Sunday, 19 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Kerajaan kesal caj hospital swasta makin tinggi
Utusan Malaysia : Kerajaan kesal caj hospital swasta makin tinggi PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:21

4 Disember 2007

 

PUTRAJAYA – Kabinet melahirkan rasa bimbang berikutan kadar bayaran yang dikenakan oleh hospital swasta semakin meningkat dan mempunyai unsur-unsur mengaut keuntungan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, terdapat kes pesakit dikenakan bayaran yang terlalu tinggi melalui cara-cara yang boleh disifatkan sebagai tidak beretika.

Beliau menegaskan, sebagai contoh, terdapat kes seorang doktor membuat 15 kali pemeriksaan ke atas pesakitnya dalam sehari dengan caj RM200 sekali pemeriksaan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya RM3,000.

“Perkara itu dibangkit dan dibincangkan oleh Kabinet dan kita sentiasa mengambil perhatian tentang kadar caj yang sengaja diletakkan terlalu tinggi oleh segelintir hospital swasta.

“Masalah ini tidak mudah diatasi atau disiasat kerana sesetengah doktor merasakan bahawa siasatan adalah suatu isu yang boleh diperdebatkan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di pejabatnya di sini hari ini.

Soi Lek berkata, caj yang dikenakan terus meningkat disebabkan faktor ubatan-ubatan, peralatan, teknologi maklumat dan komunikasi dan pengkomersialan amalan perubatan.

Bagaimanapun beliau berkata, orang awam mempunyai hak untuk membuat aduan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) atau MMA yang bertanggungjawab meneliti sama ada ia membabitkan amalan yang tidak beretika oleh segelintir doktor.

Beliau berkata, MMC juga mempunyai kuasa dan peruntukan untuk mengenakan tindakan ke atas doktor yang didapati mengamalkan perbuatan secara tidak beretika termasuk dipecat daripada profesion tersebut atau diberikan amaran dan digantung tugas.

“Ini dilakukan berdasarkan kepada aduan dan tahap kesalahan tidak beretika yang dilakukan oleh doktor berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Soi Lek berkata, pertemuan dengan MMA turut membincangkan mengenai tindakan sesetengah syarikat insurans yang didapati mengehadkan bayaran dan ujian-ujian tertentu yang boleh dijalankan oleh doktor.

Beliau berkata, MMA juga berasa bimbang dengan pertambahan bilangan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang menawarkan kursus perubatan.

“Ia tumbuh macam cendawan iaitu setakat ini terdapat 20 buah iaitu 10 IPTA dan 10 IPTS yang menawarkan kursus perubatan,” katanya.