Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Berita Harian : 3 inisiatif stabil harga
Berita Harian : 3 inisiatif stabil harga PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:33

24 Januari 2008

 

Pusat panggilan beroperasi 24 jam terima aduan pengguna: TPM

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan tiga inisiatif bagi menjamin kestabilan harga, kecekapan sistem bekalan dan pengedaran barangan pengguna, selaras penubuhan Majlis Harga Negara (MHN) yang diluluskan Kabinet pada 9 Januari lalu. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata inisiatif itu ialah mewujudkan Pusat Panggilan Kebangsaan, Stok Simpanan Kebangsaan dan Kumpulan Pakar bagi meneliti isu serta dasar berkaitan pengedaran, pengeluaran dan mekanisme penentuan harga.

"Pusat panggilan yang beroperasi 24 jam itu akan membolehkan pengguna membuat aduan berhubung masalah bekalan atau harga pelbagai barang keperluan supaya tindakan segera boleh diambil termasuk oleh unit penguat kuasa.

"Semua maklumat dan aduan yang diterima pusat panggilan itu disalurkan kepada Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau kementerian lain yang berkaitan untuk tindakan susulan.

"Stok simpanan pula bertujuan memastikan bekalan barangan sentiasa cukup dan stabil harganya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penubuhan MHN di Sri Satria, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Kumpulan Pakar MHN, Datuk Dr Kamal Salih yang juga Penasihat Pasukan Petugas Pelaksanaan Negara (NITF).

Najib yang juga Timbalan Pengerusi MHN berkata, majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu akan mengadakan mesyuarat pertamanya berhubung inisiatif berkenaan tidak lama lagi.

Beliau berkata, tanggungjawab MHN antara lain ialah memantau, menasihati dan menyelia dasar harga, struktur pasaran kompetitif, kecekapan dalam skim subsidi serta pencegahan terhadap ketidakadilan bagi pihak kerajaan.

Katanya, ia juga akan bertanggung jawab membendung pakatan sulit perdagangan yang menjejaskan bekalan dan harga barang keperluan serta perkhidmatan dengan memperluaskan bidang tugas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Barang-barang Perlu.

Penubuhan MHN diluluskan Kabinet bagi memastikan harga barang keperluan dan kenaikannya sentiasa dibuat mengikut garis panduan kerajaan serta mengatasi masalah kekurangan bekalan secara lebih berkesan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, segala keputusan yang dicapai oleh MHN mesti dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan dan diterima pakai sektor swasta, berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kerajaan peka dengan masalah inflasi dan harga barang keperluan di negara ini khususnya produk makanan seperti beras, tepung gandum, gula dan minyak masak yang menjadi isu sejak kebelakangan ini.

"Malah kenaikan harga minyak mentah di antarabangsa turut meningkatkan tekanan harga terhadap barang keperluan negara justeru tindakan komprehensif ini perlu dilakukan segera bagi melindungi serta mengawal kepentingan rakyat," katanya.

Najib berkata, langkah itu juga dibuat sebagai kesinambungan kepada usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini bagi memastikan kadar inflasi di negara ini tidak membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Beliau bagaimanapun menegaskan, penubuhan MHN tidak semestinya memberi jaminan harga barang akan dikurangkan kerana tujuan utamanya ialah memastikan bekalan mencukupi dan harga stabil demi kepentingan rakyat.

Anggota MHN ialah Mohd Shafie, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan Kedua.

Anggota lain ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Gabenor Bank Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Ketua Setiausaha MITI, Ketua Perangkawan dan wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).



INFO: Majlis Harga Negara

  • lMemantau kedudukan harga barang utama dan keperluan asas
  • Memantau sistem pengeluaran dan pengedaran barang asas
  • Memantau kegiatan sorok, penyeludupan dan penipuan bekalan
  • Mengkaji kesan tindakan kerajaan bagi mengatasi inflasi
  • Meneliti isu subsidi
  • Meneliti sistem perbezaan harga seberang sempadan
  • Memperaku tindakan bagi memperbaiki dasar dan mekanisme penetapan harga
  • Memperaku pindaan terhadap undang-undang sedia ada
  • Menggubal undang-undang baru
  • Melaksanakan program bersesuaian