Tuesday, 19 Mar 2024
You are here: Home Perbankan Islam
Info Pengguna - Perbankan Islam PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 13 August 2009 17:01

PENGENALAN
Bentuk terawal aktiviti perbankan Islam diketahui bermula pada bulan September 1963 dengan tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH). PWSBH telah ditubuhkan untuk dijadikan institusi bagi umat Islam membuat simpanan sebagai persediaan mengerjakan ibadat Haji ke tanah suci Mekah. Pada tahun 1969, PWSBH telah bergabung dengan Pejabat Urusan Haji bagi membentuk Lembaga Urusan dan Tabung Haji (kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji).

Bank Islam pertama telah ditubuhkan pada tahun 1983. Pada tahun 1993, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan mula dibenarkan untuk menawarkan produk-produk dan perkhidmatan perbankan Islam di bawah Skim Perbankan Islam (SPI). Walau bagaimanapun, institusi-institusi ini dikehendaki mengasingkan dana dan aktiviti urus niaga perbankan Islam daripada urus niaga perbankan konvensional bagi memastikan tiada percampuran dana.


PERBANKAN ISLAM
Perbankan Islam adalah aktiviti perbankan yang dijalankan berlandaskan prinsip Syariah. Perbankan Islam tidak membenarkan pembayaran atau penerimaan faedah dan menggalakkan perkongsian untung di dalam amalan perbankan dari sudut pandangan Islam.

PRINSIP SYARIAH DI DALAM PERBANKAN ISLAM
Perbankan Islam mempunyai tujuan yang sama dengan perbankan konvensional melainkan operasinya adalah berlandaskan prinsip Syariah, yang dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat (peraturan-peraturan Islam di dalam urus niaga). Prinsip dasar perbankan Islam ialah perkongsian untung dan rugi dan larangan ke atas riba' (faedah). Di antara konsep-konsep Islam yang selalu diguna pakai di dalam perbankan Islam ialah perkongsian untung (Mudharabah), simpanan (Wadiah), usaha sama (Musyarakah), kos tokok (Murabahah) dan sewaan (Ijarah).

PRINSIP SYARIAH DI DALAM PERBANKAN ISLAM
Perbankan Islam mempunyai tujuan yang sama dengan perbankan konvensional melainkan operasinya adalah berlandaskan prinsip Syariah, yang dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat (peraturan-peraturan Islam di dalam urus niaga). Prinsip dasar perbankan Islam ialah perkongsian untung dan rugi dan larangan ke atas riba' (faedah). Di antara konsep-konsep Islam yang selalu diguna pakai di dalam perbankan Islam ialah perkongsian untung (Mudharabah), simpanan (Wadiah), usaha sama (Musyarakah), kos tokok (Murabahah) dan sewaan (Ijarah).

PERUNDING/MAJLIS PENASIHAT SYARIAH
Bank Islam dan institusi perbankan yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam (bank SPI) dikehendaki menubuhkan jawatankuasa penasihat Syariah atau melantik perunding Syariah untuk memberi khidmat nasihat dan memastikan operasi dan aktiviti mereka mematuhi prinsip Syariah. Selain daripada itu, Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan yang ditubuhkan di Bank Negara Malaysia (BNM) memberi khidmat nasihat kepada BNM mengenai aspek-aspek Syariah di dalam operasi institusi-institusi berkenaan, termasuk produk dan perkhidmatan mereka.

KONSEP-KONSEP SYARIAH DI DALAM PERBANKAN ISLAM

Wadiah (Simpanan)
Dalam konsep Wadiah, bank dianggap sebagai penjaga dan pemegang amanah dana. Seseorang pendeposit akan mendepositkan dana ke dalam bank dan bank akan menjamin pembayaran balik kesemua amaun deposit berkenaan, atau sebahagian daripada amaun belum jelas apabila pendeposit memintanya. Pendeposit mungkin akan diberikan 'hibah' (hadiah), atas budi bicara bank, sebagai satu bentuk penghargaan kerana membenarkan penggunaan dana pendeposit oleh bank.

Mudharabah (Perkongsian Untung)
Mudharabah ialah pengaturan atau perjanjian di antara pemberi modal dan pengusaha projek di mana pengusaha projek boleh menggunakan dana bagi menjalankan aktiviti perniagaan beliau. Sebarang keuntungan yang diperoleh akan dibahagi di antara pemberi modal dan pengusaha projek tersebut mengikut nisbah yang telah dipersetujui sementara kerugian akan ditanggung seluruhnya oleh pemberi modal.

Musyarakah (Usaha Sama)
Konsep ini biasanya diguna pakai bagi perniagaan perkongsian atau perniagaan usaha sama untuk sesuatu perusahaan perniagaan. Keuntungan yang diperoleh akan dikongsi bersama berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui manakala kerugian akan ditanggung berdasarkan nisbah sumbangan modal.

Murabahah (Kos Tokok)
Penjualan barangan adalah pada harga yang termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua pihak. Harga belian dan jualan, kos-kos lain serta margin keuntungan hendaklah dinyatakan dengan jelas semasa perjanjian jualan dilaksanakan.

Bai' Bithaman Ajil (Pembayaran Jualan Tertangguh)
Penjualan barangan berasaskan pembayaran tertangguh pada harga tertentu, yang termasuk margin keuntungan yang telah dipersetujui.

Wakalah (Agensi)
Peserta melantik seorang wakil untuk melaksanakan dan menjalankan transaksi bagi pihak beliau.

Qardhul Hassan (Pinjaman Ihsan)
Pinjaman yang diberikan atas semangat ihsan dan peminjam hanya dikehendaki membayar amaun yang dipinjam sahaja. Walau bagaimanapun, peminjam atas budi bicaranya boleh membayar balik pinjaman melebihi jumlahnya (tanpa berjanji) sebagai tanda penghargaan kepada pemberi pinjaman.

Ijarah Thumma Al Bai' (Sewa Beli)
Konsep ini melibatkan dua kontrak yang berasingan. Kontrak pertama ialah kontrak Ijarah (pemajakan/menyewa) akan ditandatangani terlebih dahulu sebelum kontrak kedua iaitu kontrak Bai' (belian) dimeterai. Sebagai contoh, di bawah kemudahan pembiayaan kereta, pelanggan akan memasuki kontrak pertama dan memajak kereta tersebut daripada pemilik (bank) pada kadar sewa yang telah dipersetujui untuk suatu tempoh tertentu. Pada akhir tempoh pemajakan, kontrak kedua akan dikuatkuasakan bagi membolehkan pelanggan membeli kenderaan tersebut pada harga yang telah dipersetujui.

Bai' al-Inah (Perjanjian Jual dan Beli Balik)
Pembiaya menjual aset kepada pelanggan secara bayaran tertangguh dan seterusnya aset berkenaan akan dibeli kembali oleh pembiaya secara tunai pada harga diskaun.

Hibah (Hadiah)
Sagu hati yang diberi secara sukarela sebagai balasan kepada pinjaman yang diberi atau manfaat yang diterima.


PRODUK/PERKHIDMATAN PERBANKAN YANG DITAWARKAN OLEH BANK ISLAM DAN BANK SPI
Terdapat pelbagai jenis produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank Islam dan bank SPI. Produk dan perkhidmatan yang sedia ada disenaraikan di
Lampiran I
.

Semua bank yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam dikehendaki mempamerkan logo perbankan Islam seperti di bawah:



LAMPIRAN II
Institusi-institusi Perbankan Yang Menawarkan Produk dan Perkhidmatan Perbankan Islam (pada 31 Disember 2002)

Bank-bank Islam

Bank Islam Malaysia Berhad
  • Bank Muamalat Malaysia Berhad

Bank-bank Perdagangan

  • Affin Bank Berhad
  • Alliance Bank Malaysia Berhad
  • AmBank Berhad
  • Citibank Berhad
  • EON Bank Berhad
  • Hong Leong Bank Berhad
  • HSBC Bank (Malaysia) Berhad
  • Malayan Banking Berhad
  • OCBC Bank (Malaysia) Berhad
  • Public Bank Berhad
  • RHB Bank Berhad
  • Southern Bank Berhad
  • Standard Chartered Bank Malaysia Berhad

Syarikat-syarikat Kewangan

  • Affin-ACF Finance Berhad
  • EON Finance Berhad
  • Hong Leong Finance Berhad
  • Mayban Finance Berhad
  • AmFinance Berhad
  • RHB Delta Finance Berhad
  • Southern Finance Berhad
Last Updated on Thursday, 08 October 2009 11:01