Thursday, 31 Jul 2014
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Bernama : Standard Keselamatan Di Tapak Pembinaan Perlu Dipertingkatkan

Pengumuman

Bernama : Standard Keselamatan Di Tapak Pembinaan Perlu Dipertingkatkan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 15:19
KUALA LUMPUR - Tapak pembinaan boleh dikategorikan sebagai zon berbahaya bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga orang awam di sekitar atau berhampiran kawasan tersebut.Rata-rata pekerja di tapak pembinaan terdedah kepada bahaya atau risiko antaranya akibat ketinggian tempat kerja, barang-barang yang dikendalikan, elektrik, motor, objek tajam yang bergerak, lif, kimia, habuk, bunyi bising dan ruang yang terbatas.Kebanyakan tapak pembinaan tidak dapat memisahkan sepenuhnya bukan pekerja atau orang awam. Tapak pembinaan jalan umpamanya pada kebanyakan masa perlu membenarkan trafik menggunakan laluan tersebut.

Kompleks membeli belah atau bangunan awam yang lain pula tidak boleh ditutup apabila sebahagian daripada bangunan-bangunan tersebut menjalani pengubahsuaian. Ini menyumbang sedikit-sebanyak risiko kepada orang awam dan bukan pekerja.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Standard Malaysia (Standards Users), Datuk N. Marimuthu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), pemaju, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan banyak pihak lain mempunyai peranan penting dalam mengurangkan kemalangan.
"Sasarannya harus kematian sifar di tapak-tapak pembinaan dan juga mana-mana tempat kerja," beliau memberitahu Bernama sebagai mengulas laporan akhbar mengenai kematian seorang pemuda akibat terjatuh ke dalam lubang ketika memasuki kawasan yang sedang diubahsuai di sebuah kompleks membeli belah terkemuka di sini baru-baru ini.

PERTIMBANGAN KESELAMATAN

Kemungkinan berlakunya kecederaan melibatkan orang awam bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kedudukan tapak kerja pembinaan dengan kanak-kanak atau pihak lain yang kurang kesedaran tentang bahaya, contohnya sekolah atau taman permainan.

Jumlah serta bentuk bahaya di tapak pembinaan termasuk tempoh kerja pembinaan dijalankan perlu diambil kira di samping pembinaan pagar keselamatan atau ciri-ciri lain yang boleh mengelakkan kemalangan.

"Apa yang kita inginkan ialah tapak pembinaan dipastikan berada dalam keadaan selamat sekiranya dicerobohi oleh orang awam," kata Marimuthu.

Beliau menyatakan beberapa contoh pencegahan termasuk memagar lubang yang dikorek, menutup lubang, mengadakan tanda amaran, mengunci pintu masuk tapak yang dipagar dan menugaskan pengawal keselamatan sekiranya perlu.

"Pendekatan kejuruteraan atau prosedur lain yang benar-benar berkesan bagi mengelakkan orang awam daripada menceroboh tapak pembinaan boleh juga dipertimbangkan," tambahnya.

STANDARD KESELAMATAN

Menjelaskan lebih lanjut tentang standard keselamatan untuk orang awam sewaktu operasi pembinaan, Marimuthu berkata ianya perlu juga mengambil kira objek yang jatuh daripada membahayakan keselamatan orang awam.

"Gunakan penghadang atau jaring, ambil langkah berwaspada untuk melindungi orang awam daripada kren, kenderaan bermotor atau sebarang jentera dan peralatan. Beri ingatan kepada orang awam tentang kesan bunyi bising, peralatan pembinaan dan pastikan laluan berhampiran tapak pembinaan boleh dilalui dan selamat.

"Simpan bahan yang berbahaya, kaji kawasan yang hendak digerudi atau digali lubang serta adakan pelan bertindak kecemasan di tapak pembinaan," tambahnya.

HARAPAN STANDARD USERS

Menurut Marimuthu, apa yang diharapkan oleh Standard Users ialah supaya industri pembinaan atau pengilangan dapat mengawal perjalanan industri masing-masing.

Setakat ini, katanya, perkara yang menjadi kebimbangan besar ialah hakikat ramainya bilangan pekerja asing yang diambil bekerja oleh industri pembinaan di mana kecederaan yang dialami mereka tidak dimasukkan ke dalam statistik yang disediakan oleh DOSH.

Keadaan itu, katanya tidak memberikan gambaran yang tepat mengenai tahap keselamatan dalam industri pembinaan di negara ini.

"Negara kita semakin bergantung kepada pekerja asing dan pengecualian data tersebut mungkin memberikan kita gambaran palsu bahawa semuanya selamat dan tidak perlu mengambil sebarang tindakan segera," hujah Marimuthu.

Standards Users, katanya berharap DOSH, CIDB dan dua kementerian (Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerjaraya) di mana mereka beroperasi dapat memastikan agensi penguatkuasaan masing-masing menggunakan sepenuhnya kuasa berhubung dengan tapak pembinaan dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Beliau juga meminta pihak berkuasa berkenaan untuk memaju dan melaksanakan standard mandatori untuk mengaudit serta menilai pencapaian keselamatan tapak pembinaan serta membawa pemaju dan pemilik bangunan ke muka pengadilan apabila tapak yang tidak selamat menyebabkan kecederaan dan kematian di kalangan orang awam.

"Hentikan sikap melindungi pemaju dan pemilik tapak yang sedang dibangunkan. Undang-undang sepatutnya menghukum pemilik dan pemaju dan bukannya mencari kambing hitam. Meletakkan tanggungjawab ke atas pemaju dan pemilik tapak yang sedang dalam pembinaan akan memastikan insiden lampau (seperti insiden yang menyebabkan kematian Dr Liew Boon Horng pada awal 2006 di Plaza Damas dan dua pekerja di Pavilion Kuala Lumpur pada 2007 tidak berulang," tegas Marimuthu.

PROGRAM UNTUK ORANG AWAM

Marimuthu juga berpendapat bahawa CIDB yang banyak melaksanakan program membangun keupayaan untuk pemaju dan pekerja perlu memasukkan sama isu kesedaran dan penghargaan keselamatan awam ke dalam program-program tersebut.

Beliau menjelaskan orang awam mempunyai hak untuk mengharapkan keselamatan di tapak pembinaan terutamanya jika mereka berada di kawasan berkenaan sewaktu operasi kerja-kerja pembinaan sedang berjalan umpamanya di kompleks membeli belah dan di sekitar rumah kedai.

CIDB dan DOSH, katanya perlu bekerjasama dengan pertubuhan, lazimnya bukan kerajaan yang mempunyai rangkaian jaringan yang baik dengan orang awam.

"Kedua-dua pihak ini boleh menekankan betapa pentingnya untuk mengenalpasti isu-isu keselamatan serta menepati standard keselamatan bukan sahaja untuk tapak pembinaan tetapi juga tempat kerja lain seperti hospital dan stesen minyak," katanya.


-- BERNAMA 

31 Mac 2008