Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Utusan Malaysia : Kementerian siasat kes eksekutif bertukar hodoh
Utusan Malaysia : Kementerian siasat kes eksekutif bertukar hodoh PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 11:44

 

 KUALA LUMPUR- Kes seorang eksekutif pemasaran bank wanita, Chey Pik Yock, 25, yang mukanya menjadi hodoh selepas menerima rawatan muka di sebuah pusat kecantikan telah menarik perhatian Kementerian Kesihatan.

Ketua Biro Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong berkata, seorang pegawai kanan kementerian itu menghubunginya bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kes itu.

"Pegawai itu akan jumpa saya dalam sehari dua ini bagi membincangkan kes berkenaan.

"Saya berharap Kementerian Kesihatan akan ambil tindakan dalam kes ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Muka depan Utusan Malaysia hari ini melaporkan Pik Yock, terpaksa menelan kenyataan pahit menjadi hodoh semata-mata kerana ingin merawat beberapa jerawat yang tumbuh pada muka beliau.

Mangsa mendakwa, beliau tidak menyangka rawatan muka yang diterimanya sebanyak tiga kali sejak November tahun lalu akan menyebabkan mukanya dipenuhi parut dan jerawat.

Beliau sebelum ini bersetuju menjalani pakej rawatan muka sebanyak lapan kali pada harga RM1,499 di sebuah pusat kecantikan di Kota Damansara.

Bagaimanapun, selepas rawatan pertama, muka beliau telah mengalami bengkak termasuk kesan terbakar.

Pik Yock meneruskan lagi rawatan sebanyak dua kali pada Januari lalu dan keadaan berubah menjadi semakin serius.

Pada 4 Februari, doktor mengesahkan muka mangsa dijangkiti 'alergi akut' yang berpunca daripada rawatan itu.

Beliau sehingga kini tidak diberi penjelasan yang sewajarnya berhubung apa yang berlaku ke atas wajahnya.

Dalam pada itu, Michael memberitahu, pihaknya menasihatkan mangsa seperti Pik Yock supaya mengambil tindakan undang-undang jika pihak pusat kecantikan tidak memenuhi permintaan mangsa memulangkan semula wang termasuk pampasan apabila berlaku kecuaian.

Dapatkan pakar kecantikan berkelayakan

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kaum wanita yang berhasrat untuk mengambil pakej rawatan kecantikan muka dinasihatkan agar berjumpa dengan pakar kosmetik yang berkelayakan dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

Pakar Perunding Kanan Pembedahan Maksilofasial Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Zainal Arif Abdul Rahman berkata, langkah itu adalah penting bagi memastikan mereka mendapat khidmat rawatan yang betul daripada pakar yang berkelayakan dalam bidang tersebut.

''Kebanyakan wanita tertipu dengan istilah pakar kecantikan yang digunakan oleh beberapa pusat atau klinik kecantikan yang turut menawarkan bayaran murah selain harga yang boleh dirunding.

''Sedangkan, terdapat antara pakar kecantikan itu sendiri tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas mengenai anatomi, fisiologi dan biologi badan manusia atau mungkin tidak berkelayakan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai seorang eksekutif pemasaran bank wanita tidak menyangka impiannya untuk mempunyai rupa paras yang menawan melalui rawatan kecantikan bertukar menjadi mimpi ngeri yang menghantuinya seumur hidup.

Mangsa, Chey Pik Yock, 25, kini hanya mampu mengenangkan nasib malangnya kerana memiliki wajah hodoh yang dipenuhi parut dan jerawat besar ekoran rawatan itu.

Katanya lagi, kaum wanita juga harus mendapatkan maklumat terperinci mengenai rawatan kecantikan muka termasuk mereka perlu mengetahui komplikasi yang ditanggung sekiranya rawatan itu tidak berjaya.

Dalam perkembangan yang sama, Zainal Arif turut mencadangkan satu badan khas dari Kementerian Kesihatan diwujudkan bagi memantau perkara yang sama daripada berulang pada masa akan datang.

Kes serupa pernah berlaku pada pertengahan Januari lalu apabila isteri Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, dilaporkan koma selepas menjalani rawatan dan pembedahan kecantikan wajah di sebuah klinik swasta di Klang.

Fatimah Wan Chik, 44, dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Gleneagles Intan, di Ampang, Selangor, setelah tidak sedarkan diri semasa pembedahan itu dilakukan.