Thursday, 02 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Bernama : Waspada Gimik Jualan Musim Perayaan
Bernama : Waspada Gimik Jualan Musim Perayaan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:14

 

KUALA LUMPUR, - Bagi sesetengah orang, berbelanja besar untuk menyambut musim perayaan merupakan suatu kemestian. Tidak lengkap rasanya jika tidak menukar perabot atau memiliki peralatan elektrik yang canggih.

Malah ada yang sanggup berbelanja berhabis-habisan agar segala yang ada di dalam atau di luar rumah bukan sahaja berjenama malah serba-serbi baru.

Tabiat buruk sesetengah pengguna ini juga membuatkan ada syarikat yang licik mengatur strategi untuk menghasilkan pelbagai bentuk iklan yang boleh mempengaruhi pengguna supaya menjadi boros berbelanja.

Semakin hampir hari raya umpamanya, semakin hebat juga "perang iklan" dengan perkataan-perkataan "harga runtuh", "harga menjunam" dan "tawaran terhebat" menjadi pemancing perhatian.

ANSURAN SEBAGAI ALTERNATIF

Bagi mereka yang kurang berkemampuan, membayar secara ansuran dilihat sebagai satu cara alternatif dan mudah untuk memiliki barangan yang diidam-idamkan atau yang amat diperlukan.

Bagaimanapun, sekiranya pengguna tidak bertindak bijak, pembelian secara ansuran ini mungkin akan mencetuskan pelbagai masalah.

Dalam sesetengah kes, ada barangan yang dibeli secara ansuran terbukti rendah kualiti dan tidak setimpal dengan harga yang dibayar.

Tidak sampai beberapa bulan digunakan, barangan yang dibeli rosak kerana mutu yang ternyata rendah sedangkan harga yang dibayar didapati kemudiannya tinggi berbanding jika dibeli secara tunai di kedai lain.

Bak kata hutang ansuran belum lagi langsai barangan pula sudah tidak boleh dipakai. Dalam hal ini, mungkin pepatah "nasi sudah menjadi bubur" walaupun pahit untuk ditelan tetapi boleh dijadikan teladan. Siapa yang hendak dipersalahkan jika bukan diri sendiri!

TERPAKSA BAYAR LEBIH

Menurut Pengarah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Darshan Singh, lazimnya pengguna akan membayar kos yang lebih bagi satu-satu barangan jika membuat pembelian secara ansuran.

Pengguna, jelasnya perlu faham apabila mereka membeli di bawah skim bayaran ansuran, mereka akan terpaksa membayar dengan harga yang lebih tinggi.

"Dalam urus niaga sebegini, mungkin tidak ada perkataan faedah digunakan tetapi harga sesuatu produk akan melonjak naik. Oleh yang demikian, pengguna perlu sentiasa berwaspada terhadap taktik sesetengah peniaga yang mahu mengabui mata pengguna," tambah beliau.

Justeru, katanya berhati-hatilah jika berdepan dengan tawaran jualan yang berlindung di sebalik skim seperti 'bayaran mudah' atau 'tiada faedah dikenakan'.

"Jangan biarkan iklan mempengaruhi keputusan kita dan jangan benarkan iklan menjadi punca utama maklumat sesuatu barangan atau perkhidmatan. Kita perlu cari sumber maklumat yang lain," nasihat Darshan.

Meluangkan masa untuk mengumpul sebanyak maklumat yang mungkin sebelum membuat sebarang pembelian dengan mendapatkan penjelasan yang secukupnya daripada penjual merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan pengguna ditipu.

Jika terlalu banyak keraguan, mungkin lebih baik lupakan sahaja hasrat untuk membuat pembelian!

JANGAN IKUT NAFSU

Kata Darshan, syarikat yang mahu meraih keuntungan akan menyusun pelbagai strategi pemasaran untuk memancing perhatian pengguna dan memerangkap mereka supaya membuat pembelian.

Menurut beliau, apabila pengguna bercadang mahu membeli menerusi skim bayaran ansuran, perkara pertama yang perlu diingat ialah jangan membiarkan nafsu mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat.

"Ukur baju di badan sendiri. Dalam banyak kes, ada yang membeli di luar kemampuan. Sebagai contoh janganlah beli televisyen plasma bernilai RM16,000 sedangkan anda hanya mampu membeli set tv 16 inci.

"Bila anda tak boleh membayar dan nama disenarai-hitamkan oleh satu-satu pihak, jangan pula nak mengadu," kata Darshan.

TIDAK CUKUP PERLINDUNGAN

Beliau berpendapat, skim bayaran ansuran tidak memberi perlindungan yang secukupnya untuk pengguna di negara ini.

"Syarikat bebas menawarkan skim bayaran secara ansuran. Skim ini juga tidak termasuk dalam Akta Sewa Beli (Hire Purchase Act) 1967.

"Apa yang kita perlukan ialah Akta Kredit Pengguna (Consumer Credit Act) seperti yang diamalkan di United Kingdom bagi mengawal semua urusan kredit pengguna," tegas Darshan.

Beliau kemudiannya menasihatkan pengguna supaya berhati-hati juga jika ditawarkan skim bayaran mudah terutamanya yang dibuat melalui penggunaan kad kredit.

Menurut beliau, di bawah skim tersebut syarikat akan bekerjasama dengan bank untuk membiayai produk tertentu.

"Biasanya di bawah skim ini bayaran untuk pembelian akan dbuat dengan kad kredit bank berkenaan. Bayaran ansuran meliputi tempoh antara sembilan bulan hingga setahun. Jika pengguna gagal membuat bayaran, pengguna akan dikenakan kadar faedah yang biasanya dikenakan ke atas kad kredit," jelas Darshan.

ADUAN KEPADA NCC

Setakat ini bagi tahun 2007, NCC telah menerima sebanyak 42 aduan daripada pengguna yang ada kaitannya dengan skim bayaran ansuran. Aduan yang diterima pada 2006 ialah 55.

Aduan yang sering dikemukakan pengguna, kata Darshan ialah produk yang rosak, isu jaminan dan "warranty", penarikan balik (repossession) yang tidak adil, produk gantian yang gagal dihantar serta penyenaraian hitam yang tidak adil dilakukan oleh agensi rujukan kredit.

Dalam banyak hal, Darshan menekankan pendidikan adalah amat penting untuk melindungi hak pengguna.

"Sekiranya pengguna masih beranggapan isu pengguna itu adalah isu remeh, sudah tentulah pengguna sendiri yang akan ditimpa kerugian. Mereka akan mudah menjadi mangsa pihak yang sememangnya sentiasa mencari mangsa yang leka dan alpa untuk diperdayakan," kata Darshan.

Pengguna yang ingin membuat sebarang aduan kepada NCCC boleh berbuat demikian dengan menelefon 03-78779000 atau laman web: www.nccc.org.my

-- BERNAMA