Saturday, 20 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Rhodamine B dalam belacan berbahaya
Berita Harian : Rhodamine B dalam belacan berbahaya PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 16:21

23 November 2007

 

Forum

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin menarik perhatian Kementerian Kesihatan dan orang ramai mengenai penggunaan Rhodamine B, iaitu sejenis bahan pewarna merah yang diharamkan, dalam belacan dan kuih Cina.

Dalam kajian CAP baru-baru ini, kami membeli beberapa sampel bahan makanan itu dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Dalam ujian berkenaan, Rhodamine B ditemui dalam lima sampel belacan dan lapan sampel kuih Cina seperti Mi Ku, Siew Koo dan Huat Kuih yang dibeli dari pasar di Kuala Lumpur sementara sampel kuih Cina dibeli dari beberapa pasar di Pulau Pinang.

CAP mula mengesan kewujudan Rhodamine B dalam belacan pada 1973. Sejak itu, ujian selanjutnya yang dijalankan pada 1983, 1993, 1995, 1999, 2000, 2001, 2002 dan 2007 (Mei) mengesan pewarna ini dalam belacan dan makanan lain.

Setiap kali kami temui pewarna ini dalam makanan, kami akan menghantar surat kepada Kementerian Kesihatan dan meminta menyiasat perkara berkenaan. Bagaimanapun, keadaannya masih tidak menunjukkan kemajuan kerana hasil ujian kami mendapati Rhodamine B masih digunakan dalam makanan sungguhpun ia diharamkan sejak setengah abad lalu.

Rhodamine B adalah antara bahan penyebab kanser yang menghasilkan warna merah jambu. Ia tidak sepatutnya digunakan sebagai bahan pewarna untuk makanan. Ia hanya dikhususkan untuk mewarnakan barangan plastik dan tekstil.

Di bawah Peraturan Makanan 1985, penggunaan Rhodamine B tidak dibenarkan dalam makanan. Sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Rhodamine B juga tidak dibenarkan dalam makanan di bawah Ordinan Makanan dan Ubatan 1952.

CAP sekali lagi mengharap Kementerian Kesihatan supaya mengambil langkah berikut:

  • Menguatkuasakan dengan tegas Peraturan Makanan 1985.
  • Menyiasat dan mendakwa sesiapa saja yang didapati menggunakan sebarang pewarna dalam makanan yang undang-undang tidak membenarkan ia diwarnakan.

  • Menghentikan penjualan pewarna gred industri (diharamkan untuk makanan) dalam jumlah yang sedikit untuk mencegah penyalahgunaannya.
  • Tidak menggalakkan pengendali dan pengeluar makanan daripada menggunakan pewarna kimia memandangkan ia berbahaya dan sama sekali tidak diperlukan.
  • Mengadakan kempen media untuk tidak menggalakkan pengguna daripada membeli makanan yang mengandungi pewarna dan mendidik mereka cara membaca label makanan dengan sempurna.
  • Menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas semua makanan yang dijual untuk memastikan ia bebas daripada pewarna yang diharamkan dan bahan kimia bertoksik.

 

S M MOHAMED IDRIS,

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.