Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Utusan Malaysia : AFTA strategi kawal harga barang
Utusan Malaysia : AFTA strategi kawal harga barang PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 11:57

25 Mac 2008

 

PUTRAJAYA – Malaysia tidak menolak kemungkinan mengguna pakai Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) bagi memudahkan kemasukan barangan makanan sebagai strategi menangani kenaikan harga barang di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, walaupun ramai menyedari kewujudan AFTA menerusi pengecualian tarif produk asing tertentu sejak 2003, namun masih ada menganggap barang keperluan tempatan terbaik hanya boleh diperoleh dari sempadan negara.

Dalam konteks ini, kata beliau, pasaran dalam negara ini sememangnya kecil sekali gus memudahkan harga barang dikawal oleh pengilang.

Justeru, beliau menyifatkan kawalan harga ke atas barangan keperluan sebagai tidak realistik selagi kerajaan tidak mengekang faktor bekalan oleh pengilang.

“Masalahnya kenaikan harga bergantung kepada soal bekalan yang diimbangi permintaan.

“Jika dibenarkan banyak produk (makanan) dibawa masuk ke negara ini dengan membuka pasaran menerusi AFTA, maka satu sistem kawalan harga mungkin diperoleh,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis serah tugas daripada bekas menteri, Datuk Mohd. Shafie Apdal yang kini mengetuai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di sini hari ini.

AFTA yang dipersetujui oleh ketua-ketua kerajaan ASEAN pada Oktober 2003 merupakan usaha bersepadu untuk mewujudkan satu pasaran serantau melalui Masyarakat Ekonomi ASEAN (AEC) yang terkandung di dalam Deklarasi Bali Concord II.

Melalui deklarasi itu, Asia Tenggara akan menjadi satu pasaran barangan negara-negara anggota yang antara lain memudahkan kemasukan barangan, perkhidmatan, pelaburan dan modal menjelang 2010.

Menurut Shahrir, pihaknya juga menyambut baik penubuhan Majlis Harga Negara (MHN) awal tahun ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengekang kenaikan harga barang.

“Ini bermakna ada asas kesediaan (menanganinya) dan perlu ada penyelarasan semua kementerian ke arah mendapatkan satu harga yang munasabah untuk pengguna.

“Penyelarasan ini bukan tanggungjawab kementerian ini semata- mata tetapi melibatkan penyertaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi,” katanya.