Sunday, 19 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Makanan segera wajib ada label kandungan bahan
Utusan Malaysia : Makanan segera wajib ada label kandungan bahan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:18

11 Disember 2007

 

PUTRAJAYA – Syarikat-syarikat makanan segera menghadapi kemungkinan disiarkan nama mereka dalam media massa jika didapati gagal menampilkan maklumat mengenai kandungan bahan dalam makanan yang dijual kepada pembeli sebelum hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, tindakan tersebut perlu memandangkan hanya dua syarikat makanan segera yang telah menyahut arahan kerajaan yang dikeluarkan sejak enam bulan lalu itu.

Beliau berkata, ia juga bertujuan untuk memberi peluang kepada pengguna memilih makanan segera yang benar-benar memberi khasiat kepada mereka.

‘Mereka kena ada label yang jelas tentang kandungan bahan yang digunakan dan juga peratusan setiap makanan segera yang diambil oleh pengguna.

‘‘Setakat ini, hanya KFC dan McDonald yang bersedia untuk menampilkan label berkenaan di semua premis masing-masing tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Keenam Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) di sini, hari ini.

Pada majlis yang sama, beliau melancarkan Garis Panduan Pengiklanan dan Pelabelan Maklumat Pemakanan Makanan Segera.

Bagaimanapun, Soi Lek memberitahu, kementerian tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan satu peraturan baru yang akan memaksa syarikat makanan segera mematuhi arahan tersebut di masa depan.

‘‘Jika siar nama mereka dalam media massa masih tidak memberi kesedaran, kita akan mewujudkan satu peraturan yang akan memaksa mereka mematuhinya,” katanya.

Mengenai kandungan garis panduan tersebut, beliau berkata, syarikat makanan segera dilarang menaja rancangan kanak-kanak dan menyiarkan iklan mereka sepanjang rancangan itu ke udara.

‘‘Iklan makanan segera dilarang menampilkan maklumat pemakanan yang mengelirukan dan tidak boleh menggalakkan pengambilan makanan segera secara berlebihan.

‘‘Iklan berkenaan juga tidak boleh mengkategorikan makanan segera mereka sebagai diet yang seimbang atau lengkap,” katanya.