Thursday, 23 Oct 2014
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Memilih Makanan Yang Sihat

Pengumuman

Memilih Makanan Yang Sihat PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 14 September 2009 14:25

Memilih Makanan Yang Sihat

Memilih makanan yang sihat serta risiko mendatangkan penyakit yang rendah untuk kanak-kanak adalah satu perkara yang bukan mudah. Kini pelbagai makanan ringan ataupun makanan siap untuk dimakan tersedia di kedai-kedai mahupun di supermarket di merata tempat. Sebagai ibu bapa atau penjaga kanak-kanak, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengawasi dan mengawal pola makan dan jenis makanan untuk kanak-kanak.

Kajian Mindy Hermann, R.D., seorang ahli gizi menyatakan bahawa rata-rata pola pemakanan dan jenis makanan yang dimakan oleh kanak-kanak sekarang lebih banyak memberi kesan buruk kepada tumbesaran berbanding kebaikannya. Menurutnya, para ibu bapa atau penjaga perlu memilih makanan yang benar-benar diperlukan bagi perkembangan kesihatan anak-anak mereka.

Kanak-kanak sepatutnya dielakkan daripada mengambil makanan ringan yang tidak mendatangkan faedah semasa tumbesaran mereka. Berikut adalah beberapa jenis makanan yang perlu dikurangkan sebanyak mungkin.

Donat
Setiap Donat mengandungi 200 hingga 300 kalori yang kebanyakannya dipenuhi dengan pelbagai jenis lemak dan trans-fatty acid yang boleh tersumbat dalam saluran-saluran arteri.

Nugget ayam
Makanan ini penuh dengan lemak. Nugget dan sosnya banyak mengandungi sodium yang biasanya menyebabkan darah tinggi untuk orang dewasa.

Kentang goreng
Biasanya disebut french fries ini mengandungi lemak yang cukup tinggi dan hanya sedikit mengandungi vitamin. Sebaiknya kanak-kanak tidak terlalu banyak makan makanan ini. Boleh diberikan sesekali tetapi kadar yang kecil.

Kerepek atau keropok
Terdapat berbagai-bagai jenis kerepek atau keropok di pasaran seperti kerepek kentang, keropok udang, kerepek jagung mahupun Cheese puff. Sebahagian besar kandungannya ialah lemak, sodium dan kalori kosong. Kanak-kanak perlu dikawal makan segala jenis keropok atau kerepek ini.

Minuman perisa buah
Rata-rata minuman jenis ini hanya mengandungi 10% jus buah, bakinya adalah air dan pemanis walaupun dalam senarai kandungannya selalu tertulis 100% pati oren, anggur atau epal. Zat-zat dalam jus buah akan lenyap akibat dicampur dengan air dan pemanis. Jadi, berikan anak-anak buah-buahan yang segar atau jus buah yang diperah sendiri.

Minuman berkarbonat
Dalam satu botol atau tin minuman berkarbonat, ia mengandungi hampir 10 sudu gula yang boleh menyebabkan kegemukan dan kerosakan gigi. Malah, kanak-kanak yang lebih suka minum minuman ringan yang dikatakan mengandungi susu sebenarnya, tidak memperoleh kalsium yang mencukupi untuk tumbesaran tulang-tulang mereka.

Tentunya masih banyak lagi jenis makanan yang kurang baik untuk dimakan oleh kanak-kanak. Tetapi, apa yang penting adalah tanggungjawab kita semua untuk mengawal daripada memakan makanan seperti di atas. Kunci utama dalam menangani masalah pemakanan anak-anak kita adalah dengan mengawal dan mengelakkan makanan yang membawa kesan buruk. Berikan mereka makanan yang segar dan berkhasiat demi kesihatan dan tumbesaran yang lebih baik.

Petikan : Buletin Pengguna