Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Harian Metro : 15 anak lipas dalam botol kicap
Harian Metro : 15 anak lipas dalam botol kicap PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:29

 

JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga nyaris keracunan makanan apabila kicap kegemaran mereka yang dibeli dari sebuah pasar raya di Pandan, di sini mengandungi lebih 15 anak lipas, Isnin lalu.

Bapa kepada 10 cahaya mata, Zulkifli Koromoh, 50, berkata perkara itu pada awalnya disedari seorang daripada anaknya dan dia serta isteri terkejut melihat anak lipas bertakung di permukaan kicap dalam botol berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa anaknya sudah menjamah kicap terbabit menyebabkan anak sulungnya, Mohd Hamirul Asri Zulkifli, 17, sakit perut dan muntah.

“Mustahil serangga itu masuk botol berkenaan selepas kami membelinya kerana hanya menebuk sebahagian penutup botol bahkan serangga itu berukuran kira-kira satu sentimeter. Tarikh luput kicap itu adalah pada 17 November 2010,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Penduduk Kampung Melayu Majidee itu berkata, keluarganya berusaha bagi mendapatkan penjelasan pengurusan kilang kicap berkenaan dengan bertemu seorang eksekutif di bahagian pengeluaran.

Dia berkata, jawapan yang diberikan pengurusan kilang berkenaan jelas mengecewakan kerana mendakwa perkara itu biasa berlaku dan meminta supaya isu berkenaan tidak diperbesarkan.

Menurutnya, lebih mengejutkan, pengurusan berkenaan juga didakwa mengakui pernah menerima aduan seumpama itu sebelum ini daripada beberapa pengguna sehingga ia dianggap perkara remeh-temeh.

Justeru, katanya, dia mengajukan aduan berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kelmarin.