Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Utusan Malaysia : Minyak masak, gula stok simpanan
Utusan Malaysia : Minyak masak, gula stok simpanan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:32

 

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Minyak masak dan gula merupakan antara barangan keperluan pengguna yang dikenal pasti boleh dijadikan stok simpanan di bawah inisiatif Stok Penimbal Kebangsaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, ini kerana penggunaan dua barangan tersebut amat meluas di kalangan masyarakat pengguna serta tahan lama.

Malah kedua-dua barangan itu juga sering berhadapan dengan krisis kekurangan bekalan terutama di musim perayaan.

Shafie berkata, kriteria barangan yang akan dimasukkan dalam inisiatif itu mesti bersifat tahan lama kerana ia akan disimpan untuk tempoh yang amat panjang dan hanya akan diagihkan apabila berlaku krisis.

“Tidak mungkin kita menjadikan ikan, sayur atau bahan makanan lain sebagai barangan stok simpanan kerana ia bukannya bahan yang tahan lama. Nanti tidak sampai sebulan semua bahan ini rosak,“ katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Perlindungan dan Penguatkuasaan Hak Cipta Harta Intelek dan Memerangi Barangan Tiruan serta Cetak Rompak, di sini hari ini.

Kerajaan semalam mengumumkan pewujudan Stok Penimbal Kebangsaan iaitu inisiatif baru untuk memperkukuh strategi bagi memastikan harga barangan keperluan terus stabil dan bekalannya sentiasa mencukupi di pasaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiga inisiatif akan diwujudkan di bawah Majlis Harga Negara (MHN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Shafie berkata, pihaknya akan mengemukakan senarai penuh barangan yang telah dikenal pasti itu untuk diputuskan dalam mesyuarat pertama MHN iaitu sebaik sahaja Perdana Menteri pulang dari Davos, Switzerland.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, selain menangani krisis kekurangan barangan, stok simpanan tersebut turut menjadi satu bentuk mekanisme untuk menstabilkan harga barang.

“Dengan cara ini peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan ketika berlaku kekurangan bekalan kerana kerajaan mempunyai simpanan mencukupi untuk diagihkan di kawasan yang mengalami kekurangan.

“Sebagai contoh jika berlaku kekurangan bekalan minyak masak di sesebuah kawasan sebanyak lima tan. Melalui inisiatif ini kerajaan akan segera menampung kekurangan yang berlaku.

“Melalui pendekatan ini juga secara tidak langsung mampu melindungi nasib pengguna di negara ini,” katanya.

Menurutnya, kadar inflasi negara yang di bawah empat peratus membuktikan keberkesanan langkah kerajaan memperkenalkan skim subsidi dan mengawal bahan-bahan tertentu.