Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Utusan Malaysia - Tanam cili di pekarangan rumah
Utusan Malaysia - Tanam cili di pekarangan rumah PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 10:00

Utusan Malaysia - 2 October 2006 

PENGGUNA di negara ini baru sahaja berdepan dengan kenaikan harga ayam, kini masih lagi menghadapi masalah kenaikan dan kesukaran gula tetapi menerima perkhabaran paling baru:

Kemungkinan bekalan cili habis pada 16 Oktober ini, yakni dalam tempoh setengah bulan dari sekarang.

Benarkah cili tidak ada atau sengaja ditiadakan sebagaimana gula yang ada sebenarnya tetapi sengaja ditiadakan supaya harganya boleh dinaikkan, ekoran sikap para pemain pasaran yang lebih mengutamakan kepentingan sendiri dan tidak mempedulikan kesusahan orang ramai.

Dalam keadaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak seragam penjelasan dalam soal bekalan gula, khabar tentang kemungkinan bekalan cili mungkin habis perlu dicurigakan.

Bagaimanapun bagi melawan kekurangan cili dan sayur-sayuran yang lain jauh sebenarnya lebih mudah daripada untuk menghadapi kenaikan harga ayam dan masalah kekurangan gula kerana cili dan sayur-sayuran mudah ditanam, mudah tumbuh dan tempoh matangnya agak singkat.

Untuk menternak ayam sendiri memerlukan kawasan yang luas dan ia menjadi sesuatu yang mustahil kepada penduduk bandar, khususnya penguni rumah flat dan rumah pangsa. Tetapi kepada penduduk luar dan pinggir bandar ia tidak menjadi masalah.

Justeru itu masalah ayam dan kenaikan harga sayur-sayuran bukan menjadi masalah besar kepada penduduk luar bandar yang setiap keluarga akan ada menternak ayam secara bebas lepas (ayam kampung), itik serati, itik dan angsa yang boleh disembelih dijadikan lauk. Kenaikan harga ayam dan cili bukan menjadi bebanan bagi mereka.

Begitu juga dengan sayur-sayuran lain, bukan menjadi masalah kepada penduduk luar bandar dan pinggir bandar. Kalau pun malas tanam sendiri, boleh bertandang ke rumah jiran dan puji kesuburan tanaman kacang panjang, kangkung, petola, kacang bendi, kacang buncis, sawi, lobak, terung, cili dan sebagainya, pasti akan dapat percuma untuk sekali makan.

Ataupun boleh datang ke kawasan semak dan dapatkan pelbagai pucuk tumbuhan liar yang boleh dibuat ulam dalam bentuk segar.

Orang bandar, termasuk penghuni rumah flat dan rumah pangsa pun boleh mengambil bahagian dalam berperang melawan kekurangan dan kenaikan harga cili dan sayuran-sayuran yang lain dengan membina kesedaran kebangsaan menukar pasu tanaman bunga-bungaan untuk hiasaran dengan tanaman sayuran-sayuran.

Disiplinkan diri dan pembinaan kesepakatan untuk tidak menyeragamkan penanaman sayur-sayuran daripada jenis yang serupa antara satu jiran dengan jiran yang lain adalah penting bagi membolehkan bertukar-tukar jenis sayuran bagi mengelak rasa jemu kerana memakan sayur-sayuran yang sama.

Jika ditanam sepohon petola atau sepohon kacang panjang sahaja dan membiarkannya menjalar di pagar beranda rumah flat atau rumah pangsa, buahnya pasti tidak akan habis dikutip setiap hari di samping akan mewujudkan suasana hijau dan udaranya akan menjadi segar.

Apatah lagi kalau seorang penghuni mempunyai lima pasu bunga dan pasu-pasunya ditanam dengan petola, kacang panjang, kacang bendi atau kangkung biji, alamatlah satu blok rumah flat atau rumah pangsa tidak perlu membeli sayur-sayuran untuk menampung keperluan harian.

Jabatan Pertanian sudah pasti boleh membekalkan benih sebagai permulaan dan mengadakan siri ceramah penanaman, penjagaan termasuk pembajaan dan penyiraman yang betul supaya bukan sahaja tanaman sayur-sayuran dalam pasu akan tumbuh dengan subur tetapi buahnya juga berkualiti tinggi.

Kalaupun dibeli biji benih kacang untuk tanaman seratus pusingan bagi lima pasu kacang panjang misalnya, harganya belum pun mencapai harga sekilo kacang panjang yang dibeli di pasar. Benih juga boleh didapati di kampung bila sesekali balik bercuti.

Dalam keadaan para pemain pasaran mengambil kesempatan memainkan harga kerana sikap pengguna yang mahu segala-galanya dibeli, perubahan sikap patut dibuat dari mula untuk mengurangkan keperluan membeli dengan melebihkan keperluan diperoleh melalui titik peluh sendiri.

Biarlah kita hanya berdepan dengan masalah gula, masalah kenaikan harga ayam, tol dan macam-macam barangan yang tidak boleh kita hasilkan sendiri tetapi tidak dalam soal sayur-mayur yang kalau ditanam dalam pasu pun ia akan membuahkan hasil, apatah lagi bagi mereka yang ada halaman dan tanah kosong di tepi rumah.

Lebihan tempat dijadikan gelanggang badminton umpamanya, tanamlah dengan sayur-sayuran, menyangkul menggemburkan tanah juga adalah suatu senaman sebenarnya.

Jika kesedaran itu boleh menjadi kesedaran kebangsaan, rakyat negara ini bukan sahaja akan dapat memakan sayur tanpa membelinya tetapi sayur-sayurannya pula adalah bentuk segar. Saya sendiri cuba tanam sepuluh pokok kacang bendi di tepi rumah, hasilnya cukup bagus, ramai jiran-jiran yang tumpang nikmati bendi segar dan percuma berbulan-bulannya, malah ada yang sempat tua dan keras kerana terlepas pandang untuk dipetik.

Kini saya gantikan dengan kacang panjang, petola dan kangkung yang sedang tumbuh subur dengan junjung kacang dibuat hingga ke jendela bahagian dapur rumah supaya nanti kalau orang rumah saya sibuk, dia boleh buka jendela petik kacang panjang dan petola untuk paling tidak kacang panjang dibuat ulam mentah dan petolanya pula dicelur cecah budu. Saya lakukan begitu untuk buktikan bahawa untuk dapatkan punca sayur cukup mudah.

– RAMLI ABDUL HALIM,

Kota Bharu, Kelantan.