Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Harian Metro : Tauke sindiket 'koyak' RM2 juta
Harian Metro : Tauke sindiket 'koyak' RM2 juta PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:39

 

KUALA LUMPUR: Kedegilan sindiket jualan langsung menggunakan taktik koyak dan menang walaupun diharamkan kerajaan membawa padah apabila kegiatan mereka dikesan sepasukan polis Jenayah Komersial Bukit Aman, semalam.

Dalam serbuan di dua lokasi berasingan itu, polis merampas pelbagai barangan elektrik bernilai RM2 juta dari sebuah kedai di Puchong dan dua stor di kompleks beli-belah Summit USJ, Subang Jaya.

Walaupun diharamkan kerajaan, namun sindiket terbabit dikatakan aktif di sekitar Lembah Klang dengan menawarkan barangan elektrik sebagai hadiah yang kononnya bernilai ribuan ringgit.

Namun, hasil pemeriksaan ketika serbuan mendapati semua barangan elektrik ditawarkan sebagai hadiah itu adalah dari China dan bermutu rendah.


Difahamkan, sindiket terbabit yang beribu pejabat di Puchong menggunakan taktik mencari mangsa di pusat beli-belah, tempat meletak kereta, stesen minyak dan kawasan perumahan.

 Mereka dikatakan masih menggunakan taktik lama dengan menggunakan teknik pujukan dan lakonan untuk menipu mangsa yang mudah terpedaya dengan janji manis sindiket terbabit.

Komisen tinggi serta keuntungan lumayan yang diperoleh pekerja dan sindiket membuatkan mereka tidak serik dan masih menjalankan penipuan itu walaupun ia sudah diharamkan kerajaan bermula 3 Disember lalu.

Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner I Tajudin Md Isa, berkata polis akan sentiasa memantau dan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membanteras kegiatan terbabit.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan tidak mudah mempercayai kata-kata dan janji manis sindiket terbabit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Perdana, semalam.

Menurutnya, dalam operasi yang dilancarkan bermula jam 12.15 tengah hari itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita ketika mereka berada di pejabat mereka di Puchong.

Hasil soal siasat kemudian membawa kepada satu serbuan di pusat beli-belah Summit USJ yang dijadikan stor menyimpan pelbagai barangan elektrik buatan China yang bermutu rendah.

“Polis turut menahan empat wanita dan tiga lelaki ketika membuat serbuan di stor di pusat beli-belah terbabit.

“Semua mereka yang ditahan berusia 20-an dan kita akan menyiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tajudin berkata, sejak kegiatan gores dan menang diharamkan, kes yang membabitkan penipuan dijalankan sindiket itu menurun apabila hanya terdapat dua kes minggu dilaporkan.