Thursday, 02 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Bernama : Harga Produk Bahan Bakar: Bersiap Sedia Untuk Satu Lagi Kenaikan
Bernama : Harga Produk Bahan Bakar: Bersiap Sedia Untuk Satu Lagi Kenaikan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:12

 

KUALA LUMPUR -- Pihak kerajaan beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa harga bahan minyak atau gas tidak akan dinaikkan pada tahun 2007.

Keadaan ini dijangka tidak dapat dipertahankan lagi apabila kita melangkah ke tahun baru memandangkan harga bahan bakar global terus melonjak.

Harga minyak menambah hampir AS$12 setong sejak awal Oktober dan mencapai paras AS$93.80 (kira-kira RM313) setong Isnin (30 Okt) dan mencapai AS$96.24 (kira-kira RM321) pada 1 Nov. Terdapat juga laporan yang menyebut harga minyak boleh mencecah AS$100 sekiranya faktor-faktor yang mempengaruhi kenaikannya bahan mentah itu berterusan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dipetik sebagai berkata pada 1 Nov "kerajaan tidak mampu lagi untuk terus memberikan subsidi petrol seperti sekarang dan sedang mengkaji jumlah yang boleh dipindahkan kepada pengguna (industri, perdagangan dan orang ramai) serta masa ia boleh dilaksanakan.

FAKTOR PUNCA LONJAKAN HARGA

Menurut Anthony Dass, Ketua Penyelidikan, Inter-Pacific Research, punca utama kenaikan semasa harga minyak ialah permintaan dan bekalan yang tidak berpadanan.

Beliau menambah permintaan untuk minyak begitu kukuh memandangkan pertumbuhan berterusan ekonomi global.

"Saya melihat kadar pertumbuhan sekitar 4.9 peratus untuk 2007 dan 2008, disokong oleh pertumbuhan yang lebih meluas. Hasil daripada pertumbuhan global yang teguh, paras inventori minyak semakin berkurangan.

"Oleh yang demikian, apa jua berita yang menggemparkan, sama ada yang berbentuk dasar atau isu geopolitik pasti memberi kesan berat kepada harga minyak," Dass memberitahu Bernama.

Ketegangan geopolitik terkini di rantau Timur Tengah adalah di antara Turki dan pemberontak Kurdish di utara Iraq. Penganalisis mengaitkan ketegangan yang melibatkan kedua-dua pihak itu sebagai antara faktor yang melonjakkan harga minyak global di samping cuaca musim sejuk dan kos pengeluaran yang semakin meningkat.

Menteri Minyak Qatar Abdullah al-Attiyah dipetik sebuah agensi berita asing sebagai berkata harga minyak yang diniagakan di sekitar AS$90 adalah hasil "politik dan spekulasi dan bukan berpunca daripada kejatuhan bekalan".

Beliau memberitahu pemberita di persidangan tenaga antarabangsa di London baru-baru ini bahawa "pasaran tidak dapat dikawal".

SUBSIDI BESAR

Umum mengetahui bahawa kerajaan memberikan subsidi yang amat besar untuk bahan bakar yang dijual di negara ini. Kerajaan pada hakikatnya menanggung beban yang amat berat dalam memberikan subsidi berkenaan.

Subsidi dalam konteks ini adalah wang yang dibayar oleh kerajaan kepada pengeluar atau penjual sesuatu barangan supaya harga runcit barangan tersebut dapat dikekalkan pada paras yang rendah berbanding kos sebenar atau harga pasaran. Langkah ini sebenarnya adalah untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung pengguna.

Jumlah subsidi yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan bergantung kepada penggunaan bahan bakar. Sebagai contoh, lebih banyak petrol digunakan, maka lebih tinggilah subsidi yang perlu dibayar oleh pihak kerajaan.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya baru-baru ini dipetik sebagai berkata kerajaan terpaksa menanggung subsidi berjumlah RM16 bilion bagi lapan bulan pertama tahun ini berikutan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Beliau bagaimanapun memberitahu kenaikan harga bahan mentah itu masih terkawal walaupun tahun ini berlaku kenaikan kadar inflasi sebanyak satu hingga dua peratus iaitu daripada lima peratus tahun lalu kepada tujuh peratus.

Apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 30 sen pada 28 Feb, 2006, langkah tersebut telah membolehkan kerajaan berjimat kira-kira RM4.4 bilion setahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu sidang akhbar sehari selepas kenaikan tersebut bahawa kerajaan akan menggunakan wang yang dijimatkan itu untuk membiayai projek pembangunan termasuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia.

HARGA YANG TIDAK TEPAT

Penganalisis pasaran Dass berpendapat selagi kerajaan mengekalkan pemberian subsidi untuk bahan bakar, ia akan menyebabkan berlakunya herotan harga yang besar yang boleh membawa kepada ketidakcekapan ekonomi.

Menurut beliau Petronas sepatutnya telah diberi ruang untuk menghapuskan subsidi berkenaan pada tahun-tahun di mana rakyat Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi yang mantap serta kuasa membeli yang kukuh.

"Pada saya sekiranya kita telah melakukannya pada masa itu, ia tidak akan mencetuskan kebimbangan yang serius seperti apa yang berlaku hari ini," katanya dengan menambah bahawa pertumbuhan ekonomi negara mungkin menjadi perlahan sekiranya kerajaan terus memberi subsidi untuk harga minyak.

Alasan beliau ialah wang yang ada untuk tujuan pembangunan akan berkurangan akibat apa yang ditakrifkan sebagai 'kos melepas' di antara subsidi dan pertumbuhan ekonomi.

BURUKNYA SUBSIDI

Prof Dr Tan Eu Chye dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya berkongsi kebimbangan Dass berhubung isu subsidi ini.

"Subsidi boleh diberi selagi ia boleh ditampung. Terlampau banyak subsidi adalah buruk kerana ia tidak mencerminkan kos ekonomi yang sebenar dan ini boleh mencetuskan penggunaan yang berlebihan hingga kepada tahap pembaziran. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan juga boleh menyebabkan pencemaran teruk alam sekitar," beliau memberitahu Bernama.

Prof Tan seterusnya menjelaskan harga minyak yang terus-menerus meningkat serta krisis pinjaman perumahan di Amerika Syarikat meningkatkan risiko stagflasi (kelembapan dan inflasi) ekonomi global.

"Memandangkan Malaysia adalah negara pengeksport minyak dan kerajaan berada dalam kedudukan fiskal atau kewangan untuk mengimbangi sedikit sebanyak kejutan luaran, impak ke atas ekonomi Malaysia masih boleh dikawal.

"Bagaimanapun, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Jika berlaku kenaikan harga petrol dan gas, mereka perlu melihatnya sebagai satu masalah sejagat. Berjimat-cermatlah bila keadaan memerlukan dan biarkan kuasa pasaran menentukan arahnya," beliau menjelaskan lebih lanjut.

MASIH RENDAH

Kenaikan sebanyak 30 sen harga runcit petrol, diesel dan LPG pada 2006 meletakkan harga runcit petrol premium RON97 yang dijual di Semenanjung Malaysia pada kadar RM1.92 seliter, petrol RON92 pada RM1.88 seliter, diesel RM1.581 seliter dan LPG RM1.75 sekilogram.

Tanpa subsidi dan pengecualian cukai, harga runcit bagi RON97 di Semenanjung Malaysia ialah RM2.46 seliter, RON92 pada RM2.37 seliter, diesel RM1.98 seliter dan LPG pada RM3.21 sekilogram.

Kadar harga petrol premium RON97 sebagai contoh masih rendah jika dibandingkan dengan yang dijual di negara-negara jiran seperti Thailand (RM$2.52), Filipina (RM2.21), Singapura (RM4.15) dan Indonesia (RM2.30).

Dengan lonjakan semasa harga global minyak mentah, kerajaan nampaknya tidak dapat tidak terpaksa mengambil langkah yang amat digusari masyarakat pengguna khususnya. Menaikkan harga bahan bakar kepada kadar yang lebih tinggi merupakan langkah yang paling logik yang perlu dibuat oleh kerajaan.

TERPAKSA TERIMA

Pendek kata, masyarakat pengguna Malaysia secara umumnya terpaksa menghadapi satu lagi kenaikan sama ada disenangi atau tidak dan ini mungkin menjadi kenyataan dengan kedatangan tahun baru 2008.

Dass menjangkakan harga petrol mungkin meningkat di antara 15 sen hingga 30 sen seliter, bergantung kepada harga global minyak mentah.

Bagi harga gas pula (merujuk kepada gas yang dibekalkan oleh Petronas kepada Tenaga Nasional Berhad), beliau menjangkakan kadar baru harga di sekitar RM10 hingga RM15 bagi setiap sejuta British Thermal Unit (mmbtu) yang dibekalkan Petronas kepada Tenaga Nasional berbanding kadar semasa RM6.40.

"Kontrak Tenaga Nasional dengan Petronas tamat pada 2005 tetapi Petronas masih membekalkan gas kepada Tenaga Nasional pada kadar yang diberi subsidi.

"Tenaga Nasional mungkin terpaksa membeli gas pada kadar harga baru dan apabila itu berlaku, Tenaga Nasional mungkin tertekan untuk memindahkan kos kepada pengguna, bererti tarif elektrik mungkin terpaksa dinaikkan," kata Dass.

 

Oleh Melati Mohd Ariff

Bernama