Tuesday, 19 Mar 2024
You are here: Home Kad Kredit
Info Pengguna - Kad Kredit PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 13 August 2009 16:59
PENGENALAN
Kad kredit ialah instrumen pembayaran yang menyenangkan kerana ia boleh digunakan bila-bila masa sahaja untuk membuat pembelian di kedai saudagar. Walau bagaimanapun, jika anda tidak menggunakannya secara berhemat atau gagal membuat bayaran bulanan, anda mungkin telah berbelanja di luar kemampuan anda dan terjerumus ke kancah kemelut kewangan.

Halaman ini menyediakan panduan untuk anda memilih kad kredit yang menepati keperluan anda dan bagaimana untuk anda menggunakan kad kredit anda secara efektif dan bijak.


APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KAD KREDIT DAN BAGAIMANA PULA TATACARANYA?
Kad kredit merupakan satu instrumen pembayaran yang membolehkan anda memperolehi barangan dan perkhidmatan tanpa melibatkan wang tunai. Anda boleh menggunakannya di mana-mana kedai saudagar yang mempamerkan jenama kad kredit anda, baik di dalam mahupun di luar negara.

Apabila anda menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan membuat pembayaran kepada saudagar terlebih dahulu bagi pihak anda dan menghantar bil kepada anda kemudian nanti. Sebaik sahaja menerima penyata bulanan, anda dikehendaki menjelaskan sekurang-kurangnya amaun pembayaran minimum sebelum tarikh tamat tempoh. Pengeluar kad kredit akan memberikan suatu tempoh tanpa faedah (biasanya 20 hari) di mana tiada faedah dikenakan ke atas baki belum jelas. Pengeluar kad kredit akan hanya mengenakan caj kewangan (faedah) ke atas baki belum jelas, jika ada, selepas tarikh tamat tempoh.

Kad kredit juga boleh digunakan untuk mendapatkan pendahuluan wang tunai di mesin-mesin ATM ('Automated Teller Machine') dan di kaunter-kaunter pengeluar kad kredit. Walau bagaimanapun, selain daripada dikenakan caj kewangan, anda akan dikenakan yuran pendahuluan wang tunai setiap kali anda berbuat demikian. Tidak ada tempoh tanpa faedah diberikan bagi pendahuluan wang tunai. Caj kewangan akan dikira bermula dari tarikh pengambilan pendahuluan wang tunai berkenaan dibuat.

Pengeluar kad kredit akan menghantar kepada anda penyata bulanan kad kredit yang mencatatkan butir-butir pembelian anda termasuk pendahuluan wang tunai (jika ada), jumlah baki belum jelas, jumlah bayaran minimum dan tarikh akhir untuk membuat pembayaran.


MEMOHON KAD KREDIT
Anda boleh memohon kad kredit daripada institusi-institusi yang mengeluarkan kad kredit asalkan anda berusia 21 tahun ke atas, berpendapatan minimum RM18,000 setahun dan memenuhi sebarang syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh pengeluar kad kredit tersebut. Bagi menyokong permohonan anda, dokumen-dokumen berikut mungkin perlu dikemukakan:
  • Salinan kad pengenalan
  • Surat perlantikan jawatan
  • Penyata cukai pendapatan terkini (Borang J)
  • Penyata bank
  • Slip gaji untuk bulan-bulan terdahulu
Jika anda bekerja sendiri, anda mungkin dikehendaki untuk mengemukakan butir-butir pendaftaran perniagaan dan dokumen-dokumen lain sebagai bukti pendapatan. Anda juga mungkin akan dikenakan syarat-syarat lain, seperti membuat pelaburan dalam deposit tetap.


KAEDAH MEMOHON
Memohon kad kredit tidak ada bezanya dengan permohonan pinjaman. Pengeluar kad kredit perlu membuat penilaian kredit ke atas anda berdasarkan maklumat yang telah anda berikan. Masa yang diambil untuk memproses permohonan anda bergantung kepada prosedur dalaman pengeluar kad kredit berkenaan.

Setelah permohonan diproses, anda akan dimaklumkan sama ada permohonan anda berjaya atau ditolak. Jika berjaya,kad kredit akan dihantar kepada anda melalui surat berdaftar atau anda diminta datang sendiri untuk mengambil kad kredit tersebut di ibu pejabat atau di cawangan pengeluar kad kredit tersebut. Anda juga akan diberikan Nombor Pengenalan Peribadi (nombor PIN) yang, atas sebab keselamatan, akan dihantar secara berasingan daripada kad kredit anda. Anda perlukan nombor PIN ini untuk memperoleh pendahuluan wang tunai dengan menggunakan kad kredit di mesin ATM.


SYARAT-SYARAT PEMEGANGAN KAD
Pengeluar kad kredit biasanya akan menyerahkan satu dokumen yang mengandungi syarat-syarat pemegangan kad kredit bersama-sama dengan kad kredit anda. Anda dianggap telah menerima syarat-syarat pemegangan kad yang terkandung di dalam dokumen ini sebaik sahaja anda mula menggunakan kad kredit atau setelah menandatangani dokumen penerimaan kad kredit. Oleh itu, anda perlu membaca dan memahami syarat-syarat pemegangan kad tersebut sebelum memeterai apa-apa perjanjian berkenaan dan menggunakan kad kredit anda kerana anda dan pengeluar kad kredit akan tertakluk kepada segala syarat-syarat yang terkandung di dalam dokumen tersebut.

Pada amnya, syarat-syarat pemegangan kad meliputi perkara-perkara berikut:
  • Jenis-jenis caj yang dikenakan
  • Hak-hak dan tanggungjawab pemegang kad dan pengeluar kad kreditnya
  • Perihal penggunaan kad kredit
  • Syarat-syarat pembayaran balik
  • Liabiliti bagi urus niaga tanpa kebenaran
  • Prosedur untuk membuat aduan, penyiasatan dan penyelesaiannya
  • Kerahsiaan maklumat
  • Lain-lain

Segeralah dapatkan khidmat nasihat daripada pengeluar kad kredit anda jika anda memerlukan penjelasan lanjut mengenai syarat-syarat pemegangan kad. Sekiranya anda tidak bersetuju dengan syarat-syarat pemegangan kad yang dinyatakan, anda ada pilihan untuk membatalkan sahaja kad kredit tersebut dengan memaklumkan pengeluar kad kredit dan memulangkannya kepada pengeluar kad kredit tersebut dengan serta-merta.

MEMAHAMI CAJ-CAJ YANG BERKAITAN DENGAN KAD KREDIT
Memahami jenis-jenis caj yang terlibat dalam penggunaan kad kredit adalah penting. Selagi anda menggunakan kad kredit secara berhemat dan menjelaskan bayaran dalam tempoh yang diberikan, anda tidak perlu risau dengan caj-caj tambahan.

Berikut adalah caj-caj yang lazim dikenakan ke atas anda:

  • Yuran penyertaan
    Pengeluar kad kredit mungkin akan mengenakan yuran penyertaan kad kredit. Bayaran ini dikenakan sekali sahaja. Yuran ini mungkin berbeza antara satu institusi pengeluar kad kredit dengan yang lain.

  • Yuran tahunan
    Ini adalah yuran sama rata yang perlu dibayar setahun sekali. Anda dikehendaki membayar yuran tersebut walaupun anda tidak pernah menggunakan kad kredit anda. Yuran tahunan biasanya adalah di dalam lingkungan RM60 hingga RM90 untuk kad klasik dan RM130 hingga RM195 untuk kad emas.

  • Caj kewangan (faedah)
    Ini adalah caj yang dikenakan kepada anda oleh pengeluar kad kredit ke atas baki yang tidak dijelaskan selepas tarikh tamat tempoh. Caj ini biasanya dikira berdasarkan baki harian. Anda dinasihatkan supaya meminta pengeluar kad kredit anda memberi penjelasan mengenai kaedah yang digunakan untuk mengira caj kewangan ini kerana jumlahnya akan bertambah sekiranya anda tidak membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

  • Yuran pendahuluan wang tunai
    Ini adalah yuran yang dikenakan bagi setiap kali pendahuluan wang tunai diperoleh. Yuran ini biasanya 3% hingga 5% daripada jumlah pendahuluan wang tunai yang diambil dan merupakan tambahan kepada caj kewangan yang dikenakan ke atas jumlah pendahuluan yang diberikan kepada anda. Caj kewangan dikira bermula daripada tarikh wang tersebut diambil atau apabila jumlah tersebut tercatat ke dalam akaun kad kredit anda. Jumlah pendahuluan wang tunai ini mungkin dihadkan untuk setiap pelanggan.

  • Caj bayaran lewat
    Ini adalah caj yang dikenakan jika anda gagal untuk menjelaskan sekurang- kurangnya jumlah bulanan minimum sebelum tarikh yang ditetapkan. Jika pembayaran dibuat selepas tempoh tanpa faedah berakhir, anda bukan sahaja dikenakan caj kewangan ke atas baki belum jelas tetapi juga caj bayar lewat ke atas jumlah bayaran minimum bulanan.



TIP-TIP DALAM MEMILIH KAD KREDIT
Dengan pelbagai kad kredit yang ditawarkan di pasaran, adalah penting untuk anda memilih kad kredit yang menepati keperluan anda. Berikut adalah beberapa tip dalam memilih kad kredit atau menilai kad kredit yang ada pada anda:

  • Hadiah promosi
    Pengeluar kad kredit mungkin menawarkan anda hadiah promosi seperti telefon bimbit, dompet kulit dan sebagainya untuk mempromosikan kad kredit mereka. Walau bagaimanapun, sebelum memohon, adalah penting untuk anda memahami syarat-syarat yang terkandung di dalam tawaran tersebut. Telitilah syarat-syarat yang ditetapkan untuk hadiah promosi dan denda yang akan dikenakan jika syarat-syarat tersebut tidak dipatuhi.

  • Kadar caj rendah sementara
    Untuk menarik perhatian anda, pengeluar kad kredit mungkin mengenakan yuran dan caj kewangan pada kadar rendah atau memansuhkan caj-caj tersebut sama sekali untuk sesuatu tempoh masa yang tertentu. Risalah promosi mungkin menitikberatkan kadar faedah permulaan yang rendah dengan saiz fon yang besar dan mudah dibaca, kadang-kadang tanpa mempamerkan tarikh luput. Kadar faedah selepas tamat tempoh promosi pula tidak dinyatakan dengan begitu jelas, iaitu dengan menggunakan saiz fon yang kecil dan mungkin hanya tercatat di sebelah belakang borang permohonan atau di muka surat terakhir risalah promosi yang mengandungi banyak muka surat.

    Anda perlu memahami syarat-syarat promosi dan menyedari bila tempoh promosi akan tamat kerana anda mungkin dikenakan caj seperti biasa atau pada kadar yang jauh lebih tinggi setelah tempoh tersebut berakhir.

  • Caj kewangan, yuran dan tempoh tanpa faedah
    Sebahagian besar keuntungan perniagaan kad kredit adalah berpunca daripada caj kewangan. Anda akan dikenakan caj kewangan jika anda tidak membayar sepenuhnya baki belum jelas selepas tamat tempoh masa tanpa faedah berakhir. Walau bagaimanapun, bagi pendahuluan wang tunai dan pemindahan baki, anda mungkin dikenakan yuran dan caj kewangan bermula dari tarikh urus niaga tersebut dibuat. Halakan tumpuan anda kepada yuran pendahuluan wang tunai dan pemindahan baki, caj kewangan dan tempoh tanpa faedah yang ditawarkan oleh pengeluar kad kredit tersebut.

    1. Tempoh tanpa faedah
      Pengeluar kad kredit menawarkan tempoh tanpa faedah, yang biasanya 20 hari, dari tarikh urus niaga mula direkodkan atau tarikh penyata sehingga tamat tempoh berakhir, kecuali dalam transaksi pendahuluan wang tunai dan pemindahan baki. Oleh itu, pilihlah kad kredit yang menawarkan tempoh tanpa faedah yang lebih panjang.

    2. Caj untuk pendahuluan wang tunai/pemindahan baki
      Kebanyakan pengeluar kad kredit mengenakan yuran di samping caj kewangan apabila anda menggunakan kad kredit untuk mendapatkan pendahuluan wang tunai atau pemindahan baki. Yuran bagi pendahuluan wang tunai mungkin dalam lingkungan 3% hingga 5% daripada jumlah pendahuluan wang tunai. Oleh itu, pilihlah kad kredit yang mengenakan yuran yang rendah bagi pendahuluan wang tunai dan pemindahan baki.



TIP-TIP UNTUK MENGURANGKAN CAJ
Anda boleh mengelak daripada dikenakan beberapa jenis caj tetapi masih boleh mengecapi manfaat yang diperolehi daripada penggunaan kad kredit. Berikut adalah beberapa tip untuk merealisasikannya:

  • Pilih tawaran yang terbaik. Ada pengeluar kad kredit yang tidak mengenakan sebarang yuran tahunan dan yuran penyertaan, sekurang-kurangnya untuk tahun pertama
  • Gunakan kad ATM anda untuk membuat pengeluaran tunai. Pendahuluan wang tunai melalui kad kredit harus dilakukan sebagai pilihan terakhir. Caj dan yuran bagi pendahuluan wang tunai adalah tinggi
  • Elakkan daripada dikenakan kos kad kredit yang tidak sewajarnya. Buatlah pembayaran sebelum tarikh yang ditetapkan seperti yang tercatat pada penyata kad kredit. Pastikan alamat anda yang disimpan oleh pengeluar kad kredit adalah tepat agar penyata bulanan diterima dengan secepat mungkin
  • Pembayaran bulanan yang dibuat pada tahap minimum akan melengahkan tempoh pembayaran balik dan meningkatkan jumlah faedah yang harus anda bayar. Langsaikan baki belum jelas anda supaya faedah tidak akan dikenakan
  • Hadkan jumlah kad kredit yang dipegang berasaskan keperluan dan kemampuan pembayaran anda
  • Berwaspada terhadap sebarang perubahan pada dasar dan kadar faedah. Sebagai contoh, pengeluar kad kredit anda mungkin akan menaikkan yuran atau menukar syarat-syarat pemegangan kad kredit



BAGAIMANA UNTUK MENGELAK DARIPADA MENJADI PEMINJAM
Strategi pemasaran kad kredit adalah semakin agresif dan inovatif untuk menggoda pemegang kad kredit agar tidak membayar baki belum jelas sepenuhnya dan sentiasa meninggalkan baki bulanan. Peminjam atau 'pemusing' ini mungkin beranggapan bahawa ianya lebih bermanfaat dan selesa dengan hanya membayar amaun bulanan minimum sahaja, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.

Anda harus menyedari akibat membuat pembayaran sebelum tarikh tamat tempoh berakhir setiap bulan mengikut amaun minimum. Anda bukan sahaja dikenakan caj faedah yang bertambah bahkan tempoh pembayaran balik turut bertambah. Ramai yang tidak menyedari kesan menambah baki bulanan kad kredit sehingga mereka menghadapi bebanan hutang yang banyak.

Di bawah ini adalah jadual yang menghuraikan tempoh pembayaran balik dan jumlah faedah yang dikenakan jika anda hanya membayar amaun minimum setiap bulan, iaitu 5% daripada baki belum jelas. Sebagai contoh, jika baki belum jelas anda ialah RM1,000 dan anda hanya menjelaskan bayaran bulanan minimum, anda akan mengambil masa selama 5.8 tahun untuk menjelaskan kesemua hutang anda, di mana jumlah faedah yang dikenakan adalah RM382, berdasarkan kadar faedah sebanyak 18% setahun.

Image



BAGAIMANA UNTUK MENCEGAH FRAUD KAD KREDIT Gejala fraud kad kredit adalah satu ancaman kepada pelanggan dalam menggunakan kad kredit. Fraud kad kredit boleh mengakibatkan anda dan pengeluar kad kredit mengalami kerugian besar. Pengeluar kad kredit sentiasa mengambil sikap berwaspada terhadap komplot fraud dan telah mengambil langkah-langkah keselamatan untuk melindungi anda daripada kemungkinan berlakunya fraud sedemikian. Walau bagaimanapun, anda juga harus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko menjadi mangsa fraud.

  • Jaga kad kredit anda
    1. Tandatangani kad kredit anda sebaik sahaja ianya diterima
    2. Simpan kad kredit anda pada tempat yang sama di dalam dompet atau beg duit supaya, jika ia hilang atau dicuri, anda akan menyedarinya dengan serta- merta
    3. Usah pinjamkan kad anda kepada sesiapa saja
    4. Jangan berikan butir-butir kad kredit anda (contohnya nombor kad dan tarikh luput) kepada orang yang tidak dikenali kerana ada kemungkinan maklumat tersebut digunakan untuk membuat pembelian melalui telefon, pos atau Internet
    5. Hafal nombor PIN anda dan jangan catatkan nombor PIN tersebut di belakang kad, menyimpannya di dalam dompet atau mendedahkannya kepada orang lain
    6. Simpanlah nombor telefon pengeluar kad kredit anda supaya anda dapat menghubunginya dengan serta-merta untuk melaporkan sebarang kehilangan/ kecurian kad, urus niaga tanpa kebenaran atau pendedahan PIN kepada pihak ketiga
    7. Pastikan anda telah memotong kad kredit yang telah luput kepada dua bahagian apabila anda menerima kad baru

     
  • Semak urus niaga kad kredit anda
    1. Sila teliti semua butir-butir pada urus niaga sebelum menandatangani atau mengesahkan setiap urus niaga yang dibuat
    2. Simpan semua slip urus niaga anda dan bandingkan dengan penyata kad kredit anda sebaik sahaja ianya diterima
    3. Beritahu pengeluar kad kredit anda dengan serta-merta jika terdapat sebarang kesilapan atau kemungkinan berlaku urus niaga tanpa kebenaran berhubung dengan kad kredit atau PIN anda dan diikuti oleh laporan bertulis
    4. Musnahkan semua slip-slip urus niaga anda sebelum anda membuangnya

Last Updated on Thursday, 08 October 2009 11:01