Thursday, 02 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Bernama : Syor Tubuh Suruhanjaya Harga
Bernama : Syor Tubuh Suruhanjaya Harga PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:14

20 Sept 2007 

Pengguna sememangnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah peniaga. Antara sedar atau tidak, pengguna sentiasa menjadi mangsa penipuan segelintir peniaga yang tidak takut langsung jika dikenakan tindakan undang-undang.

FOMCA sekali lagi mendesak KPDNHEP supaya menggubal Akta Perdagangan Adil bagi mengawal selia aktiviti perniagaan yang bersifat mengambil untung.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata, dengan adanya akta itu, pihak KPDNHEP boleh mengenakan tindakan terhadap peniaga yang mengaut keuntungan secara berlebihan.

Dalam masa yang sama, beliau sekali lagi mengulangi syor FOMCA supaya ditubuhkan Suruhanjaya Harga.

"Pada masa ini, permohonan kenaikan harga barangan yang dikawal dan tarif perkhidmatan (syarikat utiliti atau konsesi penswastaan) hanya dibuat oleh pihak pengeluar atau syarikat dengan kerajaan sahaja tanpa penglibatan wakil pengguna.

"Suruhajaya Harga yang dianggotai wakil dari agensi kerajaan, syarikat swasta dan wakil persatuan pengguna akan menimbangkan kewajaran permohonan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan," kata Mohd Yusof.

Malah, katanya, Suruhanjaya Harga juga boleh membuat keputusan tentang harga barangan atau perkhidmatan sekiranya harga atau tarif sudah lama tidak disemak semula, walaupun tiada permohonan dibuat.

Perkembangan hari ini ternyata semakin menuntut masyarakat pengguna di negara ini supaya benar-benar menggunakan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Menurut Mohd Yusof, pengguna perlu melaksanakan empat elemen yang diuar-uarkan dalam kempen pengguna bijak KPDNHEP iaitu beli barangan berkualiti, buat perbandingan harga, pilih perkhidmatan terbaik dan buat pilihan yang tepat.

Pengguna juga, katanya perlu tampil membuat aduan sekiranya mereka mendapati kenaikan harga barangan yang mendadak di pasaran.

Aduan boleh disalurkan ke Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP melalui talian hotline 1-800-886-800, laman web: http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau sms: 32255 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional melalui telefon 03-78779000 atau layari laman web: www.nccc.org.my.

"Aduan daripada pengguna amat penting kerana ia membantu FOMCA untuk mengetahui sekiranya berlaku kenaikan harga barangan yang mendadak di pasaran, yang mungkin disebabkan manipulasi harga oleh pihak pengeluar, pemborong atau peruncit.

"Di samping itu, aduan ini juga membolehkan pihak penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap premis berkenaan," kata Mohd Yusof.

Walau apa pun saranan, syor atau penguatkuasaan yang dibuat, segala-galanya masih terletak di tangan pengguna. Sama ada mereka mahu berbelanja seperti tiada penghujungnya atau menjadi lebih berhemat dan bijak atau membeli apa yang mampu sahaja.

Malah pengguna juga boleh maju setapak lagi dengan memboikot peniaga yang tamak, pilihlah!