Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Harian Metro : Usah tunggu aduan
Harian Metro : Usah tunggu aduan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 10:56

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan diminta lebih aktif menjalankan penguatkuasaan berterusan bagi menangani masalah makanan dan ubat-ubatan mengandungi bahan kimia berbahaya yang masih wujud di pasaran.

Pengarah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Darshan Singh, berkata tindakan lebih proaktif perlu diambil berikutan pengguna masih terdedah kepada bahan kimia berbahaya dalam makanan dan ubatan walaupun pelbagai operasi sudah dijalankan pihak berkuasa.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan perlu mencontohi langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang sentiasa menjalankan operasi dan tindakan penguatkuasaan tanpa menunggu aduan.

“Kementerian Kesihatan tidak sepatutnya bertindak hanya berdasarkan aduan, sebaliknya sentiasa menjalankan penguatkuasaan bagi melindungi pengguna daripada mengambil bahan terlarang.

“Kementerian juga perlu menjalankan kajian sampel bahan makanan dan ubatan yang ada di pasaran secara berkala untuk mengesan jika ia mengandungi bahan kimia berbahaya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam, mengenai penggemar minuman kopi segera perlu berwaspada berikutan kemunculan ‘kopi maut’ yang sengaja dicampurkan bahan kimia berbahaya, sintetik sildenafil nitrat, yang boleh menyebabkan mereka mati mengejut selepas meminumnya.

Kopi campuran itu kononnya diadun dengan herba asli seperti gingko biloba, ginseng dan pelbagai herba lain walhal ia sebenarnya hanya gimik untuk meyakinkan pengguna ia mampu merangsang nafsu seks.

Kewujudan kopi terbabit disedari Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan selepas menerima aduan orang ramai berhubung kesan negatif mengambil minuman itu.

Susulan maklumat diterima, pegawai penguat kuasa farmasi menjalankan risikan bagi mengesan pengedar kopi dalam peket yang diedarkan melalui jualan langsung itu.

Darshan berkata, jika didapati bahan makanan atau ubatan itu mengandungi bahan kimia berbahaya selepas kajian dijalankan, ia perlu ditarik balik serta-merta daripada pasaran.

Katanya, kementerian perlu membuat pengumuman kepada orang ramai mengenai jenama makanan atau ubatan yang sudah ditarik balik daripada pasaran supaya pengguna tahu mengenainya dan mampu melindungi diri mereka daripada terdedah kepada bahan kimia yang memudaratkan kesihatan.

“Pengguna perlu dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan hasil ujikaji yang dijalankan dan jenama yang ditarik balik kerana jika tidak, bagaimana mereka dapat melindungi diri dari bahan kimia berbahaya.

“Jika kereta rosak boleh diperbaiki tetapi jika organ penting rosak akibat pengambilan bahan kimia berbahaya, mungkinkah ia dapat diganti. Oleh itu, kementerian perlu lebih proaktif dalam menangani masalah seperti ini,” katanya.

Katanya, tanpa penguatkuasaan yang lebih cekap, masalah itu akan terus wujud dan tidak akan dapat diselesaikan.