Monday, 24 Nov 2014
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Bernama : Pengguna Semakin Perlu Bijak Dan Cerewet

Pengumuman

Bernama : Pengguna Semakin Perlu Bijak Dan Cerewet PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 17:06

28 Ogos 2007

 

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- "Jadilah pengguna yang cerewet". Demikian pesanan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal ketika merasmikan Hari Pengguna Bijak 2007 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

TIADA TANDA HARGA? ... Mengikut Akta Kawalan Harga 1946, terdapat peraturan Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit ) 1993 yang mensyaratkan semua peniaga yang menjual barangan runcit mempamerkan harga setiap jenis barang dengan jelas. Kelihatan gerai menjual buah-buahan ini tidak mempamerkan tanda harga dengan jelas. Foto: Melati Arif

Amat bertepatan sekali amanat Menteri berkenaan. Bersikap cerewet dengan meneliti harga, kualiti, label dan mencari alternatif sebelum membuat urusan membeli atau menggunakan sesuatu perkhidmatan mempunyai impak besar yang kita mungkin tidak sedari.

Sikap cerewet yang mungkin pada sesetengah orang dikatakan negatif dan membuang masa sebenarnya dapat melindungi diri kita daripada menjadi satu lagi statistik mangsa penipuan peniaga yang lahap dan licik.


PERLU SENTIASA BERINGAT

Meskipun gaji naik atau dompet masih tebal berisi, sebagai pengguna, kita jangan memberi ruang untuk diperdaya dengan bersikap gelojoh dan cepat "gelap mata" apabila melihat kain-kain rentang tawaran harga runtuh, jualan murah atau jualan musim perayaan.

Sebaliknya, kita hendaklah sentiasa memastikan perbelanjaan kita kekal berhemat, membeli bila dan apa yang diperlukan sahaja.

Kita juga perlu cekap bertindak dalam membuat keputusan untuk membeli atau tidak membeli apabila harga barang melambung terutamanya menjelang musim-musim perayaan seperti yang akan kita lalui tidak berapa lama lagi.

Pengumuman Belanjawan merupakan satu lagi ketika bila mana kecenderungan bagi peniaga yang tamak untuk mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd Roslan Mahayudin memberitahu Bernama pihaknya sudah mula menerima aduan mengenai kenaikan harga beberapa jenis barang seperti bawang dan ayam.

"Untuk ayam umpamanya, pihak kami akan menyiasat harga yang hampir mencecah paras harga siling RM6 sekilogram. Mungkin kerana sekarang ramai orang buat kenduri dan tambahan harga daging import yang tinggi. Kita berharap masalah bekalan daging ini dapat diselesaikan dengan cepat supaya tidak timbul masalah menjelang musim perayaan," katanya.

PERLU TERIMA HAKIKAT

Dalam beberapa keadaan, kenaikan harga barangan sememangnya tidak dapat dielakkan. Barangan yang tidak boleh disimpan lama seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan akan mengalami kenaikan harga apabila bekalan terjejas akibat faktor cuaca.

Harga daging yang diimport juga akan melambung tinggi sekiranya berlaku gangguan bekalan.

"Kita ini mengamalkan sistem ekonomi bebas dan kita tak mengawal harga semua jenis barangan. Dalam keadaan ini kadar harga ditentukan oleh kuasa pasaran apabila permintaan melebihi bekalan dan ini kita perlu terima hakikatnya.

"Bagaimanapun kita di kementerian akan mengesan jika peniaga mengambil kesempatan. Kalau alasannya munasabah, kita akan terima dan kita akan maklumkan kepada pengguna mengapa berlaku kenaikan," tambah Mohd Roslan yang menjelaskan pihaknya turut mengumpul maklumat daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain untuk mengetahui dengan cepat kedudukan bekalan sesuatu barangan.

Dalam masa yang sama, beliau meminta pengguna supaya turut bijak bertindak apabila keadaan tersebut berlaku.

"Jika harga sesuatu barang naik, carilah alternatif. Kalau biasa gunakan bawang dari India, gunakan pula bawang dari Indonesia atau Thailand. Penggunaan bawang juga bukan sesuatu yang wajib, ia sekadar menyedapkan masakan.

"Pengguna tak boleh nak amalkan rutin mereka sepanjang masa. Inilah peranan pengguna. Bijak menggunakan wang mereka, beli barang yang perlu dan jika mendapati ada berlaku sesuatu yang melanggar peraturan, maklumkan kepada kementerian, kita boleh ambil tindakan," nasihat Mohd Roslan.

Pengguna, katanya boleh menelefon Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di nombor 03-88825500 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Aduan juga boleh dihantar menerusi emel kepada This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it atau kepada http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

SKIM KAWALAN HARGA

Pengguna mungkin boleh menarik nafas lega kerana pihak KPDNHEP di samping menjalankan pemantauan harga turut akan menguatkuasakan Skim Kawalan Harga (SKH) menjelang dua musim perayaan iaitu Hari Raya Puasa dan Tahun Baru Cina.

Malahan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP akan mula mengambil langkah berjaga-jaga menjelang September lagi.

"September, Oktober dan November adalah tempoh untuk kita berjaga-jaga bila kerajaan akan mengumumkan pelbagai insentif untuk kakitangan kerajaan serta rakyat," jelas Mohd Roslan.

Menurut beliau, pihaknya mempunyai Prosedur Piawaian Operasi untuk membolehkan langkah yang sewajarnya diambil apabila keadaan memerlukan.

Beliau yang memberi amaran kepada para peniaga supaya jangan mengambil kesempatan berkata pihaknya akan menggunakan apa jua cara pun untuk memastikan pengguna tidak dianiayai melalui kenaikan harga atau penyelewengan, penipuan harga atau barang.

Mohd Roslan menjelaskan, lazimnya menjelang Hari Raya Puasa (bermula awal Ramadan) dan Tahun Baru Cina, pihak KPDNHEP akan menguatkuasakan Skim Kawalan Harga (SKH) bagi mengawal harga barang-barang keperluan tertentu bagi tempoh yang tertentu.

Tambahnya, di sepanjang tempoh tersebut, KPDNHEP akan mewartakan 19 jenis barang sebagai barang kawalan harga di bawah Akta Kawalan Harga 1946.

"Harga siling ini adalah untuk memastikan pengguna dapat menikmati harga barangan pada kadar yang munasabah. Dalam menentukan harga siling ini, kita kaji trend harga yang ada sebelum itu, harga daripada pembekal serta membandingkannya dengan harga di tahun-tahun lepas.

"Yang penting di sini penepatan harga perlu tepat. Kita tidak mahu ia terlalu rendah sehingga merugikan peniaga dan jika terlalu tinggi akan membebankan pengguna," jelasnya.

OPS GAJI

Selain alasan kekurangan bekalan, kenaikan gaji yang dinikmati oleh 1.2 juta kakitangan awam 1 Julai lalu dikaitkan sebagai antara faktor berlakunya kenaikan harga barangan.

Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, menurut Mohd Roslan telah turun padang dengan melancarkan operasi memeriksa secara harian pelbagai premis perniagaan bermula 21 Mei lepas.

Antara premis yang diperiksa meliputi antaranya kedai runcit, pasar awam, pasar malam (termasuk pasar tani), pasar tamu, pasar raya, hipermarket, kedai makan, restoran, gerai makan dan R&R lebuh raya.

Sebanyak 381,547 premis telah diperiksa sepanjang tempoh 21 Mei hingga 15 Ogos 2007.

Hasil pemeriksaan sepanjang tempoh berkenaan menghasilkan 728 tindakan di ambil di bawah Akta Kawalan Harga 1946 (451 kes), Akta Perihal Dagangan 1972 (74 kes), Akta Timbang dan Sukat 1972 (177 kes), Akta Kawalan Bekalan 1961 (10 kes) dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (16 kes).

Selangor menduduki tempat teratas dari segi kes tindakan yang dikenakan iaitu 173 kes, diikuti Perak (98 kes), Sarawak (93 kes), Kuala Lumpur (50 kes) dan Sabah (48 kes).

Jumlah rampasan barang yang dibuat bernilai RM429,738.50 sementara nilai kompaun dikeluarkan ialah RM202,830.

"Kita dapati memang ada kenaikan sedikit tetapi ada juga barang yang turun harganya. Barang yang naik seperti susu tepung, susu pekat manis dan minyak masak. Bagaimanapun kenaikan tidak melebihi 10 peratus.

"Dalam setiap tindakan kompaun yang kita keluarkan, kita pastikan setiap peniaga bukan setakat membayar kompaun. Kita mahu memastikan peniaga itu tahu kompaun itu sebagai satu hukuman untuk kesalahan yang dia lakukan," kata Mohd Roslan.

TANDA HARGA

Di bawah Akta Kawalan Harga 1946, terdapat peraturan yang dinamakan Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 yang mengkehendaki semua peniaga yang menjual barangan runcit mempamerkan harga setiap jenis barang dengan jelas.

Nampaknya akta dan peraturan tersebut diambil mudah oleh peniaga. Ini jelas daripada statistik jumlah tindakan kes di bawah Ops Gaji di mana hampir 62 peratus adalah kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga 1946.

"Sesiapa yang berniaga mahupun hanya menjual pisang goreng mesti meletakkan tanda harga. Dalam melaksanakan peraturan ini, kita telah memberikan banyak kelonggaran. Yang penting di sini tanda harga itu jelas atau tidak, kalau tak jelas kita tak benarkan," tegas Mohd Roslan.

Pengguna, menurut beliau perlu menggunakan kuasa pengguna untuk bertanyakan harga kepada peniaga yang gagal meletakkan tanda harga.

"Di sinilah program kita untuk mendidik pengguna tetapi kesannya nampak begitu perlahan. Ada pengguna yang seperti tidak kisah mungkin kerana mereka mempunyai wang yang banyak.

"Kalau seorang mempersoalkan mengapa harga berbeza atau lebih tinggi daripada biasa dan kalau semua pengguna kemudiannya berbuat begitu, lama kelamaan peniaga pun akan berubah sikap," kata Mohd Roslan.

ILMU KEPENGGUNAAN

Kerajaan melalui KPDNHEP menjalankan pelbagai program dan kempen untuk meningkatkan tahap kepenggunaan di negara ini supaya pengguna bukan sahaja tahu hak mereka sebagai pengguna tetapi bijak berbelanja.

Usaha yang sama juga giat dilaksanakan oleh pelbagai persatuan pengguna serta pertubuhan bukan kerajaan untuk mendidik masyarakat pengguna negara ini supaya peka dengan hak serta kuasa mereka sebagai pengguna.

Namun tahap kepenggunaan di kalangan pengguna negara ini mungkin masih belum sampai kepada peringkat yang diharapkan.

Dari skel 1 hingga 10, Mohd Roslan meletakkan tahap kesedaran kepenggunaan di Malaysia pada angka lima.

"Pengguna yang bijak akan kurang menggunakan campur tangan kerajaan. Pengguna di negara maju boleh bertindak sendiri sama ada mereka tidak membeli sesuatu barangan itu atau mengambil tindakan menerusi persatuan pengguna tanpa campur tangan pihak berkuasa.

"Sebenarnya tindakan pengguna boleh memaksa pengeluar sesuatu barangan mengikut kehendak mereka. Misalnya jika sesuatu barang yang dikeluarkan tidak mematuhi standard, barang permainan ada toksik, mereka boikot dan masukkan maklumat dalam laman web, buletin persatuan pengguna dan dengan cara demikian pengeluar akan menarik balik barangan itu dari pasaran," demikian pandangan Mohd Roslan.

-- BERNAMA

Oleh Melati Mohd Ariff