Monday, 29 Apr 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Pengguna telefon bimbit kena bijak pilih pelan langganan
Berita Harian : Pengguna telefon bimbit kena bijak pilih pelan langganan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:33

PENGGUNA telefon bimbit kini mempunyai pelbagai pilihan kerana perang harga di kalangan syarikat telekomunikasi (telco) menyebabkan lebih banyak lagi pelan langganan yang lebih murah dan lebih baik diperkenalkan dari semasa ke semasa.

Seperti yang lazim diketahui, telco menawarkan dua jenis langganan, prabayar dan pascabayar dan kedua-dua mempunyai baik dan buruknya.

Kelebihan prabayar adalah tiada kejutan bil, sesuai bagi remaja dan pengguna kali pertama , anda tidak terikat dengan kontrak, jadi boleh menukar pelan dengan mudah. Tetapi keburukannya panggilan terhad mengikut jumlah nilai prabayar, kadar berbeza bagi panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS), jadi anda perlu mengenal pasti cara penggunaannya.

Kelebihan pascabayar pula tiada had dalam bilangan panggilan, anda boleh membeli telefon bimbit baru pada harga diskaun sebagai sebahagian pelan langganan, manakala keburukannya anda kemungkinan tidak akan mengetahui jumlah bil sehingga menerima bil itu.

Oleh itu anda perlu bijak dalam memilih satu yang memenuhi cita rasa anda, dan lebih penting belanjawan anda.

 

Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menyenaraikan beberapa langkah mudah seperti digariskan dalam buku panduannya mengenai Kewangan Peribadi.

Langkah berkenaan ialah:

l Anggarkan berapa banyak yang anda sanggup belanja setiap bulan bagi bil telefon anda. Jumlah wang yang anda belanja bagi bil telefon anda bergantung kepada kekerapan panggilan. Jadi, jika anda banyak membuat panggilan, satu pelan pascabayar lebih munasabah kerana anda tidak perlu beli airtime setiap kali nilainya habis.

Bagaimanapun, pilihan itu juga bergantung kepada belanjawan anda. Jadi, jika belanjawan anda terhad, prabayar adalah pilihan lebih baik.

l Periksa liputan geografi

Anda pastinya tidak mahu melanggan dengan mana-mana khidmat yang liputannya kurang memuaskan. Adalah malang jika lokasi yang tiada liputan itu adalah tempat di mana anda banyak menghabiskan masa, seperti pejabat atau kediaman anda. Dan jika anda sering kali merantau, pastikan pelan itu mempunyai khidmat perayauan.

l Kaji semula harga pelbagai pelan

Ia bahagian yang paling sukar, tetapi penting kerana ia akan mempengaruhi pilihan anda. Antaranya khidmat perayauan. Ia mungkin bukan pertimbangan jika kebanyakan masa anda hanya membuat panggilan tempatan.

Ada pelan langganan yang menawarkan diskaun besar bergantung kepada tempoh panggilan dan sama ada panggilan dibuat ketika waktu puncak atau luar puncak. Meneliti dengan cermat pelan ini boleh membantu mengenal pasti pilihan terbaik.

Kebanyakan pelan menghitung tempoh panggilan mengikut angka bulat minit terdekat. Panggilan yang dikenakan bayaran setiap saat atau setiap 30 saat boleh membawa perbezaan besar dalam bil anda.

Carilah pelan yang menawarkan ciri standard tanpa sebarang kos tambahan. Ciri standard ini termasuk menunggu panggilan, mel suara, memindahkan panggilan dan sejak kebelakangan ini, khidmat perayauan.

Bagi bayaran pembatalan, ia hanya bagi pengguna khidmat pasca bayar. Secara lazim, akan terdapat tempoh kontrak minimum sekurang-kurangnya 12 bulan. Jadi, periksa sama ada terdapat bayaran jika anda menamatkan pelan itu sebelum tempoh kontrak tamat.

Dalam pada itu anda mungkin membayar lebih untuk membuat panggilan ke rangkaian mudah alih lain berbanding rangkaian sama. Panggilan serta mesej teks adalah lebih mahal jika anda menggunakan telefon bimbit di luar negara. Anda lazimnya akan dikenakan bayaran untuk menerima panggilan dan mel suara ketika berada di luar negara. Bayaran yang dikenakan serta khidmat yang boleh didapati boleh berbeza di negara yang anda berada. Jadi, adalah wajar anda menilai kadar bayaran terlebih dulu.

Bagaimanapun, jika anda berjaya memilih pelan yang tepat tetapi menggunakannya dengan rakus, bil boleh melebihi belanjawan anda. Untuk mengelakkan ini, anda perlu sedar akan tabiat buruk dalam membuat panggilan. Jadi jika anda terus membuat panggilan apabila terasa bosan atau tidak sabar menunggu untuk berkongsi apa-apa berita dengan rakan, maka anda perlu cuba mengubah tabiat ini.

Mesej teks boleh jadi lebih murah berbanding panggilan suara. Bagaimanapun, khidmat mesej teks tertentu adalah mahal khasnya yang membabitkan pertandingan, pengundian atau promosi.

Jadi fikirkanlah dua kali sebelum anda turut serta dalam promosi melalui televisyen atau radio atau mengundi bakat pilihan anda dalam program hiburan siaran langsung.

Elakkan menghantar SMS dengan harapan memenangi hadiah besar kerana lazimnya anda akan membayar lebih banyak dan tidak memenangi apa-apa hadiah.

Pelbagai pelan mudahalih yang ada hari ini mungkin menggoda tetapi elakkan daripada membuat keputusan terburu-buru. - Bernama