Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Berita Harian : Harga susu, produk coklat meningkat
Berita Harian : Harga susu, produk coklat meningkat PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:12

21 Mac 2008

 

KUALA LUMPUR: Harga susu tepung dan minuman bertin atau dipaket berasaskan susu dan coklat di pasaran tempatan meningkat di antara 60 sen hingga RM1.50 sejak dua bulan lalu berikutan harga bahan asas untuk menghasilkan barangan itu meningkat.

Kedua-dua barangan itu menggunakan bahan asas utama iaitu susu pekat dari Australia dan New Zealand. 

Timbalan Ketua Pengarah (Penguat kuasa Pembangunan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Iskandar Halim Sulaiman, berkata pihaknya ada menerima aduan pengguna mengenai kenaikan harga bahan berkenaan.

Beliau berkata, KPDNHEP tidak boleh mengeluarkan arahan supaya penjual menurunkan harga kerana susu tepung dan minuman bercoklat, termasuk Milo bukan barangan kawalan dan penentuan harga bergantung kepada kuasa pasaran.

“Bagaimanapun, pembeli boleh membuat pilihan dengan membeli di tempat yang menawarkan harga lebih murah kerana setiap pasar raya mempunyai strategi pemasaran sendiri untuk menarik pelanggan.

“Selain itu, kami ada menerima rungutan harga dua produk itu berbeza di setiap kedai,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tinjauan Berita Harian ke beberapa pasar raya di sekitar Lembah Pantai dan Ampang mendapati harga dua produk ini itu berbeza sehingga mencapai RM3.

Seorang pembeli yang ditemui di sebuah pasar raya, Nur Aishah Alias, 33, berkata harga susu tepung yang dibeli meningkat 60 sen daripada RM16.70 ke RM17.20 sekilogram.

“Kenaikan ini saya sedari bulan lalu selepas membuat perbandingan harga barang dua bulan sebelum itu, tetapi kenaikan ini tidak menjejaskan kerana saya percaya mereka mempunyai alasan tersendiri menaikkan harga barang itu.

“Harga Milo juga mencatatkan peningkatan tetapi saya menggantikannya dengan jenama lain kerana harganya lebih murah dan rasanya hampir sama,” katanya.