Monday, 13 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : Syor turun harga pasport Malaysia
Berita Harian : Syor turun harga pasport Malaysia PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 11:36

 

KITA sedia maklum bahawa harga pasport antarabangsa Malaysia berharga RM300 untuk 32 muka surat. Saya lihat harganya terlampau tinggi dan tidak berbaloi berbanding harga Pasport Singapura yang hanya S$60 (RM137) dan mempunyai 60 muka surat.

Ini memperlihatkan bahawa harga pasport negara kita terlalu tinggi dan menyukarkan rakyat negara ini yang mempunyai saudara-mara di negara jiran dan kerap ke negara jiran, terutama di Singapura atau Thailand.

Keadaan akan lebih menyukarkan jika mempunyai keluarga ramai dan terpaksa memperbaharui pasport. Bayangkan jika sebuah keluarga mempunyai lima orang dan terpaksa membayar RM1,500 bagi melakukan perjalanan ke Singapura menerusi Tambak Johor. Perkara ini amat membebankan bagi mereka yang mempunyai keluarga besar.

Kekerapan yang dilakukan ketika memasuki negara jiran akan menyebabkan bilangan muka surat cepat habis. Ada yang terpaksa memperbaharui pasport sebelum tamat tempoh kerana Pasport Malaysia hanya mempunyai bilangan muka surat yang terlalu sedikit.

Saya tidak pasti adakah perkara ini berkaitan dengan strategi kerajaan untuk tidak menggalakkan rakyat melancong atau menganggap sesiapa yang melancong mesti mempunyai duit dan tidak ada masalah untuk membayar harga pasport walau mahal sekalipun.

Saya berharap kerajaan mengurangkan harga pasport bagi memudahkan rakyat berulang alik mengunjungi sanak saudara di negara jiran. Jika mahu mengekalkan harga pasport itu, kerajaan boleh menambahkan bilangan muka surat.
Surat
JAMAL,
Johor Bahru, Johor.