Tuesday, 19 Mar 2024
You are here: Home Kad Caj
Info Pengguna - Kad Caj PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 13 August 2009 17:05

PENGENALAN

Seperti mana kad-kad bayaran lain, kad caj menyediakan suatu kaedah yang mudah dan cekap untuk pembelian barangan dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, anda hendaklah peka Tentang akibat penggunaan kad caj. Buku panduan ini memaparkan maklumat mengenai kad caj yang perlu anda ketahui sebelum memohon atau menggunakan kad caj.

Maklumat yang terkandung di dalam buku panduan ini merangkumi aspek-aspek berikut: perbandingan di antara kad caj dan kad kredit, keperluan asas untuk memohon kad caj, memahami syarat-syarat pemegangan kad, memahami kadar yuran dan caj yang dikenakan, memilih kad caj yang sesuai, tip-tip untuk mencegah fraud dan soalan-soalan yang sering ditanya.


APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KAD CAJ?

Kad caj ialah kad bayaran dengan had pratetap yang boleh digunakan untuk membuat pembayaran bagi barangan dan perkhidmatan di kedai saudagar yang terlibat, baik di dalam mahupun di luar negara. Ia adalah satu instrumen bayaran yang mudah untuk tujuan membeli-belah, makan di restoran, melancong, membayar bil dan sebagainya. Penggunaan kad caj adalah sama seperti kad bayaran yang lain seperti kad kredit dan kad debit, di mana ia boleh digunakan di mana-mana kedai saudagar yang mempamerkan jenama kad caj anda. Di Malaysia, kad caj yang dikeluarkan adalah berasaskan konsep konvensional ataupun prinsip Islam. Contoh-contoh kad caj ialah kad American Express, kad Diners Club International dan kad HSBC Amanah MasterCard.

BAGAIMANA PULA TATACARANYA?

Apabila anda membuat pembelian, saudagar hendaklah meleretkan atau memasukkan kad caj anda ke dalam alat pembaca kad untuk mendapatkan keizinan pengeluar kad caj. Kebanyakan saudagar menghendaki anda menandatangani slip urus niaga sebagai bukti pembelian, di mana ianya akan dibandingkan dengan contoh tandatangan di belakang kad caj anda. Anda mungkin tidak perlu menandatangani slip urus niaga jika anda membuat urus niaga di alat pembaca kad layan diri seperti alat pembaca kad layan diri di stesen-stesen minyak. Bagi setiap pembelian, pengeluar kad caj akan membuat pembayaran kepada saudagar bagi pihak anda dan menghantar bil kepada anda kemudian. Pengeluar kad caj akan menghantar kepada anda penyata bulanan yang mengandungi maklumat mengenai urus niaga kad caj anda seperti butir-butir pembelian, tarikh tamat tempoh dan denda bayaran lewat, jika ada.

PERBANDINGAN DI ANTARA KAD CAJ DAN KAD KREDIT

Sementara kad caj dan kad kredit membolehkan urus niaga pembayaran dibuat, terdapat perbezaan di antara kedua-dua jenis kad tersebut. Perbezaan utama di antara kad caj dan kad kredit ialah amaun yang perlu dilunaskan pada tarikh tamat tempoh setiap bulan.

Untuk kad caj, baki belum jelas perlu dilunaskan sepenuhnya pada atau sebelum tarikh tamat tempoh dan tiada faedah dikenakan. Walau bagaimanapun, anda akan dikenakan caj bayaran lewat jika gagal menjelaskan baki belum jelas anda sepenuhnya pada atau sebelum tarikh tamat tempoh. Caj bayaran lewat adalah tinggi, biasanya di antara 3.0% hingga 3.5% sebulan (atau 36% hingga 42% setahun) ke atas baki belum jelas. Untuk kad caj Islam, bagi menggantikan caj bayaran lewat konvensional sebanyak 3.0% hingga 3.5% sebulan, anda akan dikenakan caj ganti rugi setakat amaun maksimum yang dibenarkan, kebiasaannya RM70 sebulan. Lazimnya, pengeluar kad caj akan membatalkan perkhidmatan kad caj anda jika anda memungkiri jadual pembayaran balik untuk beberapa bulan (tempoh berbeza-beza bergantung kepada polisi dalaman pihak pengeluar).

Bagi kad kredit, anda boleh melunaskan baki belum jelas anda sepenuhnya pada atau sebelum tarikh tamat tempoh, ataupun membuat pembayaran bulanan minimum, yang biasanya 5% daripada baki belum jelas. Oleh itu, anda boleh secara berterusan membayar amaun minimum tersebut setiap bulan. Sungguhpun kad kredit menawarkan kaedah pembayaran balik yang fleksibel untuk hutang kad kredit anda, kosnya mungkin agak mahal. Pengeluar kad kredit biasanya mengenakan caj kewangan sebanyak 18% setahun ke atas baki belum jelas, dan caj bayaran lewat dikenakan jika anda tidak menjelaskan amaun bayaran minimum bulanan pada atau sebelum tarikh tamat tempoh.

Terdapat juga kad bayaran yang menggabungkan kemudahan-kemudahan kad kredit dan kad caj. Kemudahan kad caj akan diaktifkan sekiranya nilai urus niaga melebihi had kredit bagi kemudahan kad kredit. Amaun yang melebihi had kredit tersebut hendaklah dilunaskan sepenuhnya mengikut syarat-syarat kemudahan kad caj.


MEMOHON KAD CAJ

Adakah Kad Caj Sesuai untuk Anda?
 Jika anda merupakan seorang yang menjelaskan baki anda sepenuhnya bila tiba waktunya dan anda memerlukan instrumen bayaran yang mudah dan selesa dalam menguruskan pembayaran harian anda, kad caj mungkin sesuai untuk anda. Jika tidak, anda mungkin ingin mempertimbangkan kad bayaran lain seperti kad debit dan kad simpanan nilai (atau dompet elektronik) di mana anda hanya boleh berbelanja sekiranya anda mempunyai baki yang cukup dalam akaun anda (untuk kad debit) atau nilai kewangan yang diterapkan dalam kad simpanan nilai.
Kelayakan
 Anda layak untuk memohon kad caj jika anda memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengeluar kad caj. Lazimnya, syarat-syarat kelayakan adalah termasuk umur minimum 21 tahun dan pendapatan minimum sebanyak RM18,000 setahun. Walau bagaimanapun, sesetengah pengeluar kad caj mungkin mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat.
Permohonan
 Anda mungkin perlu menyediakan dokumen-dokumen berikut ketika membuat permohonan:

- Salinan Kad Pengenalan Kewarganegaraan atau MyKad
- Penyata cukai pendapatan terkini (Borang J atau Borang EA)
- Penyata bank untuk bulan-bulan terdahulu (akaun tabungan atau semasa)
- Slip gaji untuk bulan-bulan terdahulu
- Surat perlantikan/pengesahan jawatan daripada majikan
- Jika anda bukan warganegara Malaysia tetapi bermastautin di negara ini, anda mungkin perlu mengemukakan salinan pasport anda
- Jika anda bekerja sendiri, anda mungkin perlu menyediakan butir-butir pendaftaran perniagaan atau dokumen-dokumen lain seperti yang diperlukan oleh pengeluar kad caj

Pengeluar kad caj memerlukan dokumen-dokumen tersebut untuk membuat penilaian kredit dan menetapkan had kad caj, sekiranya anda layak. Pengeluar kad caj yang dibenarkan juga boleh mengakses Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) untuk menentusahkan kedudukan kredit pemohon. Masa yang diambil oleh pengeluar kad untuk memproses setiap permohonan adalah berbeza-beza tertakluk kepada prosedur dalaman masing-masing.
Kad Tambahan
 Anda boleh memohon kad tambahan untuk isteri/suami, ahli keluarga ataupun rakan-rakan karib anda. Walau bagaimanapun, pengeluar kad caj mungkin menetapkan bahawa pemegang-pemegang kad tambahan menanggung liabiliti secara bersama dan berasingan terhadap hutang pemegang kad utama dan pemegang-pemegang kad tambahan yang lain. Justeru, pemegang kad tambahan akan turut dipertanggungjawabkan ke atas caj-caj perbelanjaan yang dibuat oleh pemegang kad utama dan pemegang-pemegang kad tambahan yang lain. Anda perlu merujuk kepada syarat-syarat pemegangan pengeluar kad caj untuk maklumat lanjut mengenai kad caj tambahan.



MEMAHAMI SYARAT-SYARAT PEMEGANGAN KAD

Jika permohonan kad caj anda diluluskan, anda akan diberikan kad caj yang
tertera dengan nama anda, nombor kad dan sebagainya, berserta dengan syarat-syarat yang menetapkan dasar-dasar mengenai penggunaan kad caj. Anda harus meminta sesalinan syarat-syarat pemegangan kad sebelum menerima kad caj yang ditawarkan. Sebaik sahaja salinan syarat-syarat pemegangan kad tersebut diperolehi, adalah penting bagi anda meneliti dan memahami sepenuhnya kandungan syarat-syarat pemegangan kad tersebut, memandangkan anda dan pengeluar kad caj akan terikat dengannya.

Anda boleh menghubungi pengeluar
kad caj secara terus jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau memerlukan penjelasan lanjut mengenai syarat-syarat pemegangan kad. Pengeluar kad caj akan memberikan bantuan yang diperlukan untuk menjelaskan kemusykilan anda. Walau bagaimanapun, jika anda tidak bersetuju dengan syarat-syarat pemegangan kad tersebut, anda boleh membatalkan kemudahan kad caj tersebut dengan mengembalikannya kepada pengeluar kad caj terbabit dengan serta-merta. Di samping itu, sesetengah pengeluar kad caj mungkin juga menghendaki anda mengemukakan notis bertulis untuk tujuan tersebut.

Secara amnya, syarat-syarat pemegangan kad memperuntukkan perkara-perkara berikut:

Maklumat mengenai yuran dan caj
Syarat-syarat pembayaran
Liabiliti bagi urus niaga tanpa kebenaran atau fraud
Prosedur untuk membuat aduan atau pertanyaan mengenai penyata bulanan
Notis pemberitahuan mengenai perubahan syarat-syarat pemegangan kad
Hak-hak dan tanggungjawab pemegang kad
Kerahsiaan maklumat
Lain-lain



MEMAHAMI YURAN DAN CAJ

Memahami pelbagai caj yang dikenakan dalam penggunaan kad caj adalah penting. Memahami yuran dan caj yang mungkin berbeza di kalangan pelbagai pengeluar kad caj boleh membantu anda dalam memilih kad caj yang paling sesuai di pasaran. Berikut adalah caj-caj yang lazim dikenakan:

Yuran Penyertaan
 Yuran yang mungkin dikenakan sekali sahaja oleh pengeluar kad caj ialah yuran penyertaan, juga dikenali sebagai yuran kemasukan ataupun yuran keahlian. Yuran penyertaan ini perlu dibayar berserta dengan yuran tahunan bagi tahun pertama. Yuran penyertaan ini mungkin berbeza di kalangan pelbagai pengeluar kad caj dan untuk memikat pemohon baru, sesetengah pengeluar kad caj mungkin mengecualikan sahaja yuran penyertaan ini.
Yuran Tahunan
 Ini ialah yuran tetap yang wajib dibayar setahun sekali, walaupun anda tidak pernah menggunakan kad caj tersebut. Yuran tahunan biasanya di dalam lingkungan RM80 hingga RM160 untuk pemegang kad utama dan di antara RM40 hingga RM125 untuk pemegang kad tambahan. Walau bagaimanapun, pengeluar kad caj mungkin memansuhkan yuran tahunan sebagai promosi untuk menggoda pemohon kad baru.
Caj Bayaran Lewat
 Anda akan dikenakan caj bayaran lewat jika anda gagal untuk melunaskan bayaran sepenuhnya sebelum tarikh tamat tempoh atau hanya membayar sebahagian daripada baki belum jelas anda. Bergantung kepada pengeluar kad caj, caj bayaran lewat lazimnya adalah di antara 3.0% hingga 3.5% sebulan (atau 36% hingga 42% setahun) daripada amaun baki belum jelas atau caj minimum sebanyak RM15 hingga RM50, mengikut mana yang lebih tinggi. Sesetengah pengeluar kad caj mungkin mengenakan caj tambahan di samping caj bayaran lewat jika anda gagal untuk melunaskan baki anda sepenuhnya pada bulan kedua dan seterusnya. Bagi kad caj yang berlandaskan prinsip Islam, anda tidak akan dikenakan caj bayaran lewat secara konvensional sebanyak 3.0% hingga 3.5% sebulan. Sebaliknya anda akan dikenakan caj ganti rugi sehingga ke satu tahap maksimum yang dibenarkan, biasanya sebanyak RM70 sebulan.
Yuran Pendahuluan Wang Tunai
 Sesetengah pengeluar kad caj mungkin juga menyediakan kemudahan pendahuluan wang tunai. Jika anda menggunakan kemudahan ini, anda akan dikenakan yuran pendahuluan wang tunai, lazimnya di antara 3% hingga 4% daripada jumlah pendahuluan wang tunai ataupun caj minimum sebanyak RM15 hingga RM30, mengikut mana yang lebih tinggi. Jumlah pendahuluan wang tunai perlu dibayar balik sepenuhnya sebelum tarikh tamat tempoh. Beberapa batasan mungkin dikenakan seperti had maksimum pengeluaran. Bagi kad caj yang berlandaskan prinsip Islam, anda akan dikenakan yuran tetap untuk pendahuluan wang tunai, lazimnya sebanyak RM15 untuk setiap urus niaga.

Anda dinasihatkan agar peka terhadap yuran dan caj yang mungkin dikenakan ke atas anda seperti mana yang terkandung di dalam syarat-syarat pemegangan kad. Anda harus berhubung terus dengan pengeluar kad caj untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai yuran dan caj berkenaan, jika perlu.



MEMILIH KAD CAJ YANG SESUAI

Anda dinasihatkan agar membuat perbandingan yang sewajarnya dalam memilih kad caj yang bersesuaian dengan anda dengan mempertimbangkan faktor-faktor berikut:

Hadiah Promosi dan Tawaran Istimewa
 Pengeluar kad caj mungkin menawarkan pelbagai hadiah promosi yang menarik untuk setiap permohonan yang berjaya termasuklah "discman", kamera, jam dan beg pakaian. Terdapat juga pertandingan yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan kepada pemegang kad yang membuat jumlah pembelian tertentu menggunakan kad caj mereka. Pengeluar kad caj juga mungkin menawarkan yuran tahunan atau yuran penyertaan permulaan yang amat rendah ataupun memansuhkannya terus pada tahun pertama. Membaca dan memahami syarat-syarat pemegangan kad yang berkaitan dengan hadiah promosi dan tawaran istimewa berkenaan adalah dianggap penting. Perhatikan tempoh tawaran, syarat-syarat yang ditetapkan dan denda jika tidak mematuhi syarat-syarat tersebut.
Yuran dan Caj
 Ada pelbagai kombinasi yuran dan caj yang akan dikenakan dalam menggunakan kad caj. Pengeluar kad caj mungkin menghapuskan yuran penyertaan dan yuran tahunan bagi tahun pertama tetapi mengenakan caj bayaran lewat yang lebih tinggi. Apabila membandingkan yuran dan caj yang dikenakan, perbandingan hendaklah pada asas yang sama, misalnya mengikut kadar bulanan atau tahunan dan dalam tempoh masa yang lebih lama setelah mengambil kira kadar faedah istimewa yang dipromosikan.
Tempoh Tanpa Faedah
 Pengeluar kad caj menawarkan tempoh tanpa faedah bermula dari tarikh urus niaga direkodkan atau tarikh penyata, sehingga ke tarikh tamat tempoh berakhir. Anda harus memilih kad caj yang menawarkan tempoh tanpa faedah yang lebih panjang untuk melunaskan baki belum jelas anda tanpa menanggung caj tambahan.
Liabiliti Terhad
 Pengeluar kad caj mungkin mengehadkan liabiliti anda sehingga ke tahap amaun maksimum bagi urus niaga tanpa kebenaran akibat kehilangan atau kecurian kad caj. Anda mungkin bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua kerugian, atau ke satu tahap maksimum, selagi anda tidak memaklumkan pengeluar kad caj mengenai kehilangan kad tersebut. Sesetengah pengeluar kad caj mungkin tidak mengehadkan liabiliti anda untuk urus niaga tanpa kebenaran, dengan itu anda haruslah memilih kad caj yang mengehadkan peruntukan liabiliti anda.
Khidmat Pelanggan
 Anda juga mungkin ingin mengambil kira tahap khidmat pelanggan yang disediakan oleh pengeluar kad caj sebelum mengemukakan sesuatu permohonan kepada institusi berkenaan.



MENCEGAH FRAUD KAD CAJ

Seperti mana kad bayaran lain, penggunaan kad caj melibatkan risiko. Menjaga keselamatan kad caj adalah menjadi tanggungjawab anda. Anda mungkin ipertanggungjawabkan ke atas urus niaga yang dibuat tanpa kebenaran anda jika anda tidak mematuhi syarat-syarat pemegangan kad anda. Oleh itu, anda haruslah meneliti syarat-syarat pemegangan kad, terutamanya mengenai hak-hak dan tanggungjawab anda. Perhatikan prosedur untuk melaporkan kehilangan ataupun kecurian kad caj anda dan implikasinya jika tidak mematuhi prosedur tersebut.

Sebagai pemegang kad caj, anda boleh mengambil beberapa langkah untuk meminimumkan risiko menjadi mangsa fraud. Berikut adalah beberapa langkah yang anda boleh ambil untuk melindungi diri anda daripada gejala fraud kad caj:

Melindungi Kad Caj Anda:
 - Tandatangani kad caj anda sebaik sahaja ianya diterima
- Jangan pinjamkan kad caj anda kepada sesiapa pun
- Hafal nombor PIN anda dan jangan catatkan nombor PIN tersebut di belakang kad, menyimpannya di dalam dompet atau mendedahkannya kepada orang lain
- Pastikan kad caj yang telah luput dipotong dua apabila anda menerima kad baru
Apabila Memulakan Urus Niaga:
 - Perhatikan kad caj anda ketika membuat urus niaga dan dapatkannya semula dengan secepat mungkin
- Semak semua butir-butir yang terdapat pada slip urus niaga sebelum menandatangani atau mengesahkan setiap urus niaga
- Apabila menandatangani slip urus niaga, buat satu garisan pada ruang kosong di atas jumlah yang perlu dibayar atau bulatkan jumlah yang perlu dibayar
- Jangan menandatangani slip urus niaga yang kosong
- Apabila menempah atau membuat pembelian melalui telefon, jangan berikan butir-butir kad caj anda seperti nombor kad dan tarikh luput kecuali anda membuat urus niaga dengan pihak yang anda kenali
- Jangan berikan butir-butir kad caj anda kepada pihak yang tidak dikenali kerana mereka mungkin menggunakannya untuk membuat pembelian menerusi telefon, mel ataupun Internet
Mengawasi dan Memeriksa Urus Niaga Anda:
 - Simpan semua slip urus niaga anda dan bandingkan dengan penyata bulanan kad caj anda sebaik sahaja ianya diterima
- Maklumkan pengeluar kad caj anda dengan serta-merta jika terdapat sebarang kesilapan atau kemungkinan berlaku urus niaga tanpa kebenaran berkaitan kad caj atau nombor PIN anda dengan diikuti oleh laporan bertulis
- Musnahkan semua slip-slip urus niaga sebelum anda membuangnya
Persediaan Diri Jika Kad Caj Anda Hilang ataupun Dicuri:
 - Simpan kad caj anda di tempat yang sama di dalam dompet supaya jika ia hilang atau dicuri, anda akan menyedarinya dengan serta-merta
- Simpan nombor telefon pengeluar kad caj anda supaya anda dapat menghubunginya dengan serta-merta untuk melaporkan sebarang kehilangan/kecurian kad, urus niaga tanpa kebenaran atau pendedahan nombor PIN kepada pihak ketiga
- Rekodkan nombor kad caj anda dan tarikh luputnya di tempat yang selamat dan berasingan daripada dompet anda



PERINGATAN

Anda harus sentiasa berhemat apabila menggunakan kad caj dan tidak berbelanja melebihi kemampuan anda. Yuran dan caj yang dikenakan ke atas baki yang tidak dilunaskan boleh menjadi amat tinggi. Yang paling penting, pengeluar kad caj mungkin akan mengambil tindakan undang-undang ke atas anda jika anda mungkir dalam membuat pembayaran.

RINGKASAN PERBANDINGAN DI ANTARA KAD KREDIT DAN KAD CAJ

Di antara ciri-ciri utama kad kredit dan kad caj adalah seperti berikut:

Kad Kredit

Had Kredit :Had maksimum ditetapkan bagi setiap pemegang kad
Bayaran Minimum :Bayaran minimum sebanyak 5% ke atas baki belum jelas
Yuran Penyertaan :Bayaran dikenakan sekali sahaja. Yuran berbeza-beza bergantung kepada pengeluar kad atau dikecualikan
Caj Kewangan :Caj maksimum sebanyak 18% setahun ke atas baki belum jelas
Yuran Tahunan :Lazimnya di antara RM60 hingga RM90 untuk kad klasik
Caj Bayaran Lewat :Caj maksimum sebanyak 1% sebulan ke atas baki belum jelas atau RM5, mengikut mana yang lebih tinggi
Yuran Pendahuluan Wang Tunai :Lazimnya di antara 3% hingga 5% ke atas pendahuluan wang tunai sebagai tambahan kepada caj kewangan


Kad Caj

Had Kredit :Lazimnya, had perbelanjaan yang ditetapkan oleh pengeluar kad tidak dimaklumkan kepada pemegang kad, melainkan pemegang kad sendiri memohon untuk mengetahuinya. Walau bagaimanapun, nilai urus niaga yang melebihi had maksimum mungkin dibenarkan, bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengeluar kad
Bayaran Minimum :Baki belum jelas perlu dibayar sepenuhnya sebelum tarikh tamat tempoh
Yuran Penyertaan :Bayaran dikenakan sekali sahaja. Yuran berbeza-beza bergantung kepada pengeluar kad atau dikecualikan
Caj Kewangan :Tidak berkaitan kerana baki belum jelas harus dilunaskan sepenuhnya
Yuran Tahunan : Lazimnya di antara RM80 hingga RM160 untuk kad klasik
Caj Bayaran Lewat : Lazimnya di antara 3.0% dan 3.5% sebulan (atau 36% hingga 42% setahun) ke atas baki belum jelas atau amaun tetap minimum, mengikut mana yang lebih tinggi. Lazimnya, kad caj berasas prinsip Islam mengenakan amaun tetap maksimum sebanyak RM70 sebulan
Yuran Pendahuluan Wang Tunai :Lazimnya 3% hingga 4% bergantung kepada pengeluar kad caj. Sesetengah pengeluar kad caj tidak menyediakan kemudahan pendahuluan wang tunai. Bagi kad caj berasas prinsip Islam, amaun tetap tidak melebihi RM15 lazimnya dikenakan



SOALAN YANG SERING DITANYA

1.Apakah jenis-jenis kad bayaran lain yang terdapat di Malaysia?
 Selain daripada kad caj, kad-kad bayaran yang lain ialah kad kredit, kad debit dan kad simpanan nilai.

Kad debit adalah sejenis kad bayaran di mana baki di dalam akaun tabungan atau akaun semasa anda akan dikurangkan dengan serta-merta mengikut jumlah urus niaga yang dibuat, setelah keizinan diperolehi. Kemudahan ini juga terdapat pada Bankcard yang dikeluarkan oleh kebanyakan institusi perbankan tempatan. Terdapat juga kad debit antarabangsa seperti VISA Electron dan MasterCard Electronic yang boleh digunakan di kedai saudagar yang mempamerkan logo yang berkaitan.

Kad simpanan nilai ialah sejenis kad prabayar yang di dalamnya terkandung nilai kewangan yang telah diterapkan terlebih dahulu oleh pengeluar kad. Sesetengah skim kad simpanan nilai mungkin membenarkan pemegang kad untuk menerapkan semula nilai kewangan ke dalam kadnya dan nilai tersebut akan ditolak secara automatik daripada amaun yang tersimpan di dalam kad tersebut apabila pembelian dibuat. Kad simpanan nilai yang paling mudah didapati di Malaysia ialah MEPS Cash, iaitu skim dompet elektronik seluruh bank ("bank-wide e-purse scheme") yang terdapat pada Bankcard yang dikeluarkan oleh institusi perbankan tempatan dan Touch 'n Go yang lazimnya digunakan secara meluas untuk tujuan pengangkutan.
2.Adakah sesiapa sahaja boleh memohon kad tambahan?
 Pemegang kad utama boleh mencadangkan sesiapa sahaja untuk menjadi pemegang kad tambahannya, tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan oleh pengeluar kad caj.
3.Sebagai pemegang kad tambahan, adakah saya akan diberi penyata bulanan?
 Lazimnya, maklumat mengenai urus niaga kad caj oleh pemegang kad utama dan pemegang kad tambahan akan disatukan ke dalam satu penyata bulanan dan dihantar kepada pemegang kad utama sahaja. Tertakluk kepada dasar dalaman pengeluar kad caj, penyata bulanan mungkin juga disediakan secara berasingan kepada pemegang kad utama dan pemegang kad tambahan.
4.Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya tidak berpuas hati dengan barangan yang saya beli dengan menggunakan kad caj?
 Kad caj hanya memudahkan anda bagi membuat pembayaran. Anda harus mengetahui dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh saudagar ketika membuat pembelian barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan, seperti dasar pemulangan barangan. Pengeluar kad caj tidak akan bertanggungjawab ke atas kerosakan barangan atau perkhidmatan yang telah dibeli dengan menggunakan kad caj. Tuntutan atau pertikaian di antara saudagar dan pemegang kad tidak memberi hak kepada pemegang kad untuk menangguh pembayaran.
5.Siapakah yang bertanggungjawab terhadap pembelian yang dibuat melalui kad tambahan?
 Pemegang kad utama adalah pihak yang bertanggungjawab untuk menjelaskan pembelian yang dibuat oleh pemegang kad tambahan dan juga pembeliannya sendiri. Walau bagaimanapun, anda perlu memeriksa syarat-syarat yang dikenakan sama ada pemegang kad tambahan turut bertanggungjawab ke atas hutang-hutang kad caj tersebut.
6.Perlukah saya membayar kos tambahan kepada saudagar jika saya menggunakan kad caj untuk membuat pembelian?
 Tiada kos tambahan dikenakan jika membeli dengan kad caj. Sekiranya anda dikenakan caj tambahan oleh saudagar, sila hubungi pengeluar kad caj anda untuk mendapatkan penjelasan.
7.Bagaimana kadar pertukaran wang asing ditentukan apabila saya membuat pembelian di luar negara?
 Amaun urus niaga yang dilakukan di luar negara dengan menggunakan mata wang asing akan ditukar kepada Ringgit Malaysia dengan menggunakan kadar pertukaran mata wang asing yang ditentukan oleh skim pengeluar kad caj (seperti American Express, Diners Club dan MasterCard) ditambah dengan komisen penukaran atau caj pentadbiran. Pertukaran mata wang asing akan dilakukan secara automatik semasa urus niaga dibuat.
8.Adakah saya bertanggungjawab ke atas urus niaga fraud selepas kad caj saya didapati hilang ataupun dicuri?
 Anda hendaklah sentiasa mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya untuk melindungi kad caj anda. Dengan berbuat demikian, anda tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang urus niaga yang berlaku setelah anda melaporkan kehilangan kad caj anda kepada pengeluar kad caj, sama ada secara lisan atau bertulis. Walau bagaimanapun, bagi laporan lisan, sesetengah pengeluar kad caj mungkin menghendaki anda mengemukakan pengesahan bertulis dan/atau laporan polis kepada mereka. Sebaliknya, jika berlaku sesuatu urus niaga tanpa kebenaran dengan menggunakan kad caj anda sebelum laporan dibuat, anda mungkin bertanggungjawab sehingga amaun tertentu, tertakluk kepada syarat-syarat pengeluar kad caj.
9.Adakah perlu saya menyemak penyata kad caj saya?
 Ya, jadikan satu amalan biasa untuk sentiasa menyemak penyata kad caj anda bagi mengesan sebarang percanggahan atau urus niaga tanpa kebenaran. Meluangkan masa beberapa minit untuk meneliti maklumat-maklumat di dalam butiran pada penyata bulanan kad caj anda adalah penting dan berkesan untuk mengesan penggunaan kad caj anda tanpa kebenaran.
10.Apakah yang perlu saya lakukan jika terdapat kesilapan pada penyata kad caj saya?
 Anda hendaklah memaklumkan pengeluar kad caj anda secara lisan dengan segera jika terdapat sebarang kesilapan pada penyata bulanan kad caj anda atau kemungkinan berlakunya urus niaga tanpa kebenaran yang melibatkan kad caj atau nombor PIN anda, disusuli dengan laporan secara bertulis secepat mungkin.
11. Bagaimanakah saya boleh membuat aduan mengenai pengeluar kad caj saya?
 Jika anda tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh pengeluar kad caj, anda bolehlah membuat aduan terus kepada pengeluar kad caj berkenaan. Jika anda masih tidak berpuas hati, anda boleh mengajukan aduan anda kepada Bank Negara Malaysia.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang prosedur membuat aduan ke atas pengeluar kad caj dari kalangan institusi perbankan, sila rujuk kepada buku panduan "Membuat Aduan Perihal Perbankan" yang terdapat di cawangan-cawangan institusi perbankan atau ke halaman Membuat Aduan Perihal Perbankan.



GLOSARI

Pengeluar Kad Caj
Institusi yang diberi kebenaran untuk mengeluarkan kad caj sama ada menggunakan satu jenama yang seragam atau menggunakan jenamanya sendiri.

Skim Pembayaran Kad Caj
Institusi atau persatuan (misalnya American Express, Diners Club dan MasterCard) yang menyediakan infrastruktur bagi kemudahan memperolehi keizinan dan penyelesaian urus niaga kad caj.

Saudagar
Sebarang perniagaan yang menerima kad caj sebagai salah satu alat bayaran untuk pembelian barangan dan/atau perkhidmatan mereka.

Urus Niaga Fraud
Urus niaga yang tidak mendapat kebenaran pemegang kad. Urus niaga ini mungkin berlaku akibat kehilangan atau kecurian kad, kad tidak diterima, kad dikeluarkan berdasarkan permohonan palsu, penipuan atau situasi-situasi penipuan yang ditakrifkan oleh pengedar kad caj.

Last Updated on Thursday, 08 October 2009 11:01