Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Kosmo : Mahu cantik bertukar hodoh
Kosmo : Mahu cantik bertukar hodoh PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 12:07

25 Mac 2008

 

 


MICHAEL membandingkan gambar Pik Yock sebelum rawatan dengan keadaan mukanya sekarang di Biro Pengaduan MCA di Jalan Ampang semalam.

 


KUALA LUMPUR - Gara-gara mahu dipandang cantik, seorang eksekutif bank wanita terpaksa menanggung derita apabila rawatan kecantikan yang diterima di sebuah pusat kecantikan di Kota Damansara pada 23 November lalu menjadikan wajahnya semakin hodoh.
 

Bagi mangsa, Chey Pik Yock, 25, memiliki wajah yang dipenuhi parut dan jerawat besar ekoran rawatan tersebut bagaikan mimpi ngeri dalam hidupnya.

Menceritakan kejadian tersebut, Pik Yock berkata, dia mula terpengaruh menjalani rawatan di pusat kecantikan itu selepas mukanya dipenuhi jerawat.

"Semasa berunding dengan pakar kecantikan di situ, pakar kecantikannya menyarankan supaya saya menjalani rawatan sebanyak lapan kali dengan pakej bernilai RM1,499.

"Kerana mahu cantik dengan muka pulih seperti biasa saya terus bersetuju dan mula menerima rawatan pada 23 November," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, Jalan Ampang semalam.

Menurut Pik Yock, selepas menjalani rawatan pertama, dia mula merasa sesuatu yang tidak kena apabila pipi dan dahinya mula membengkak selain kesan terbakar pada seluruh muka.

"Saya kemudiannya berjumpa pakar kecantikan tersebut tetapi dimaklumkan bahawa ia adalah simptom biasa," katanya.

Jelasnya, dia turut diminta pakar tersebut supaya bersabar kerana untuk kelihatan cantik dia perlu menahan sakit untuk tempoh tertentu.

Malah Pik Yock berkata, pusat kecantikan itu turut memujuk Pik Yock supaya meneruskan rawatan selain saranan membeli beberapa produk lagi untuk menyembuhkan semula mukanya.

"Saya kemudiannya menghabiskan RM360 lagi untuk membeli beberapa produk lain dan meneruskan rawatan muka sebanyak dua kali selepas itu tetapi muka saya masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih," katanya.

Bimbang dengan keadaan kulitnya yang semakin teruk, Pik Yock berkata, dia kemudiannya berjumpa dengan seorang pakar kulit di sebuah klinik pada Februari lalu dan terkejut sebaik dimaklumkan dia dijangkiti 'Alergi Akut'.

"Saya kemudian buat aduan kepada pusat kecantikan dan minta mereka memulangkan wang saya dan ganti rugi namun tidak diendahkan," katanya yang kini masih menjalani rawatan muka dengan pakar kulit.

Berikutan kejadian itu, katanya, kehidupannya kini berubah termasuk menjejaskan kariernya sebagai eksekutif pemasaran kerana kurang keyakinan untuk berhadapan dengan pelanggan.