Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Kosmo : Elakkan diri masuk jerat hotel
Kosmo : Elakkan diri masuk jerat hotel PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 11:54

26 Mac 2008

 

ALOR STAR - Anda mungkin ditipu sehingga RM600 dengan hanya satu panggilan telefon jika tidak berwaspada.

Demikian pendedahan Persatuan Pengguna Kedah (Cake) apabila menerima lebih 30 aduan penipuan melalui keahlian kelab pelancongan yang ditawarkan oleh beberapa hotel terkemuka di negara ini.

Presiden Cake, Datuk Yusof Ismail, taktik yang digunakan oleh hotel berkenaan ialah dengan menelefon mana-mana mangsa dan menawarkan pakej pelancongan menarik dan meminta nombor kad kredit untuk pembayaran.

"Walaupun mangsa tidak memberi persetujuan kepada hotel itu untuk menerima pakej tersebut, mereka akan memberi alasan nombor kad kredit berkenaan adalah untuk rujukan sahaja," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Tambah Yusof, kebanyakan mangsa akan terpedaya dengan janji manis wakil hotel berkenaan dan memberikan nombor kad kredit tanpa berfikir panjang.

"Tanpa tandatangan sebarang dokumen, mangsa tahu dirinya ditipu apabila menerima surat keahlian kelab pelancongan itu dan sejumlah bayaran melalui kad kredit telah dikenakan," ujarnya.

Yusof memberitahu, jumlah aduan yang diterima pihaknya amat membimbangkan dan berharap pengguna tidak lagi terpedaya dengan panggilan sedemikian.

"Saya tahu panggilan itu memang menawarkan sesuatu yang menarik tetapi pengguna harus ingat nombor kad kredit tidak boleh diberikan kepada orang yang tidak dikenali," tegasnya.

Seorang mangsa, Kamilah Mat Isa, 41, memberitahu Kosmo!, beliau ditipu sebanyak RM399 oleh sebuah hotel di Pulau Pinang yang menawarkan pakej pelancongan seperti itu.

"Seorang wanita menelefon saya menawarkan pakej berkenaan dan meminta nombor kad kredit dengan alasan untuk rujukan sahaja tetapi hakikatnya mereka memperdayakan saya," katanya.