Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Awasi aditif maut dalam roti
Awasi aditif maut dalam roti PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:55

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mengambil produk roti di pasaran yang didapati mengandungi bahan kimia tambahan dikenali sebagai kalium bromat.

Menurut Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian itu, Noraini Mohd. Othman, ia sudah lama diharamkan dalam mana-mana produk makanan tempatan.

"Bahan tersebut lazimnya pernah digunakan untuk tujuan bunuh diri hasil daripada autopsi (bedah siasat)," katanya dalam satu kenyataan yang difakskan kepada Kosmo! Ahad semalam.

Beliau mengulas laporan 'Roti sebabkan hiperkatif' yang disiarkan akhbar ini pada 23 Mac lalu dan susulan 'Siasat kimia dalam roti' siaran hari keesokan mengenai bahaya produk roti di pasaran domestik.

Ia hasil pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berdasarkan kajian rapi dijalankan selama dua tahun ke atas pelbagai jenama roti tempatan dan diimport yang didapati mengandungi bahan kimia berbahaya.

Mengulas lanjut, Noraini menambah, kalium bromat boleh menyebabkan keracunan dan mengakibatkan penyakit barah malah merosakkan buah pinggang serta sel-sel hati pada mangsa kes bunuh diri.

Menyentuh mengenai bahan kimia lain iaitu sodium steroyl lactylate dan benzoyl peroksida, Noraini menjelaskan, dua aditif itu buat masa ini didapati masih terkawal dan tidak berbahaya pada tubuh.

Penggunaan bahan terbabit dibenarkan dalam kuantiti kecil dengan diproses mengikut kaedah Amalan Pengilangan Baik dan pengeluar juga mematuhi garis panduan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Source : Kosmo, 7 April 2008