Saturday, 11 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : CTOS: Dakwaan Persatuan Bank dipertikai
Utusan Malaysia : CTOS: Dakwaan Persatuan Bank dipertikai PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 11:16

 

KOTA BHARU – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas mempertikaikan kenyataan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) bahawa ahli mereka tidak menggunakan maklumat yang dibekalkan oleh Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) sebagai rujukan.

Menurutnya, beliau telah dua tahun menjalankan kajian terhadap fungsi CTOS dan mempunyai banyak bukti bagaimana bank menjadikan CTOS sebagai rujukan utama mereka.

‘‘Bukan sahaja bank bahkan terdapat agensi kerajaan didapati menggunakan CTOS sebagai rujukan,’’ katanya.

Kayveas berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Kelantan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas penafian ABM yang mengatakan ia tidak menjadikan CTOS sebagai rujukan utama seperti yang disiarkan dalam satu laporan televisyen RTM malam tadi.

Kayveas berkata, beliau tidak gentar jika CTOS mahu menyamannya ekoran kenyataan yang dilemparkannya terhadap syarikat itu sebelum ini.

Menurutnya, beliau mempunyai banyak maklumat mengenai CTOS dan sedia mendedahkannya di mahkamah jika beliau disaman.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang pinjamannya tidak diluluskan hanya kerana nama mereka terdapat dalam senarai CTOS supaya membuat laporan polis bukan sahaja terhadap agensi itu malah kepada bank yang enggan memberi mereka pinjaman.

Beliau berkata, perbuatan CTOS menjual maklumat mengenai rekod kewangan orang ramai menyalahi undang-undang apatah lagi Bank Negara Malaysia sudah memberi arahan kepada bank supaya tidak menggunakan CTOS lagi.

‘‘Mana-mana orang yang hendak buat pinjaman, tetapi bank kata awak tidak boleh buat sebab nama ada dalam CTOS, saya minta mereka membuat laporan polis terhadap bank dan CTOS,’’ tegasnya.

Beliau menambah, hari ini beliau ada menerima e-mel daripada seorang bapa yang menjadi penjamin. Bapa itu mengadu gagal membuat pinjaman pelajaran dengan agensi kerajaan bagi anaknya kerana namanya terdapat dalam senarai CTOS.

‘‘Mengapa orang yang tidak bersalah perlu jadi mangsa? Mengapa orang yang sudah bebas daripada bankrap terus jadi mangsa?

‘‘Setiap orang memerlukan peluang kedua. Ekonomi sendiri ada masa naik dan ada masa turun.

‘‘Masa gawat ramai yang jatuh tapi sekarang mereka sudah naik balik. Apa masalahnya,” kata beliau.