Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Utusan Malaysia - BERJIMAT PADA MUSIM PERAYAAN
Utusan Malaysia - BERJIMAT PADA MUSIM PERAYAAN PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 10:01

Utusan Malaysia - 2 October 2006

ALASAN bagi peniaga-peniaga untuk menaikkan harga bagi barang keperluan musim perayaan adalah mudah. Permintaan naik, maka wajar harga pun naik. Masa inilah bagi mereka untuk mengaut keuntungan berlebihan.

Maka pihak yang rugi ialah pengguna.

Ini adalah lumrah bagi sistem pasaran bebas dan terbuka. Bagi peniaga, pengguna tidak wajar mengeluh. Kalau tidak mahu rugi, tidak usahlah membeli, permintaan akan turun, dan harga juga turun.

Tetapi masalahnya tidak semudah itu. Pasaran yang dikatakan bebas dan terbuka adalah pada hakikatnya berbentuk monopoli dan pakatan. Pasaran terbuka dan bebas seharusnya menggalakkan persaingan. Jika persaingan berlaku, maka pengguna akan mendapatkan manfaatnya.

Maka pengguna wajar dilindungi oleh monopoli dan pakatan kartel kepada barangan pengguna. Kerajaan sebagai pihak yang wajib melindungi pengguna patut benar campur tangan.

Di sinilah kewajaran amaran yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada peniaga supaya jangan mengeksploit harga kepada barang keperluan musim perayaan.

Tetapi kita tidak percaya bahawa peniaga akan dengan mudah akur terhadap amaran kerajaan. Keuntungan yang dapat diperoleh terlalu besar untuk dilepaskan begitu saja. Musim perayaan merupakan peluang untuk mereka menambah rezeki, walaupun hingga ke tahap ketamakan.

Jika keadaannya demikian, pengguna mesti bertindak balas. Tetapi ia tidak boleh dilakukan secara orang perseorangan. Apabila pengguna tidak bersatu, maka sudah tentu mereka tidak berupaya berlawan dengan peniaga yang bersatu dalam pakatan menentukan harga.

Justeru, pengguna wajar bersatu sementara usaha mesti dilakukan untuk memecahkan pakatan harga para peniaga yang sememangnya bertentangan dengan amalan pasaran terbuka dan bebas.

Perpaduan para pengguna hanya dapat dicapai melalui persatuan-persatuan pengguna. Para pengguna mesti aktif dan menyokong persatuan-persatuan pengguna. Tanpa kekuatan persatuan pengguna, sistem perniagaan di Malaysia akan pincang dan berat sebelah kepada peniaga. Tetapi di atas segalanya ialah kepimpinan persatuan pengguna mesti benar-benar terserlah bagi menghadapi cabaran ini.

Ada dua kuasa pada pengguna. Pertama ialah tekanan kepada pihak-pihak yang mempunyai kuasa ke atas peniaga supaya lebih memberi perhatian dalam aspek melindungi kepentingan pengguna.

Satu lagi kuasa ialah dengan mengubah cara menyambut perayaan supaya tidak membebankan. Lakukan langkah berjimat dan elak daripada membeli barang yang harganya keterlaluan.