Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Harian Metro : Resipi maut ubat tradisional
Harian Metro : Resipi maut ubat tradisional PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:22

 

KUALA LUMPUR: Orang ramai diberi amaran berhati-hati berikutan kemunculan dua produk tradisional ‘maut’ yang dikesan mengandungi kimia berbahaya Sibutramine dan Ephederine yang boleh mengakibatkan pengguna menjadi tidak siuman serta mengalami kerosakan organ dalaman.

Difahamkan ramai pengguna terbeli produk berkenaan selepas teruja dengan dakwaan pengedar produk itu kononnya ia boleh menguruskan badan dalam tempoh pantas selain menghilangkan masalah semput.

Bagaimanapun Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang menjalankan siasatan berjaya menghidu bahaya produk terbabit sebelum mengharamkan penjualannya di pasaran tempatan berkuat kuasa semalam.
 

Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan, Mohd Sabri Abdullah, berkata produk yang dikenal pasti berbahaya itu adalah jenama `Bionex’ dan `Ju Purt Jen Chin Yen’ (Cap Fuu Cheng) yang dikenal pasti mengandungi racun berjadual.

Difahamkan pemeriksaan Jabatan Kimia mengesahkan Bionex mengandungi kimia Sibutramine manakala Ju Purt Chin Yen mengandungi kimia Ephederine.

Menyedari bahaya yang menanti, Kementerian Kesihatan meminta orang ramai mengelak daripada membeli atau mengguna dua produk tradisional yang mengandungi Sibutramine dan Ephederine terbabit.

“(PBKD) dalam mesyuaratnya ke-201 mengambil kata putus membatalkan pendaftaran kedua-dua produk ini kerana ia mengandungi racun berjadual yang boleh memberi risiko kepada kesihatan pengguna,” katanya.

Mohd Sabri berkata, ubat yang mengandungi Sibutramine dan Ephederine hanya boleh dibekal doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor kerana penggunaan tanpa pengawasan doktor tidak selamat.

Penggunaan ubat yang mengandungi Sibutramine tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan serius seperti tekanan darah dan kesan kardiovoskular yang lain.

Difahamkan kimia beracun Sibutramine yang menjadi ‘resipi sulit’ dalam kebanyakan ubat menguruskan badan didakwa tidak sekadar memberi kesan buruk terhadap kesihatan, malah lebih teruk turut menyebabkan mangsa gagal mengawal emosi dan tidak siuman.

Malah pada Julai lalu, Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM pernah merampas produk jenama NP Trimz selain merampas 14 tong berisi sibutramine yang dianggarkan bernilai lebih RM6 juta.

Difahamkan, kebanyakan kapsul atau serbuk pelangsing mengandungi bahan kimia Sibutramine boleh memberi kesan sampingan seperti kemurungan, psikosis dan halusinasi, risiko tekanan darah tinggi, sakit jantung dan kepala.

Ia turut boleh mempercepatkan denyutan jantung dan meningkatkan tekanan darah. Oleh itu, individu yang ada masalah jantung, glaukoma atau pernah diserang angin ahmar dilarang mengambil ubat ini.

Pada 15 Februari tahun lalu, seorang suri rumah, Normala Shahidan, 33, dari Kampung Gunung Keriang, Alor Star, Kedah meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Alor Star, dipercayai akibat mengambil ubat pelangsing dengan kandungan bahan kimia sama.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan bertindak membatalkan pendaftaran ubat tradisional berjenama `Kintop’ pada 24 ogos 2006.

Manakala penggunaan ubat yang mengandungi Ephederine pula boleh menyebabkan kesan terhadap sistem saraf pusat seperti keresahan, insomnia, kekeliruan, kesan ke atas sistem saraf usus seperti loya, penurunan berat badan dan kesan kepada sistem penafasan seperti Dypnea.

Kimia Ephederine biasanya digunakan untuk merawat penyakit lelah, namun dalam beberapa kes sebelum ini, kimia dalam bentuk pil ini kerap dicampurkan bersama ubat batuk bertujuan untuk memperolehi tahap khayalan maksimum.

Penggunaannya secara berlebihan boleh merosakkan badan pengguna kerana menyebabkan otot susut, kerosakan kepada paru-paru, hati, sistem penghadaman termasuk ginjal.

Menurutnya, PBKD tidak dapat menjamin keselamatan penggunaan Bionex keluaran Figure Line Beauty Specialist Sdn Bhd dan Ju Purt Jen Chin Yen (Cap Fuu Cheng) keluaran Besfomec Industries Sdn Bhd yang ada di pasaran sekarang.

Sementara itu Kementerian Kesihatan mengingatkan penjual, pemilikan untuk penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1985.

Sabri berkata, individu yang melakukan kesalahan mengikut peraturan-peraturan ini boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.