Sunday, 19 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Boikot barangan mahal tidak berkesan
Utusan Malaysia : Boikot barangan mahal tidak berkesan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 11:17

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak yakin kempen memboikot barang-barang keperluan yang dilancarkan semalam berkesan kerana sebahagian daripada barang-barang yang disenaraikan untuk diboikot adalah barang-barang perlu.

Kedua-dua badan melindungi hak pengguna itu sebaliknya menggesa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengkaji secara mendalam punca kenaikan harga barang-barang berkenaan terlebih dahulu sebelum meneruskan gerakan memboikot peniaga.

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, tiada gunanya pengguna memboikot peniaga berikutan kenaikan harga barang-barang keperluan kerana di peringkat dunia sekalipun memang terdapat kekurangan bahan makanan mentah.

Menurutnya, daripada memboikot peniaga, adalah lebih baik pengguna membeli barang-barang mengikut keperluan sahaja dan membelinya di kedai harga patut.

“Jangan membeli barang-barang keperluan dalam kuantiti yang terlalu banyak sehingga menimbulkan masalah bekalan dan permintaan di pasaran dan jika boleh makan sahaja di rumah bagi menjimatkan wang,’’ jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamed Idris menyarankan agar pengguna lebih berhati-hati ketika membeli barang-barang keperluan dan elakkan daripada berbelanja terlalu banyak menjelang musim perayaan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kempen memboikot para peniaga yang menaikkan harga barang-barang keperluan yang dilancarkan oleh MTUC dan CUEPACS semalam.

Kedua-dua kesatuan itu yang mempunyai ahli seramai 3.5 juta orang percaya gerakan pemboikotan itu dapat mengembalikan hak pengguna dalam menentukan harga barang serta menundukkan kuasa pembekal dan peniaga menjelang musim perayaan.

Sementara itu, Pengarah Pemantau Harga FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman menafikan laporan persekutuan persatuan pengguna itu terlibat dalam kempen pemboikotan peniaga yang menaikkan harga barang keperluan yang dilancarkan semalam.

Katanya, kenaikan harga barang-barang keperluan timbul berikutan sikap pengeluar makanan seperti roti dan susu yang tidak menjual produk yang tersenarai dalam harga kawalan.

‘’Jika kita ke kedai hari ini, adalah sukar untuk mendapatkan roti biasa (putih) yang dikawal harganya oleh kerajaan, sebaliknya dengan mudah dapat membeli roti yang diperkayakan dengan vitamin yang harganya tidak dikawal.

‘’Begitu juga dengan bekalan susu jenis lemak manis penuh krim dan susu lemak manis isian yang harganya dikawal. Ia amat sukar diperoleh di kedai-kedai runcit,” kata Mohd. Yusof ketika dihubungi.

Dalam keadaan ini, katanya, pembeli tiada pilihan selain daripada membeli barang-barang keperluan tersebut mengikut harga yang telah dinaikkan oleh peniaga.

Begitu juga dengan harga minyak masak berasaskan kelapa sawit yang telah naik harga berikutan kenaikan harga sawit mentah yang melambung tinggi di pasaran dunia sejak kebelakangan ini, jelas Mohd. Yusof.

Berhubung dengan bekalan beras pula, beliau berkata, beras yang mengandungi 15 peratus beras hancur dikawal harganya tetapi bekalannya tidak banyak terdapat di kedai-kedai runcit.

Sebaliknya, peniaga menjual beras bermutu tinggi yang diimport dari luar negara yang harganya tidak dikawal.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan menguatkuasakan undang-undang supaya pengeluar makanan keperluan turut menghasilkan produk dalam kategori harga kawalan supaya pengguna mempunyai pilihan.

“Tiada guna mengawal harga barangan sekiranya pengeluar tidak menghasilkan produk tersebut,” katanya.