Saturday, 04 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Malaysiakini: Mitos mengenai globalisasi
Malaysiakini: Mitos mengenai globalisasi PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:39

Golongan anti-globalisasi sering menimbulkan pelbagai mitos mengenai globalisasi. Hampir segala perkara yang tidak mereka sukai, mereka labelkan sebagai globalisasi. Dalam artikel ringkas ini, saya akan cuba menjawab beberapa mitos yang sering ditimbulkan. Saya juga akan cuba memberikan beberapa penerangan mengenai faedah globalisasi dan bagaimana globalisasi boleh membawa kemakmuran kepada negara.

Mitos: Globalisasi menyebabkan standard penjagaan alam sekitar dan standard tenaga buruh menjadi rendah.

Satu kesilapan ialah apabila kita menyangka bahawa modal berpindah ke tempat yang mempunyai standard alam sekitar dan tenaga buruh yang paling rendah.

Kita perlu memeriksa fakta. Pelabur melabur di tempat yang menghasilkan pulangan paling baik. Biasanya, ini bermaksud mereka mencari tempat yang mempunyai tenaga buruh paling produktif, di mana rakyat biasanya lebih kaya.

Rakyat yang lebih kaya biasanya menuntut kualiti alam sekitar dan kualiti tempat kerja yang lebih baik, bukan lebih buruk. Ertinya, globalisasi tidak menyebabkan standard penjagaan alam sekitar dan standard buruh menjadi lebih rendah.

Kita juga menyaksikan betapa ramai yang mencari pekerjaan dalam syarikat milik pelabur asing kerana syarikat-syarikat asing biasanya membayar gaji yang lebih tinggi dan juga menawarkan kualiti tempat kerja yang lebih baik berbanding syarikat tempatan. Ini merupakan bukti betapa globalisasi boleh membantu memperbaiki kadar pendapatan dan juga kualiti tempat kerja.

Mitos: Globalisasi membawa kepada homogenasi budaya Amerika ke seluruh dunia.

Memang benar bahawa Amerika Syarikat menjadi tarikan kepada ramai pihak. Tapi, cuba kita fikirkan trend yang melanda dunia seperti Harry Potter daripada England, Pokemon dan Anime daripada Jepun, Bollywood daripada India, dan banyak lagi budaya yang bukan daripada Amerika.

Semua ini sebenarnya memperkayakan kita dan memperkayakan satu sama lain. Itu belum lagi disebut mengenai masakan Siam! Jika budaya disimpan dalam bekas kedap udara dan dihalang daripada berubah, maka ia bukan lagi budaya manusiawi. Sebaliknya, ia menjadi barang pameran muzium sahaja. Globalisasi sebenarnya memperkayakan budaya.

Mitos: Globalisasi melahirkan ketidaksamaan.

Ketidaksamaan berlaku akibat daripada pelbagai faktor yang kompleks. Ada benarnya jika dikatakan bahawa globalisasi melahirkan ketidaksamaan kerana jurang antara negara-negara yang menyekat perdagangan dengan negara-negara yang mengamalkan ekonomi terbuka memang menjadi semakin besar. Tetapi ini bukan ketidaksamaan yang sering dimomokkan oleh penentang globalisasi!

Hakikatnya, dalam negara-negara yang membuka ekonomi mereka untuk menerima perdagangan dan pelaburan, jumlah golongan pertengahansemakin meningkat. Ini bermaksud jurang pendapatan menjadi semakin kecil, bukan semakin besar.

Faedah globalisasi

Fakta: Globalisasi membawa keamanan kerana ia menghilangkan insentif untuk berkonflik. Sekatan perdagangan diasaskan kepada mentaliti dan polisi yang mempertekankan perbezaan kepentingan antara negara. Sebaliknya, perdagangan bebas menghubungkan negara-negara secara aman. Ada pepatah yang mengatakan bahawa jika perdagangan tidak boleh merentas sempadan, maka tentera akan merentasinya.

Perdagangan membawa faedah kepada semua. Kesilapan yang paling kerap diulang oleh penentang globalisasi ialah apabila mereka tersilap dalam memahami kelebihan mutlak (absolute advantage) dengan kelebihan komparatif (comparative advantage).

Biarpun jika individu di hadapan saya lebih baik daripada saya secara mutlak dalam semua hal, dia dan saya masing-masing akan mendapat lebih banyak manfaat jika kami berdagang – dia mengkhususkan pengeluaran barangan yang dia boleh keluarkan dengan paling baik, dan saya pula mengkhususkan pengeluaran barangan yang saya boleh keluarkan dengan paling baik. Perdagangan membolehkan kami mendapatkan barangan yang paling baik daripada satu sama lain.

Inilah juga sebabnya kenapa perdagangan boleh membawa kepada perdamaian. Melalui perdagangan yang bebas, manusia boleh melihat bahawa setiap individu manusia lain adalah rakan kongsi yang sama-sama mendapat faedah daripada kerjasama. Inilah yang menghasilkan masyarakat kemanusiaan, bukannya apabila manusia melihat satu sama lain sebagai persaingan. Perdagangan adalah batu asas kepada tamadun manusia.

Perdagangan, keterbukaan, dan globalisasi mendokong kerajaan yang bertanggungjawab, demokratik, dan mewujudkan keluhuran undang-undang. Bilangan negara-negara yang diiktiraf oleh Freedom House sebagai negara demokratik meningkat selaras dengan runtuhnya sekatan perdagangan.

Di kalangan 40 peratus negara teratas dalam ranking Economic Freedom of the World 2002, 90 peratus diiktiraf sebagai bebas oleh Freedom House. Sebaliknya, di kalangan 20 peratus terbawah, iaitu negara-negara yang ekonominya paling tertutup, tidak sampai 20 peratus diiktiraf sebagai bebas. Malahan, lebih 50 peratus dikatakan tidak bebas oleh Freedom House.

Mexico ialah contoh yang baik. Pembukaan ekonomi Mexico melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) membolehkan Vincente Fox menang dalam pilihanraya Presiden dan pecahnya monopoli kuasa oleh Institutional Revolutionary Party. Mereka yang mahukan keluhuran undang-undang dan mahukan kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya menyokong globalisasi.

Penutup

Perdagangan adalah perkara yang unik buat manusia. Ia membezakan kita daripada binatang. Asas kepada perdagangan ialah kebolehan manusia berfikir dan kebolehan kita meyakinkan serta mempengaruhi orang lain.

Adam Smith berkata dalam ucapan beliau pada 30 Mac 1763: "The offering of a shilling, which to us appears to have so plain and simple a meaning, is in reality offering an argument to persuade one to do so and so as it is for his interest." Haiwan lain mungkin boleh bekerjasama, tetapi tidak ada haiwan yang berdagang kerana binatang tidak mempunyai kebolehan untuk menggunakan akal untuk mempengaruhi haiwan lain.

Perdagangan bukan sahaja satu keunikan manusia, ia juga satu keunikan tamadun manusiawi. Dalam buku kesembilan The Odyssey tulisan Homer, apabila Odysseus bercerita mengenai ketibaan di tanah Cyclops, dia memberikan sebab kenapa Cyclops merupakan makhluk ganas. Odysseus menyatakan:

The Cyclops have no ships with crimson prows,

No shipwrights there to build them good trim craft,

That could sail them out to foreign ports of call,

As most men risk the seas to trade with other men.

Cyclops merupakan makhluk ganas kerana ia tidak berdagang. Cyclops hidup dalam dunia yang disukai oleh golongan anti-globalisasi – sebuah dunia tanpa perdagangan, sebuah dunia di mana semua proses pengeluaran berlaku secara lokal.

Sekatan perdagangan perlu dihapuskan bukan sahaja kerana ia tidak efisien. Sekatan perdagangan juga perlu ditolak kerana ia boleh membawa kepada konflik dan peperangan. Sekatan perdagangan perlu ditolak kerana ia tidak bermoral dan tidak bertamadun.
 
Dr Tom G Palmer | Apr 2, 07 8:29pm


DR TOM G PALMER adalah ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa Malaysia Thinktank London. Beliau juga merupakan Fello Kanan di Cato Institute, Washington D.C. Tulisan beliau disiarkan dalam pelbagai media termasuklah New York Times, Washington Post, Al Hayat, dan London Spectator.