Sunday, 12 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Isu CTOS sepatutnya selesai dua tahun lalu
Utusan Malaysia : Isu CTOS sepatutnya selesai dua tahun lalu PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 11:22

 

KUALA LUMPUR  - Isu Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) sepatutnya selesai dua tahun lalu apabila Kabinet mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan pertemuan dengan semua institusi kewangan di negara ini.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, Kabinet pada masa itu meminta BNM menasihati bank supaya menjadikan CTOS sebagai rujukan kecil dan bukannya sebagai penentu dalam memberikan pinjaman.

Abdul Kadir mendakwa BNM ketika itu gagal untuk mengadakan pertemuan dan perkara tersebut tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang.

‘‘Pada masa itu, saya menjadi Menteri Penerangan dan menghadiri mesyuarat Kabinet. Pada mesyuarat ini Kabinet meminta BNM menasihati semua bank supaya menjadikan maklumat CTOS sebagai rujukan atau panduan kecil dan bukannya sebagai penentu dalam segala urusan sehingga tidak meluluskan pinjaman.

‘‘Perkara itu menyebabkan ramai peniaga dan usahawan tidak dapat membuat perniagaan dan perkara ini turut memberi impak kepada ekonomi negara,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Menggantikan

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa BNM menubuhkan pusat pembekalan maklumat kredit untuk menggantikan perkhidmatan yang diberikan oleh CTOS.

Kata Perdana Menteri, BNM mempunyai keupayaan dalam menyediakan laporan terkini mengenai kedudukan kewangan orang ramai.

Orang ramai merungut terhadap perkhidmatan CTOS yang menyebabkan mereka tidak dapat membuat pinjaman berikutan maklumat yang dibekalkan tidak lengkap serta terkini.

CTOS merupakan syarikat yang menyediakan maklumat mengenai kebankrapan, saman sivil, penggulungan syarikat, perisytiharan jualan dan hal ehwal pengarah syarikat.

Menurut Abdul Kadir, tindakan bank terlalu mengutamakan maklumat CTOS menyebabkan ramai peniaga merana.

‘‘Bank tidak seharusnya mengutamakan CTOS sebaliknya mengkaji kertas kerja yang dikemukakan oleh seseorang peminjam itu. Lihat dulu kertas kerja mereka. Tengok apa jenis perniagaan. Berapa permohonan pinjaman. Apa skop perniagaan.

‘‘Bukannya tengok maklumat CTOS dan terus menolak permohonan pinjaman atau langsung tidak memberi pinjaman,” katanya.