Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Berita Harian : Kementerian siasat kenaikan harga tepung
Berita Harian : Kementerian siasat kenaikan harga tepung PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Thursday, 10 September 2009 11:44

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan menyiasat punca kenaikan harga tepung diperkaya untuk kali ketiga dalam tempoh enam bulan kepada RM69.30 satu beg 25 kilogram (kg).

Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata pegawainya akan diarah meneliti perkara itu sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut yang wajar diambil untuk mengelak keadaan sedemikian berlarutan.
Beliau berkata, harga tepung diperkaya yang tidak dikawal adalah antara sebab ia dinaikkan, bagaimanapun siasatan perlu untuk mengetahui alasan pengilang berbuat demikian sebanyak tiga kali sejak September tahun lalu.
"Selain melindungi pengilang, kerajaan akan meneliti kemungkinan memperluaskan kebenaran mengimport bahan mentah dengan memperkenalkan pasaran terbuka bagi barangan keperluan sebagai langkah membantu mengubah struktur ekonomi negara ke tahap yang lebih baik kerana ia mampu menghentikan monopoli pihak tertentu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, Pengerusi Persatuan Pengilang Roti Bumiputera Semenanjung (PPRBS), Mohd Ghazali Abu Bakar, mengadu tindakan pengilang tepung yang menaikkan harga tepung diperkaya untuk pembuatan roti dan kek sebanyak RM10 untuk satu beg 25 kilogram (kg), berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Kenaikan harga kali ketiga dalam masa enam bulan itu menyebabkan harga produk yang tidak dikawal itu mencecah RM69.30 bagi satu beg 25 kg atau RM2.80 satu kg. Sebelum ini, harga tepung diperkaya dinaikkan sebanyak RM7.50 pada September 2007 dan naik lagi sebanyak RM15 pada Oktober tahun lalu.

Berikutan itu, persatuan itu meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Shahrir campur tangan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan tujuh pengilang tepung tempatan menaikkan harga barang itu sesuka hati.

Malah, PPRBS juga meminta kerajaan membenarkan peniaga bakeri dan ahli persatuan itu mengimport tepung secara terus daripada pembekal luar negara.

Shahrir berkata, status sebagai barang yang harganya tidak dikawal bukannya alasan terbaik untuk pengilang tepung bertindak menaikkan harga beberapa kali dalam jangka masa singkat.

"Sama juga keadaannya jika ada kawalan harga tetapi harga tidak dapat dikawal dengan berkesan," katanya.

Selain itu, beliau juga meminta persatuan itu mengemukakan rayuan kepada kementerian berkenaan berhubung perkara itu dalam masa terdekat untuk diteliti bagi mencari penyelesaian terbaik.