Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Harian Metro : Kilang diarah tutup 14 hari
Harian Metro : Kilang diarah tutup 14 hari PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:27

31 Januari 2008

 

 MELAKA: Kilang memproses belacan terbesar di negeri ini dipercayai menggunakan pewarna yang digunakan untuk mewarna pakaian bagi memastikan belacan dan cencaluk keluarannya berwarna menarik diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan negeri, mulai kelmarin.

Notis tutup selama 14 hari itu dikeluarkan sebelum analisis terhadap pewarna yang digunakan dalam penghasilan belacan itu dapat disahkan kandungannya.

Penutupan turut dibuat berikutan kilang itu didapati dalam keadaan kurang memuaskan dan persekitaran yang kotor.

Pengerusi Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Karim Sulaiman, berkata keputusan analisis mengenai jenis pewarna yang digunakan oleh pengeluar terbabit hanya akan diketahui dalam tempoh seminggu.


“Analisis itu penting bagi memastikan pewarna yang digunakan boleh membahayakan kesihatan manusia ataupun sebaliknya.

“Sekiranya ia didapati berbahaya tindakan akan diambil terhadap pemilik kilang itu,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan sebuah kilang memproses belacan terbesar di negeri ini dikesan menggunakan pewarna yang digunakan untuk mewarna pakaian bagi memastikan belacan dan cencaluk keluaran syarikatnya berwarna menarik.

Tindakan kilang itu yang beroperasi di Batu Berendam, dekat sini, menggunakan pewarna pakaian terbongkar selepas premis berkenaan diserbu dalam operasi bersepadu pihak berkuasa negeri, kelmarin.

Karim berkata, sepanjang tempoh penutupan itu, pengurusan kilang perlu membersihkan kilangnya dan sekiranya Jabatan Kesihatan berpuas hati dengan tahap kebersihan itu, barulah kilang berkenaan dibenarkan menyambung operasi.

“Kami kesal kerana pengusaha kilang terbabit sanggup menggunakan pewarna bukan untuk makanan bagi membuat belacan.

“Ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan dan juga boleh menjejaskan industri makanan tradisional tempatan. Ini kerana pengguna akan ragu-ragu dengan belacan yang dikeluarkan dari negeri ini.

“Apa yang dikesalkan mereka juga sanggup menipu pengguna Islam dengan menggunakan logo halal secara haram,” katanya.

Belacan dan cencaluk yang dihasilkan syarikat terbabit menggunakan lebih 10 jenama dijual di seluruh negeri ini selain dieksport ke Singapura.