perjanjian SB
  • Membayar ansuran bulanan kepada seseorang, pengedar atau ejen yang tidak diberi kuasa oleh syarikat kewangan
  • Gagal memaklumkan syarikat kewangan jika berlaku pertukaran alamat
  • Menjual atau memindah hak milik atau menyerahkan kenderaan bermotor kepada pihak ketiga tanpa persetujuan syarikat kewangan
Last Updated on Thursday, 08 October 2009 11:00