Sunday, 12 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Berita Harian : CTOS, tiga syarikat sekutu kena dakwa
Berita Harian : CTOS, tiga syarikat sekutu kena dakwa PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 11:17

 

KUALA LUMPUR: Agensi pembekal maklumat kewangan, Credit Tip Off Services Sdn Bhd (CTOS) dan tiga syarikat sekutunya, dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Duta, hari ini atas empat tuduhan mengikut Akta Syarikat 1965.

Selain CTOS, tiga syarikat iaitu CTOS Data System Sdn Bhd, CTOS Business System Sdn Bhd dan CTOS EMR Sdn Bhd, didapati gagal mengemaskini penyata tahunan dan kewangan sejak 2003 serta membelakangkan amalan tadbir urus korporat yang baik.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pauziah Mohamed Sin, berkata dua pengarah dan dua setiausaha setiap syarikat terbabit akan didakwa atas empat tuduhan mengikut Seksyen 165, 169, 143 dan 121 (3) akta berkenaan.

Seksyen 165 berkaitan kesalahan gagal memfailkan penyata tahunan, yang boleh didenda RM2,000, manakala Seksyen 169 membawa denda RM30,000 atau lima tahun penjara atau kedua-dua kerana gagal memfailkan penyata kewangan.

Seksyen 143 pula bersabit kesalahan gagal mengadakan mesyuarat agung yang boleh didenda RM5,000 dan Seksyen 121 (3) tidak mempamerkan nama syarikat yang membawa hukuman denda RM1,000.

Kontroversi berhubung perkhidmatan CTOS tercetus minggu lalu apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas, mempertikaikan maklumat kredit 780,000 individu dalam sistem syarikat itu kerana didakwa tidak dikemas kini.

Kayveas berkata, CTOS mempunyai lesen perniagaan yang didaftarkan melalui SSM, tetapi kegiatannya menjual maklumat kewangan peribadi orang ramai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mencabuli hak asasi orang lain.

Sementara itu, seorang bekas eksekutif bank membuat laporan polis terhadap CTOS yang didakwanya menjual maklumat kewangan peribadi bekas suaminya pada Julai tahun lalu.

Norhayati Abdullah, 48, dari Bukit Antarabangsa, Ampang membuat laporan itu di Balai Polis Jalan Tun Razak pada jam 11 pagi semalam.

Dalam laporan itu, beliau mendakwa teraniaya kerana CTOS bukan hanya mendedahkan maklumat kewangannya, tetapi mencetak dan menjual maklumat itu kepada bekas suaminya pada harga RM25.

“Saya hanya mengetahui perkara itu (penjualan maklumat oleh CTOS) selepas peguam saya memaklumkan dokumen itu kini digunakan peguam syariah bekas suami saya sebagai barang kes dalam perbicaraan tuntutan terhadap suami saya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Norhayati berkata, penjualan maklumat itu juga akan menimbulkan masalah kepadanya terutama untuk membuat pinjaman bank.

Sementara itu, Kayveas semalam berkata individu yang nama mereka disenarai hitam oleh CTOS perlu membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap syarikat itu.

Mereka juga boleh membuat laporan terhadap bank atau syarikat kewangan yang menolak permohonan pinjaman dengan alasan nama mereka disenarai hitam CTOS.

"Memandangkan Kabinet belum membuat sebarang keputusan berhubung isu ini, saya fikir tindakan sementara yang perlu dilakukan orang ramai ialah dengan membuat laporan polis dan inilah cara yang terbaik," katanya pada sidang media di Kota Bharu semalam.

Kayveas berkata, syarikat kewangan dan bank juga menganiaya orang ramai dengan menolak permohonan individu atas perkara yang tidak berkaitan dengan sejarah kewangan individu terbabit.

"Kalau masalah seseorang itu disebabkan latar belakang pinjaman kewangannya menyebabkan pihak bank menolak permohonannya, itu kita boleh terima, tapi hal lain seperti bil hospital atau saman PBT pun nak dilihat juga, susahlah," katanya.

Beliau berkata, sehingga kelmarin, pihaknya menerima lebih 1,200 e-mel daripada orang ramai yang membuat aduan mereka gagal mendapatkan pinjaman termasuk daripada agensi kerajaan kerana nama disenarai hitam CTOS.

"Hari ini ada orang mengadu bahawa dia tidak mendapat kelulusan satu agensi kerajaan untuk kegunaan anaknya yang melanjutkan pelajaran ke universiti kerana agensi terbabit merujuk kepada CTOS.

"Hal seperti ini bahaya kepada negara sebab maklumat rakyat dipegang satu syarikat swasta yang nama syarikatnya tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.