Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Harian Metro : Kad tambah nilai masih dijual mahal
Harian Metro : Kad tambah nilai masih dijual mahal PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:12

21 Mac 2008

 

KUALA LUMPUR: Degil ungkapan tepat menggambarkan sikap segelintir peniaga di Perhentian Puduraya di sini, yang masih menjual kad tambah nilai pada harga lebih mahal daripada ditetapkan di pasaran.

Walaupun berulang kali dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kebanyakan peniaga ini biasanya akan menjual kad tambah nilai talian telefon prabayar bernilai RM10 pada harga melebihi ditetapkan iaitu pada kadar RM10.50 atau RM11 berbanding harga siling ditetapkan.
 

Tinjauan Harian Metro tengah hari semalam, mendapati kebanyakan peniaga wanita yang kebanyakan warga asing menjual kad tambah nilai itu pada harga melampau.

Sepanjang dua jam menjalankan penyamaran, lima dari enam peniaga yang didekati didapati menjual kad prabayar itu melebihi nilai ditetapkan.

Wartawan Harian Metro yang mempersoalkan tindakan peniaga terbabit bagaimanapun, dicemuh dengan kata-kata antaranya: “Kalau nak murah...awak pergi cari kedai lain..di sini (Puduraya) semua jual harga sama.”

Seorang lagi peniaga yang dihampiri memberitahu terpaksa menjual kad tambah nilai pada harga RM10.50 kerana mereka hanya mendapat keuntungan 10 sen sahaja bagi setiap keping kad tambah nilai yang dijual pada harga RM10 sahaja.

“Tauke kata untung 10 sen itu sikit sangat. Kalau jual 50 keping sehari pun...tak balik modal. Kalau abang nak beli saya cuma boleh bagi RM10.50 sahaja,” kata seorang gadis Indonesia.

Gadis terbabit yang sudah dua tahun bekerja sebagai pembantu gerai di Puduraya mendakwa diarahkan majikannya menjual kad prabayar pada harga lebih 50 sen atau RM1 mengikut suasana semasa.

“Jika tuan punya kedai menjual makanan ringan lain menaikkan harga, kami juga terpaksa ikut sama menaikkan harga kad tambah nilai,” katanya.

Sepanjang dua jam melakukan penyamaran, wartawan Harian Metro menghabiskan RM43 bagi membeli empat keping kad tambah nilai pelbagai syarikat telekomunikasi melalui empat jurujual berasingan.

Sementara itu Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan, Othman Nawang berkata, pihaknya kerap menerima aduan daripada pengguna berhubung penipuan harga kad tambah nilai berkenaan dan tindakan sudah diambil.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, seramai 10 pegawai KPDNHEP yang dipecahkan kepada tiga pasukan membuat serbuan serentak di perhentian Puduraya, kelmarin.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, seramai tiga peniaga di kawasan terbabit ditahan dan disoal siasat selepas didapati menjual kad tambah nilai melebihi harga pasaran ditetapkan.

“Siasatan sebelum ini mendapati kebanyakan peniaga berkenaan masih berdegil dan menjual kad tambah nilai pada harga melampau walaupun pernah diberi amaran berulang kali.

“Berikutan itu, pegawai KPDNHEP yang menjalankan pemeriksaan merampas 439 keping kad tambah nilai pelbagai nilai yang semuanya berjumlah RM4,420,” katanya.

Difahamkan individu atau syarikat yang menjual kad tambah nilai atau prabayar pada harga melebihi ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 atau Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh dikenakan hukuman dengan tidak lebih RM100,000.

“Pihak KPDNHEP akan meneruskan operasi dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan berkenaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pejabat KPDNHEP Wilayah Persekutuan untuk siasatan lanjut,” katanya.

 

 

 

 
Last Updated on Thursday, 10 September 2009 12:13