Tuesday, 14 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Gelagat pengguna hadapi harga barangan
Utusan Malaysia : Gelagat pengguna hadapi harga barangan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 11:27

 

 MASALAH kenaikan harga barang begitu sinonim di bulan Ramadan mahupun musim perayaan. Seperti lazimnya, masalah kenaikan harga barangan keperluan utama kembali dibualkan. Kali ini masalah harga ayam menjadi 'juara' bagi segala masalah berkaitan kenaikan harga barangan.

Pun begitu, tidaklah boleh diabaikan masalah kenaikan harga tepung, gula dan 'perang' jualan murah yang begitu hebat melanda masyarakat sempena bulan Ramadan dan musim perayaan.

Pun begitu, tidaklah boleh diabaikan masalah kenaikan harga tepung, gula dan 'perang' jualan murah yang begitu hebat melanda masyarakat sempena bulan Ramadan dan musim perayaan.

Sebenarnya, jika difikir dan dikaji dengan akal yang waras, tidaklah dapat kita pastikan kenapa masalah ini sering kali berbangkit di musim perayaan. Jika dikatakan permintaan pengguna terhadap ayam meningkat pada musim ini, maka di luar musim perayaan pun, lauk ayam tetap menjadi hidangan utama di kedai-kedai makan di negara ini.

Oleh itu, permintaan yang meningkat itu tidaklah memberikan perbezaan yang begitu besar sehingga memungkinkan harga naik melambung.

Alasan pembekal yang menaikkan harga ayam kerana harga makanan ayam meningkat juga menimbulkan kekeliruan. Apakah harga makanan ayam hanya naik pada musim perayaan? Bila harga ini naik maka harga jualan ayam juga perlu naik. Adakah kemungkinan pada musim perayaan, ayam menjadi sajian makanan yang istimewa, oleh itu harga jualan ayam juga perlu dinaikkan.

Apabila pengguna berfikir dan banyak menyoal maka dapatlah kita lihat bahawa banyak alasan dan kekeliruan sengaja ditimbulkan bagi menutup kebenaran. Amalan berfikir dan banyak menyoal hanya mampu dilakukan oleh pengguna bijak.

Ketika ini, pengguna yang bijak semakin hari semakin banyak jumlahnya. Kalau dibandingkan dengan dahulu, kesedaran kepenggunaan di negara ini sudah jauh berbeza. Pengguna kini semakin tahu haknya dan juga lebih mudah mendapat banyak maklumat berkaitan kepenggunaan.

 

Memperjuangkan

Namun sayangnya, kebangkitan dalam memperjuangkan hak pengguna di negara ini bermusim sifatnya dan bulan Ramadan adalah salah satu musim di mana masalah kepenggunaan begitu hebat diperkatakan.

Dalam bulan Ramadan ini, selain perbincangan perkara ketidakadilan terhadap pengguna dari sudut kenaikan harga dan penipuan harga barangan, turut dibincangkan juga adalah sikap pengguna itu sendiri.

Cuba perhatikan di sekeliling kita, dalam bulan Ramadan ini terdapat pelbagai peluang untuk membeli-belah sama ada dalam bentuk makanan di pasar Ramadan, pakaian dan perhiasan diri, peralatan rumah dan sebagainya.

Teliti sikap pengguna semasa membeli-belah itu. Adakah mereka berfikir dan banyak menyoal semasa menjalankan kegiatan membeli-belah itu, atau adakah mereka membeli sekadar untuk memuaskan nafsu?

Kadangkala kita berasa kasihan melihat seorang ibu tidak menang tangan melayan kehendak ahli keluarga semasa membeli-belah.

Kepelbagaian wajah pengguna ini adalah satu rahmat kepada peniaga. Atas nama jualan murah, peniaga berjaya memperdaya pengguna yang cetek kesedarannya untuk membeli dan terus membeli. Sayangnya, kita sebagai pengguna jarang berfikir dan banyak menyoal tentang keadaan ini?

Oleh itu, sempena bulan Ramadan yang mulia ini marilah kita sama-sama berazam untuk berubah. Sudah tiba masanya kita sebagai pengguna berhenti mengikut rentak peniaga dalam melariskan barangannya. Kini adalah saat dan ketikanya sang peniaga pula menari mengikut rentak kita sebagai pengguna yang bijak.

Sering orang berkata Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Kelebihan bulan Ramadan ini terletak kepada tuntutan untuk berpuasa di kalangan umat Islam seluruh dunia. Amalan berpuasa ini pula mengajar kita banyak perkara.

Apa yang pasti, kita belajar bertafakur, melawan nafsu, mengerti erti kelaparan, dahaga, kesusahan dan juga bersederhana dalam apa jua yang dilakukan. Bulan Ramadan juga adalah bulan yang mendidik kita untuk banyak 'memberi'. Sebagai pengguna, membeli-belah tanpa kawalan hingga hilang haluan adalah satu tindakan yang berlawanan dengan nilai yang harus dilaksanakan dalam bulan Ramadan ini.

Agama Islam adalah satu agama yang menolak sikap berlebih-lebihan. Apatah lagi dalam berbelanja mewah yang akhirnya boleh menjerat diri sendiri. Jerat ini bukan sahaja memakan diri sendiri tetapi bahananya akan dirasai seluruh ahli keluarga terutama apabila kita terjerat dalam beban hutang yang menyeksakan. Adakah beban sebegini yang hendak kita wariskan kepada anak-anak kecil kita?

Sememangnya bulan Ramadan sesuai dijadikan asas untuk setiap umat Islam mengubah diri menjadi lebih baik atau lebih soleh. Mengubah diri ini termasuklah menjadi pengguna yang dapat mengawal nafsunya, bijak berfikir serta banyak menyoal.

Pada asasnya, dengan hidup bersederhana, wang yang ada boleh digunakan bagi tujuan pembangunan diri dan keluarga terutamanya untuk pendidikan anak-anak.

* AZRINA SOBIAN ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).