Monday, 29 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Kesilapan manusia punca alam merana
Kesilapan manusia punca alam merana PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 14:13

BARU-BARU ini negara kita 'dikunjungi' 50 ekor penyu karah di pesisir pantai Kedah. Spesies penyu jenis itu lazimnya hanya boleh didapati di Indonesia, Filipina dan Australia. Peristiwa ini menggemparkan penduduk setempat sehingga mencetuskan tanda tanya berkaitan punca kehadirannya di Malaysia.

Spesies ini dikatakan sampai ke negara ini akibat perubahan dasar laut selepas bencana tsunami pada 26 Disember 2004. Saintis turut percaya bahawa peristiwa ini disebabkan oleh pergerakan arus dasar laut. Perubahan alam secara drastik ini menyebabkan penyu karah tersesat sehingga ke pantai barat Semenanjung.

Lebih menyedihkan apabila kumpulan penyu itu cedera. Penyu karah tercedera bukan kerana perubahan alam secara semula jadi, tetapi disebabkan terdampar di kawasan pantai yang dipenuhi sampah-sarap dan kayu-kayan. Sikap tidak prihatin manusia terhadap kebersihan alam sekitar menyebabkan penyu karah menjadi mangsa.

Peristiwa ini mengingatkan saya kepada pengalaman menyusuri sungai di kawasan hutan bakau di bahagian utara Semenanjung. Pada awal perjalanan, mata saya disajikan dengan plastik dan sampah-sarap yang tersangkut di celah akar pokok bakau. Keadaan ini sememangnya mencacatkan pemandangan indah di hutan bakau.

Ia membuatkan saya tertanya-tanya siapa yang gemar mengambil jalan mudah sehingga sanggup menjadikan sungai sebagai tong sampah? Adakah sistem pembuangan sampah di Malaysia sudah kritikal sehingga kita sanggup membuang sampah di kawasan hutan bakau?

Individu yang membuang sampah di kawasan ini tidak pernah memikirkan kesan yang bakal berlaku. Sampah-sarap yang dibuang bukan saja mencacatkan pemandangan malah boleh mengganggu ekosistem hutan bakau. Populasi ikan dan udang akan menurun jika tempat pembiakan mereka dicemari. Jika bahan buangan yang bahaya dibuang, hidupan akuatik pasti tidak mampu menerima perubahan itu.

Pencemaran sistem akuatik telah menyebabkan masalah kepupusan ikan. Dianggarkan 30 spesies ikan di perairan negara hampir pupus atau telah pupus. Antaranya, kurau, bagok, terubok, kekek, yu, parang dan beberapa jenis pari. Penurunan jumlah ikan telah menjejaskan pendapatan nelayan. Hasil pendapatan mereka menurun 50 hingga 70 peratus berbanding tangkapan pada 1970-an.

Selain daripada penurunan jumlah ikan, masalah pencemaran turut mengancam ciri fizikal haiwan akuatik. Di Barat, saintis mendapati banyak berlaku perubahan fizikal pada spesies katak di sana. Ekosistem air telah dicemari bahan kimia seperti fosforus. Ia telah menyebabkan kerosakan pada telur katak. Akibatnya, katak mengalami kecacatan iaitu berkaki enam. Sikap manusia yang suka membuang sisa kimia telah menyebabkan haiwan terpaksa menanggung derita.

Merujuk kepada situasi di Malaysia, masyarakat kita juga memang gemar membuang sisa yang boleh mengancam persekitaran. Sisa-sisa kilang dibuang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab. Mereka langsung tidak memikirkan kesan yang bakal berlaku akibat pembuangan sisa itu. Sisa dan bahan buangan boleh mengancam sistem air dan alam sekitar. Manusia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan pembuangan sisa kimia itu.

Berdasarkan laporan pihak kerajaan, dianggarkan 417,000 tan sisa toksik dihasilkan pihak industri setiap tahun. Jumlah ini akan meningkat kepada lapan hingga sembilan peratus setahun. Masalah pembuangan sisa berbahaya semakin menjadi-jadi apabila kilang haram bertambah dan turut serta dalam pembuangan sisa kilang secara haram.

Persoalannya, bila kita mahu menghentikan tabiat buruk ini? Adakah kita mahu menunggu selepas haiwan mengalami kecacatan barulah kita mahu menghentikan aktiviti yang tidak bermoral ini? Atau kita mahu insaf selepas anak-anak kita sendiri mengalami kecacatan akibat pencemaran alam? Tegasnya, kita harus sedar bahawa sikap kita yang suka mengambil jalan mudah boleh mendatangkan masalah kepada alam dan diri sendiri.

Perubahan alam yang sedang berlaku ini adalah angkara sikap manusia sendiri. Keadaan ini sewajarnya mencetuskan kebimbangan. Kita harus sedar bahawa alam tidak mampu menerima perubahan yang kita lakukan.  

Penulis adalah pelajar Sarjana Kewartawanan Sains Alam Sekitar, Universiti Sains Malaysia (USM).

Berita Harian : 24 October 2007