Tuesday, 19 Mar 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2007 Utusan Malaysia : Pastikan Rhodamine B tiada dalam makanan
Utusan Malaysia : Pastikan Rhodamine B tiada dalam makanan PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 16:22

23 November 2007

 

FORUM 

PERATURAN makanan seolah-olah diperolok memandangkan penggunaan Rhodamine B masih berleluasa di sebalik pengharamannya sejak lebih 50 tahun lalu. Dalam ujian terbaru kami November lalu, kami temui Rhodamine B dalam sampel belacan dan kuih Cina.

Sampel ini dibeli dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, iaitu tempat yang sama kami membeli sampel untuk ujian pada bulan April dan Mei. Dalam ujian tersebut, Rhodamine B ditemui dalam lima sampel belacan dan lapan sampel kuih Cina seperti Mi Ku, Siew Koo dan Huat Kuih.

Sampel belacan dibeli dari pasar di Kuala Lumpur sementara sampel kuih Cina dibeli dari beberapa buah pasar di Pulau Pinang.

CAP mula mengesan kehadiran Rhodamine B dalam belacan pada tahun 1973. Sejak itu, ujian selanjutnya yang dijalankan pada tahun 1983, 1993, 1995, 1999, 2000, 2001, 2002 dan Mei, 2007 mengesan pewarna ini dalam belacan dan lain-lain makanan.

Setiap kali kami temui pewarna ini dalam makanan, kami akan menghantar surat kepada Kementerian Kesihatan dan memintanya menyiasat perkara tersebut.

Bagaimanapun, keadaannya masih tidak menunjukkan kemajuan kerana hasil ujian kami mendapati Rhodamine B masih digunakan dalam makanan sungguhpun ia telah diharamkan sejak setengah abad yang lalu.

Rhodamine B merupakan bahan penyebab kanser yang menghasilkan warna merah jambu. Ia tidak sepatutnya digunakan sebagai bahan pewarna untuk makanan. Ia hanya dikhususkan untuk mewarnakan barangan plastik dan tekstil.

Di bawah Peraturan Makanan 1985, penggunaan Rhodamine B tidak dibenarkan dalam makanan. Sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Rhodamine B juga tidak dibenarkan dalam makanan di bawah Ordinan Makanan dan Ubatan 1952. Ini bermakna pewarna ini telah diharamkan dalam makanan sejak lebih 50 tahun.

Hasil ujian terbaru kami ini jelas menunjukkan undang-undang tidak cukup ketat untuk menghalang pesalah daripada menggunakan pewarna ini dalam makanan.

Kanser merupakan pembunuh yang utama di Malaysia dan semakin ramai penduduk Malaysia menghidapinya. Pengambilan bahan penyebab kanser dalam makanan merupakan punca utama kanser di Malaysia.

Sehubungan dengan penemuan terbaru kami, Persatuan Pengguna Pulau Pinang sekali lagi menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengambil langkah-langkah yang berikut:

Menguatkuasakan dengan tegas Peraturan Makanan 1985.

Menyiasat dan mendakwa sesiapa sahaja yang didapati menggunakan pewarna dalam makanan yang undang-undang tidak membenarkan ia diwarnakan.

Menghentikan penjualan pewarna gred industri (diharamkan untuk makanan) dalam jumlah yang sedikit untuk mencegah penyalahgunaannya.

Tidak menggalakkan pengendali dan pengeluar makanan daripada menggunakan pewarna kimia memandangkan ia berbahaya dan sama sekali tidak diperlukan.

Mengadakan kempen media untuk tidak menggalakkan pengguna daripada membeli makanan yang mengandungi pewarna dan mendidik mereka cara-cara membaca label makanan dengan sempurna.

Menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas semua makanan yang dijual untuk memastikan ia bebas daripada pewarna yang diharamkan dan bahan kimia bertoksik.

– S. M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP