Saturday, 04 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2008 Bernama : Tidak Murah Seperti Yang Dijangka
Bernama : Tidak Murah Seperti Yang Dijangka PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 16:49

15 Mac 2008

 

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- "Harga tambang ialah RM230.99 dan encik boleh bayar melalui kad kredit. Boleh saya dapatkan nombor kad kredit encik..," itulah jawapan yang membuat Masnan Ahmat terpegun seketika.

Sebelum itu, Masnan telah membuat panggilan telefon kepada satu syarikat penerbangan tambang murah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dekat sini untuk menempah satu tiket penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang.

"Orang kata, iklan tentang harga tiket kapal terbang murah hanya merupakan satu gimik. Tapi tak lah saya sangka harga satu tiket sampai RM230.99 untuk satu tempat duduk," kata Masnan, seorang guru.

Menurut Masnan, beliau tiada pilihan, melainkan terpaksa membeli tiket itu untuk anaknya yang akan kembali ke kolej pengajian setelah berakhirnya cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lepas.

"Kalau tidak kerana terpaksa, sudah tentu saya sudah tempah tiket penerbangan biasa dan dapat juga khidmat yang lebih baik. Saya ingat tiket penerbangan tambang murah memang murah, tapi rupa-rupanya sebalik pula," kata beliau.

TIADA YANG MURAH

Berwaspadalah dengan perkataan 'dari' dalam iklan-iklan tiket penerbangan tambang murah, nasihat aktivis kepenggunaan dan sosial, Gurmukh Singh.

Beliau berpendapat pengguna tidaklah boleh menyalahkan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah, kerana penggunaan perkataan 'dari' sebenarnya mencerminkan kos asas bagi harga satu tiket penerbangan.

"Bila dimasukkan sekali caj tambahan untuk minyak, cukai lapangan terbang, bayaran untuk insurans, perkhidmatan dan pelbagai lagi, harga sebenar tiket tersebut bukanlah boleh dikata murah," jelas beliau kepada Bernama di sini.

Tambah beliau, tiket-tiket tersebut boleh dibeli dengan harga yang betul-betul murah jika tempahan dibuat pada waktu lebih awal lagi.

"Kalau anda membuat tempahan on-line menerusi Internet, seperti tiga bulan daripada tarikh penerbangan, anda hanya perlu bayar hanya lebih kurang RM40 untuk satu tiket.

"Ini adalah lebih murah daripada harga satu tiket keretapi atau bas jika anda mahu ke destinasi seperti Pulau Pinang atau Kota Baharu," kata Gurmukh.

FAKTOR MASA

Seorang lagi aktivis kepenggunaan, Fatimah Mansur, bersetuju dengan pandangan Gurmukh.

"Setengah dekad yang lampau, tak ramai orang yang boleh naik penerbangan komersil. Masa dulu, kemudahan ini hanyalah untuk ahli perniagaan dan korporat swasta serta pegawai kanan kerajaan.

"Lihatlah sekarang. Semua orang boleh naik kapal terbang, pelajar boleh terbang pulang dari asrama sekolah mereka yang terletak jauh dari kampung halaman".

Kata beliau, rakyat Malaysia beruntung kerana mereka dapat menikmati tiket kapal terbang yang agak murah berbanding dengan rakyat di negara lain.

Terdapat dua syarikat penerbangan tambang rendah di negara ini, AirAsia dan Firefly.

Operasi AirAsia berpusat di terminal penerbangan kos rendah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, manakala Firefly terbang dari pusat operasinya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

AirAsia merupakan syarikat penerbangan yang pertama di rantau ini yang memperkenalkan penerbangan tanpa tiket serta tempat duduk bebas. Syarikat ini memang popular kerana penawaran harga tiket rendah.

Ia juga mempunyai syarikat kembar di negara Asean iaitu Thai AirAsia yang terbang dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok dan Indonesia AirAsia yang beroperasi dar Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

BEKALAN DAN PERMINTAAN

Tiket kapal terbang adalah seperti barangan pengguna yang lain, kata Fatimah.

"Konsepnya adalah sama. Jika anda dalam keadaan yang amat memerlukan dan tarikh penerbangan yang anda mahu adalah dekat, maka mahal lah tiket yang anda mahu beli. Tapi, jika tarikhnya berbulan lagi, harga tiket tersebut adalah memang murah.

"Konsep tambang murah memang baik untuk mahasiswa universiti dan pelajar lain. Mereka boleh membuat tempahan awal, sebab mereka sudah tahu tarikh cuti masing-masing," katanya.

Jelas Fatimah lagi, konsep terbang dengan tambang murah memang baik untuk seisi keluarga kerana ia membolehkan sesebuah keluarga pergi bercuti dengan kos yang lebih murah, dengan syarat tempahan awal perlu dilakukan.

-- BERNAMA