Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Bernama : Tahun Yang Penuh Cabaran Untuk Pengguna Malaysia
Bernama : Tahun Yang Penuh Cabaran Untuk Pengguna Malaysia PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 10:22

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Tahun 2006 semestinya tahun yang begitu mencabar untuk pengguna Malaysia terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. Hari berganti hari, bulan silih berganti, perbelanjaan semakin meningkat sedangkan sumber kewangan begitu menghimpit kemampuan. Bagi sesetengah pula, keperitan untuk meneruskan kehidupan begitu terasa dalam 2006 hampir melabuhkan tirainya.

Beban kewangan ini begitu terasa terutamanya apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga runcit diesel dan petrol pada 28 Feb. Ramai yang mengeluh kecewa dengan kenaikan tersebut kerana sudah tentunya mereka perlu berbelanja lebih dan menghakis kemampuan kewangan yang ada.

Apa pun jua pengguna pada akhirnya terpaksa menanggung segala beban meskipun mereka mengharapkan pihak berkuasa melindungi mereka daripada menjadi mangsa pihak yang "menangguk di air keruh".

Bagi mereka yang berada mungkin tidak merasa sangat perit kenaikan tersebut berbanding golongan berpendapatan sederhana. Namun demikian, sebagai pengguna, kita perlu menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan. Mengubah cara hidup kita mungkin antara langkah bijak yang boleh kita lakukan selain memastikan setiap Ringgit yang dibelanja memenuhi keperluan tanpa menambah kesengsaraan hidup.

Sesetengah pihak berbalah pendapat sukar untuk melakukan demikian lebih-lebih lagi jika anda tinggal di Lembah Klang atau bandar-bandar besar di mana kos sara hidup telah melambung di luar jangkauan.

TERPAKSA MEMBAYAR LEBIH UNTUK PETROL, ELEKTRIK DAN AIR

Meskipun 2006 semakin hampir untuk kita tinggalkan, ramai yang masih belum dapat melupakan kejutan dengan kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen seliter.

Pihak kerajaan menegaskan kenaikan besar itu sebagai perlu dibuat bagi menangani kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia selain membendung peningkatan subsidi yang ditanggung kerajaan.

Anggaran penjimatan RM4.4 bilion dalam subsidi minyak akan digunakan untuk meningkatkan kemudahan prasarana awam.

Di samping petrol, pengguna juga berhadapan dengan kenaikan tarif elektrik dan air.

Untuk elektrik, kadar tarif naik purata 12 peratus berkuatkuasa 1 Jun. Tenaga Nasional Bhd memberi jaminan kenaikan tersebut tidak akan membebankan 60 peratus isi rumah yang bil elektrik mereka di bawah RM43.60.

Dalam hal air pula, di bawah kadar tarif yang baru, tiada kenaikan untuk 20 meter padu yang pertama. Pengguna akan terus membayar 57 sen bagi setiap meter padu. Mereka akan dikenakan bayaran 13 peratus bagi setiap meter padu yang digunakan untuk 15 meter padu yang berikutnya dan 17.6 peratus untuk setiap meter padu selepas 35 meter padu.

KRISIS KEKURANGAN BEKALAN GULA

Beban pengguna tidak berakhir di situ. Mereka terpaksa bergelut juga dengan masalah kekurangan bekalan gula yang berlarutan selama hampir enam bulan bermula Mac. Kekurangan ini hampir meledak menjadi krisis besar sebelum bermulanya bulan Ramadan.

Kekurangan ini yang memuncak pada bulan September membuatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan gula kasar dan gula halus sebagai komoditi kawalan. Langkah ini dibuat bagi menyekat pemborong daripada menaikkan harga bahan tersebut.

Di Semenanjung Malaysia, harga gula kasar ditetapkan pada RM1.45 satu kg dan gula halus RM1.55 satu kg sementara di Sabah dan Sarawak, harganya lebih 10 sen bagi setiap satu kg.

Beberapa faktor dikaitkan dengan kekurangan gula ini, satu daripadanya ialah ketidakmampuan pengeluar tempatan menambah pengeluaran sejajar dengan permintaan yang meningkat. Para pengguna yang cemas juga bertindak membeli gula sebanyak mungkin yang sudah tentunya menggembirakan hati peniaga-peniaga yang tamak.

Di tengah-tengah kemelut kekurangan gula ini, Presiden Persekutuan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), N. Marimuthu membuat kejutan dengan mencadangkan harga gula dinaikkan sebanyak 30 sen satu kg. Meskipun beliau percaya ia merupakan cadangan yang terbaik untuk merungkai masalah namun pengguna berfikiran yang sebaliknya.

Sebenarnya, pengguna perlu bersikap lebih bijak menangani isu kekurangan gula. Tambahan rakyat Malaysia gagal melihat bahawa kekurangan itu sebenarnya satu hikmah di mana mereka secara tidak langsung boleh mengurangkan pengambilan gula dalam diet mereka untuk kesejahteraan hidup mereka juga!

ADUAN PENGGUNA YANG BERULANG

Menurut Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), kebanyakan aduan yang diterima daripada pengguna pada 2006 lebih kurang sama dengan yang diterima pada 2005.

Aduan-aduan tersebut termasuk soal-soal rumah, bank, jualan langsung, makanan, iklan yang mengelirukan, sewa beli, produk berkaitan kesihatan, pusat menguruskan badan dan kecantikkan, jualan murah, pasar raya besar, telekomunikasi dan kedai pajak gadai.

Yang berbezanya jumlah aduan yang diterima tahun ini lebih banyak berbanding tahun lepas.

Menurut Pengarah NCCC, Darshan Singh, setakat Oktober 2006, pihaknya menerima 14,894 aduan mengatasi jumlah keseluruhan aduan yang diterima pada 2005 iaitu 14,801.

"Yang bagusnya ialah pengguna Malaysia menjadi lebih peka dengan hak mereka dan tidak gentar untuk tampil apabila mereka merasakan telah diperdaya," Darshan memberitahu Bernama.

Menyentuh tentang iklan yang mengelirukan serta ejen yang memberi gambaran yang salah, beliau mendakwa tidak ada agensi yang memantau secara rapi kegiatan pihak berkenaan.

Beliau berkata, Akta Perihal Dagangan 1972 merupakan akta utama mengawal iklan-iklan tetapi "saya tak pasti ada yang telah dikenakan tindakan setakat ini," katanya dengan menambah "iklan-iklan untuk industri tertentu dikawal oleh akta yang khusus tetapi setiap hari ada pihak yang melanggar peraturan akta tersebut."

Pada hakikatnya apa yang sering berlaku industri yang mengawal pihak yang sepatutnya menguatkuasakan peraturan, keluhnya.

"Tengok sahaja penipuan `gores dan menang' yang telah berlarutan bertahun-tahun lamanya tetapi pihak kami tidak nampak tindakan yang ambil oleh pihak berkuasa. Pengguna mengalami kerugian berjuta-juta ringgit setiap hari," tambahnya.

HALAL MASIH MENJADI KEBIMBANGAN UTAMA PPIM

Bagi pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), isu halal khususnya untuk barang-barang makanan, minuman serta pakaian masih menjadi kebimbangan utama Persatuan pada 2006.

Malah setiausaha agungnya, Datuk Dr Maamor Osman menyifatkan keadaan tersebut sebagai "amat serius".

Isu halal, katanya berlaku berulang kali kerana manipulasi pengeluar-pengeluar tertentu terhadap pengguna Islam yang jahil.

Dr Maamor mendakwa pihak berkuasa juga tidak serius untuk menghukum mereka yang melakukan kesalahan.

"Kurangnya rangkaian pemantauan yang boleh menggerunkan mereka. Ini terbukti di bawah KPDNHEP jumlah penguatkuasa hanya 1,700 orang hingga 2,000 sahaja yang terpaksa menguatkuasakan 10 Akta.

"Pendek kata, pada saya kerajaan tidak serius dalam menangani isu-isu berkaitan sensitiviti umat Islam. Kalau serius, mesti ada bukti keseriusan. Kalau tak ada akta buat akta cepat. Kalau tak cukup penguatkuasa, tambah penguatkuasa, tak cukup duit, tambah duit. Itu baru serius, ini perspektif pengguna," katanya panjang lebar.

Dr Maamor juga mengulangi pendirian PPIM supaya kerajaan mewujudkan Akta Produk Halal.

"Pihak kami telah memperjuangkan Akta Produk Halal ini sejak PPIM ditubuhkan 10 tahun lalu. Kita berkehendakkan Akta ini kerana ia memberikan kekuatan kepada pihak yang berkuatkuasa untuk mengambil tindakan," tambahnya.

PENGGUNA PERLU MENAMBAH ILMU

Memandangkan pengguna berhadapan dengan begitu banyak isu, sudah semestinya mereka sendiri perlu berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa penipuan.

Dr Maamor dan Darshan Singh senada dalam perkara ini.

Bagi diri Dr Maamor, pengguna mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan diri sendiri, melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, bergerak secara berkumpulan dan membuat senarai keutamaan dalam pembelian.

Darshan pula menjelaskan pendiriannya terhadap tiga perkara untuk perlindungan pengguna iaitu Pendidikan, Etika dan Penguatkuasaan.

Beliau berkata sekiranya pengguna berpengetahuan, peniaga akan menjadi lebih beretika kerana dia tahu sukar untuk menipu pengguna yang demikian. Penguatkuasaan yang baik pula, tambahnya akan menghapuskan peniaga yang penipu.

Menurut Darshan, dengan semakin berkembangnya globalisasi, pengguna dihujani pelbagai barangan dan perkhidmatan.

"Banyak jenis penipuan yang telah berlaku dan sedang berlaku. Sekiranya kita tidak berpengetahuan kita juga yang akan menanggung deritanya. Perniagaan semakin kreatif tetapi pengguna masih ketinggalan. Kita mesti tahu hak kita dan menggunakan hak ini apabila perlu," tegasnya.

-- BERNAMA