Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Kosmo : Produk label palsu
Kosmo : Produk label palsu PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:26

 


ANGGOTA-ANGGOTA penguat kuasa Jabatan Kesihatan Petaling memeriksa produk-produk makanan di sebuah pasar raya terkemuka dekat Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pelbagai cara digunakan pengeluar produk makanan untuk menarik perhatian pelanggan membeli produk mereka dan terbaru dengan cara menipu label kandungan yang tertera pada tin atau bungkusannya.

 

Ia terbongkar ekoran serbuan anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan di sebuah pasar raya dekat sini semalam yang mendapati penipuan pada label kandungan beberapa produk makanan untuk mengelirukan pengguna.

Semuanya dilakukan bagi melariskan produk yang dijual kerana kebiasaannya kebanyakan pengguna akan memilih produk makanan yang mengandungi kandungan zat baik.

Dalam operasi yang diketuai Pegawai Kesihatan Daerah Petaling, Dr. Ismail Lasa di pasar raya berkenaan mendapati berlakunya penambahan kandungan zat terhadap beberapa produk makanan termasuk biskut popular yang digemari kanak-kanak.

"Kandungan zat pada biskut itu juga tidak munasabah dan sememangnya mengelirukan khususnya bagi mereka yang tidak mengetahuinya.

"Berdasarkan penelitian, terdapat pengeluar produk mengambil kesempatan dengan menggunakan perkataan kuat terhadap produk makanan yang dijual sesuai dengan kandungan zat yang tertera pada labelnya," kata Ismail.

Dalam Operasi 'Ops Shu' itu, sebanyak 73 jenis produk barangan makanan dikesan tidak memenuhi standard penjualan serta mengandungi kesalahan-kesalahan tertentu ekoran kegagalan pihak pengurusan pasar raya mengikuti garis panduan pihak kementerian.

Antara kesalahan-kesalahan yang dikesan dalam operasi tersebut termasuk jualan barangan dalam tin yang sudah kemek, barangan makanan tamat tempoh, pengubahsuaian tarikh tamat tempoh yang diperbaharui dan maklumat kandungan bahan makanan yang mengelirukan.

Ismail memberitahu, sebanyak 34 jenis produk makanan di pasar raya terbabit didapati tamat tempoh, manakala 39 jenis produk lagi dikenal pasti mengandungi masalah penyenaraian kandungan bahan yang mengelirukan serta tidak mempunyai maklumat pengimport.

"Pada mulanya kami hanya mahu membuat operasi rampasan coklat yang tamat tempoh sebagaimana laporan sebuah akhbar (KOSMO!) baru-baru ini, namun tidak sangka ada barangan lain yang turut 'bermasalah' serta mengandungi maklumat kandungan produk mengelirukan," katanya.