Saturday, 04 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Berita Harian : Aspirasi: Wanita miliki 'kuasa' kawal harga
Berita Harian : Aspirasi: Wanita miliki 'kuasa' kawal harga PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 16:51

KEBANYAKAN negara di dunia menghadapi tekanan kenaikan harga barang dan sudah tentunya Malaysia yang mengamalkan sistem pasaran terbuka turut terdedah kepada pengaruh harga dan pasaran dunia. Apa yang boleh dilakukan ialah mengawal dan menstabilkan harga dan bekalan. Ini adalah cara dianggap praktikal untuk membantu rakyat meringankan beban mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyedari keadaan itu tidak berlengah lagi mengarahkan beberapa tindakan drastik diambil. Pada 9 Januari lalu, Kabinet meluluskan penubuhan Majlis Harga Negara (MHN) yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri, manakala Timbalan Pengerusi MHN ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ia dianggotai pelbagai pihak termasuk beberapa menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kepentingan pengguna, ahli profesional, tokoh korporat dan sebagainya.

Pada 24 Januari lalu, Najib mengumumkan tiga inisiatif bagi menjamin kestabilan harga, kecekapan sistem bekalan dan pengedaran barang pengguna ? mewujudkan Pusat Panggilan Kebangsaan, Stok Simpanan Kebangsaan dan Kumpulan Pakar bagi meneliti isu serta dasar berkaitan pengedaran, pengeluaran dan mekanisme penentuan harga. Sementara menunggu butir terperinci mengenai langkah yang akan diambil, rakyat perlulah bersabar kerana apa dilakukan itu adalah untuk kebaikan semua. Sebelum mekanisme berkenaan dilaksanakan, banyak isu terpaksa diselesaikan terlebih dulu bagi mengelakkan ada bahagian tersalah pandang yang boleh menimbulkan keadaan yang tidak baik.

Tindakan kerajaan ini menjawab persoalan rakyat yang bimbang terhadap tren kenaikan harga barang kebelakangan ini. Sebenarnya, rungutan rakyat ini adalah maklum balas utama kerajaan menubuhkan MHN. Tidak perlulah parti pembangkang mengambil kesempatan daripada isu ini kerana kerajaan terlebih dulu sudah bertindak atas maklumat yang diterima daripada rakyat. Seboleh mungkin, kerajaan berhasrat meletakkan keadaan ekonomi negara pada tahap yang tidak membebankan mana-mana pihak, tambahan pula pilihan raya umum dijangka diadakan tidak lama lagi.

Jika ada pilihan, tentulah kerajaan mahu menurunkan harga barang utama untuk 'memikat hati' rakyat yang akan menjadi pengundi nanti. Tetapi, ada kalanya, hasrat itu tidak dapat dilakukan sesuka hati. Harga barang ditentukan permintaan dan penawaran, selain kesan keadaan ekonomi dunia. Tidak ada siapa pun boleh lari daripada faktor ekonomi ini. Jika peniaga menaikkan harga barang sesuka hati, kerajaan mempunyai pegawai dan anggota penguat kuasa untuk membendung keadaan itu. Kerajaan juga mempunyai senarai barang keperluan yang dikawal dari segi harganya.

Harga tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya tanpa kelulusan Kabinet. Tetapi, jika kenaikan harga disebabkan penawaran atau permintaan, ia sebenarnya ditentukan pengguna sendiri. Jika permintaan terlalu banyak sedangkan bekalan bahan berkenaan kurang, harga akan dinaikkan. Jika berlaku lambakan pula, keadaan sebaliknya berlaku, tetapi ini juga memberi kesan kepada harga, terutama jika ia membabitkan faktor import eksport.

 

Jika bekalan bahan sentiasa mencukupi, tidak ada sebab harga dinaikkan. Inilah kepentingan Stok Simpanan Kebangsaan atau stok penimbal yang akan menyelamatkan keadaan, terutama apabila berlaku kekurangan bekalan. Langkah ini sebagai usaha bersepadu daripada kerajaan bagi mengawal dan menstabilkan harga serta bekalan. Stok Penimbal Kebangsaan akan dapat membantu kerajaan menampung keperluan pengguna, sentiasa tidak menentu akibat ketidaktentuan cuaca negara sumber.

Jika sudah ada stok, ia akan membantu kerajaan menangani masalah kekurangan barang pengguna. Apabila kurang bekalan, kerajaan boleh mengeluarkan stok bahan perlu seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas dan sebagainya untuk dibekalkan di pasaran.

Dengan cara ini, bahan bekalan akan terus stabil apabila ia sentiasa berada di pasaran. Apabila berlaku sebarang kekurangan, ia akan dikeluarkan dari Stok Simpanan Kebangsaan mengikut keperluan. Langkah ini juga dapat mengatasi masalah kegiatan menyorok barang yang biasanya dilakukan peniaga spekulatif.

Mereka mahukan untung besar dengan menyorok barang tertentu. Barang yang disembunyikan itu akan dikeluarkan dan dijual dengan harga lebih mahal. Jika pihak yang menyorokkannya itu ialah pembekal, bermakna mereka mendapat untung berlipat ganda. Ia bukanlah cerita yang direka-reka kerana apabila keadaan itu berlaku ramai antara mereka ditahan dan didedahkan kepada umum.

Reaksi daripada kenaikan harga barang ini sebahagian besarnya diterima daripada wanita, terutama suri rumah. Merekalah yang sebenarnya berurusan di pasar. Disebabkan suami tidak menambah peruntukan kepada isteri untuk bahan makanan di rumah, isteri berasakan wang diberikan kepada mereka kian kecil apabila harga bahan tertentu naik. Keadaan ini memberi kesan kepada semua termasuk di luar bandar. Jika dulu, kesan kenaikan harga barang dirasai di bandar, namun kali ini, turut memberi kesan kepada penduduk luar bandar, berikutan kos pengangkutan yang meningkat.

Ada juga kalangan isteri yang rasional dalam menghadapi kenaikan harga barang ini. Sebagai contoh, kenaikan harga minyak masak, sepatutnya tidak perlu merunsingkan pengguna. Apakah kenaikan harga minyak masak boleh menyebabkan manusia mati. Sebaliknya, ada cara lain untuk mengurangkan penggunaan bahan itu. Ini hanya perlu dilakukan dengan mengubah selera.

Jika selama ini mereka lebih gemar menggoreng atau menumis, kekurangan minyak masak memungkinkan mereka merebus, mengukus atau membakar makanan. Malah, ia lebih lazat dan menyihatkan. Jika semua rumah menggunakan cara ini, bahan berkenaan akan berada di pasaran semula dan harganya lebih stabil.

Idea ini sebenarnya dikemukakan seorang aktivis wanita ketika dialog tertutup dengan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang mula mengamalkan 'no wrong door policy' yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini.

Justeru, sebagai pihak yang bertanggungjawab mengawal kewangan keluarga, sewajarnyalah lebih ramai aktivis wanita memikirkan idea baru dan berkempen mengenainya bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menghalang kenaikan harga barang atau menangkis kesannya jika kenaikan harga barang itu tidak dapat dielakkan.

Kempen berjimat cermat juga boleh digalakkan oleh aktivis dan pemimpin wanita seperti berkongsi kereta bagi mengurangkan kos kenaikan minyak petrol, mewujudkan kelab beli borong bagi membeli sayur-sayuran dan ikan pada harga murah di pasar pasar borong yang beroperasi seawal jam 5 pagi dan pelbagai lagi inisiatif yang inovatif lagi kreatif.

Seperti dijelaskan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd Shafie Apdal, kadar inflasi boleh dikekang pada paras rendah hasil langkah kerajaan menetapkan kawalan harga bagi barang utama dan pemberian subsidi kepada sektor pengangkutan.

Katanya, jika tiada kawalan harga dan subsidi berkenaan, paras inflasi di negara ini akan menyamai kadarnya di negara Asia lain.

Menerusi mekanisme MHN yang baru ditubuhkan kerajaan, rakyat kini optimis bahawa kerajaan akan dapat membendung kenaikan harga secara mendadak, memikirkan cara meringankan bebanan kenaikan harga terhadap golongan miskin dan berpendapatan rendah serta memperkenalkan langkah bagi meningkatkan kuasa beli serta meninggikan paras pendapatan rakyat.

Tentunya rakyat ghairah menunggu pelbagai berita baik mengenai langkah yang bakal diumumkan kerajaan selepas Perdana Menteri memanggil dan mempengerusikan mesyuarat pertama MHN kelak.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif ialah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)

 

Rencana :30 January 2008