Saturday, 04 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Utusan Malaysia : 'Koyak & menang' cetus trauma sosial
Utusan Malaysia : 'Koyak & menang' cetus trauma sosial PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 16:54

Dengan hanya menggores atau mengoyak sekeping kertas yang diberikan, terpaparlah segala bentuk hadiah menarik yang bakal dimenangi mangsa, daripada barangan elektrik hinggalah kereta pelbagai jenama.

Maka bermulalah episod kontroversi ini apabila mangsa sudah terpedaya dan akur untuk berunding dengan pihak pengurusan syarikat yang tidak beretika.

Dalam urus runding ini, mangsa disyaratkan membeli barangan tertentu yang harganya jauh lebih mahal daripada harga sebenar sebagai prasyarat untuk menentukan salah satu hadiah yang bakal dimenangi seperti TV plasma, kereta, motosikal dan lain-lain.

Kecelaruan minda mangsa bermula di sini. Dalam keadaan serba salah, mangsa boleh terus berundur dan menanggung kerugian atau meneruskan permainan dengan mematuhi beberapa syarat lagi yang lebih berat untuk memenangi hadiah yang dijanjikan.

Seperti dilaporkan kepada kami, meskipun ada mangsa yang memenangi hadiah yang dijanjikan, namun apa yang dikesali ialah pendekatan memerangkap, memperdaya dan memaksa oleh sindiket ini menimbulkan ‘trauma’ kepada mangsa.

Rata-rata perniagaan ‘gores & menang’ di negara ini dijalankan oleh syarikat jualan langsung.

Dengan nilai anggaran melebihi RM30 bilion, perniagaan ini merupakan industri yang cukup lucrative.

Dengan nilai yang sedemikian besar bermakna industri ini mampu menggugat aliran tunai dalam negara kerana wang tunai akan lebih banyak tersimpan dalam peti besi daripada dibelanjakan oleh peniaga-peniaga tidak beretika ini.

Setelah diharamkan pada 3 Disember 2007 lalu, perniagaan ini tentunya berstatus haram dari sudut perundangan negara.

Menyedarinya, syarikat-syarikat yang menjalankan kegiatan ini mula menukar taktik dan nama perniagaan, daripada ‘Gores & Menang’ kepada ‘Koyak & Menang’. Akan datang, entahlah…!

Ironinya, selepas pengharaman dibuat ke atas kegiatan tersebut semakin ramai pula ulat-ulat ‘koyak & menang’ ini berkeliaran, cuma mereka kelihatan lebih berwaspada, memilih mangsa yang berpotensi sahaja.

Adat pemangsa, mereka bijak memilih mangsa walau pun usia mereka masih muda. Mereka adalah modal insan yang dilatih untuk kegiatan perniagaan tersebut.

Dakwaan mengatakan sindiket ini mempunyai hubung kait rapat dengan sindiket pemberi pinjaman wang atau Ah Long ada kebenarannya kerana kaedah dan pergerakan yang lebih kurang serupa, menggunakan taktik ‘serigala’ iaitu mengepung, memperdaya kemudian mengugut dan memaksa mangsa.

Tumpuan aktiviti perniagaan ini adalah di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan Pulau Pinang, tetapi kini semakin merebak hingga ke tanah-tanah rancangan dan kawasan-kawasan pedalaman yang dianggap berpotensi seperti Gua Musang, Kelantan, kawasan penempatan Felda di Pahang, Negeri Sembilan dan lain-lain.

Mungkin mereka cuba melarikan diri dari kawasan bandar yang semakin mendapat perhatian pihak berkuasa.

Meskipun hanya beberapa aduan sahaja yang diterima oleh kami di Persatuan Pengguna Islam (PPIM) tetapi impaknya yang cukup negatif terhadap komuniti pengguna memaksa kami untuk menulis di ruangan ini bagi memberi kesedaran kepada komuniti pengguna agar tidak mudah tertipu dan sentiasa berwaspada dengan sindiket ini.

‘Koyak & menang’ seolah-olah menyasarkan mangsa daripada kalangan orang Melayu dan pengguna Islam.

Justeru, PPIM ingin menyarankan kepada kerajaan supaya pengharaman bukan sahaja dibuat ke atas aktiviti ini tetapi juga syarikat yang bertanggungjawab secara langsung dengan kegiatan ini.

Pemantauan dan tangkapan ke atas ulat-ulat ‘koyak & menang’ yang masih berkeliaran di pusat-pusat beli-belah, bank dan kawasan tumpuan awam perlu dipergiatkan.

Kalau setakat mengarahkan mereka supaya menghentikan aktiviti, mereka akan kembali lagi ke lokasi berkenaan untuk mencari mangsa dan kegiatan ini akan berterusan selamanya, hanya dengan menukar wajah dan taktik.

Demi kesedaran dan kepentingan pengguna, kerajaan perlu mengedarkan risalah mengenai profil aktiviti ini dan sampaikan kepada umum melalui kaunter-kaunter pusat beli-belah, bank dan kawasan-kawasan tumpuan awam.

Ini perlu dibuat sebagai tindakan counter attack kepada kegiatan tersebut. Dengan demikian pembanterasan dapat dibuat dengan efektif hingga ke peringkat akar umbi.

Kegiatan lucrative ini sungguhpun tidak direstui tetap akan bergerak selagi wujud peniaga yang tidak beretika di negara ini.

Justeru, kerajaan disaran supaya bertegas melalui penguatkuasaan dan pengguna pula perlu lebih bijak menggunakan hak mereka, ke arah melonjakkan martabat pengguna.

Kesepaduan ini pasti membantu proses memperkasakan ‘Sistem Kepenggunaan Negara’.

– JOHARI YA,
Penyelaras Program Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Kuala Lumpur.
 
Forum - Utusan Malaysia - 9 Januari 2008