Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Utusan Malaysia - Dakwaan cili mungkin habis pertengahan Oktober disiasat
Utusan Malaysia - Dakwaan cili mungkin habis pertengahan Oktober disiasat PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 10:00

Utusan Malaysia - 2 October 2006 

 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memantau bekalan cili di dalam negara bagi memastikan kebenaran dakwaan bahawa bekalan cili mungkin habis pada pertengahan bulan ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Mohd Shariff Omar berkata, melalui tinjauannya di kebanyakan pasar tani dan pasaraya setakat ini mendapati tiada masalah kekurangan bekalan cili.

 

Beliau berkata, pada masa ini sebahagian besar daripada bekalan cili merah diperoleh daripada keluaran tempatan dan hanya sedikit diimport dari Thailand, Indonesia dan China.

“Kita akan teliti semua maklumat bekalan, baru boleh tahu betul atau tidak bekalan cili berkurangan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-sayuran Malaysia (PPPSM), Chong Tek Keong bahawa bekalan cili akan mengalami kekurangan dan kehabisan stok menjelang 16 Oktober ini.

Menurut laporan akhbar hari ini, faktor hujan dan masalah mendapatkan bekalan import dari Indonesia dan Thailand berikutan musim perayaan akan menyebabkan bekalan di pasaran tempatan berkurangan.

Mohd Shariff berkata, pada masa ini Malaysia memang mengimport dengan banyak cili api dari negara jiran berikutan permintaan yang tinggi terutama di kalangan pengusaha makanan ala Thai di negara ini.

Beliau berkata, kempen bumi hijau yang dianjurkan kementerian itu selama ini bertujuan menggalakkan orang ramai menanam sendiri sayur-sayuran dan cili supaya kerajaan dapat mengurangkan import bahan-bahan itu dari luar negara.

Selain mengurangkan import, katanya, ia juga boleh membantu orang ramai mengurangkan perbelanjaan dapur dan menggunakan wang yang dijimatkan itu untuk perkara lain yang lebih penting, umpamanya pendidikan anak-anak.

“Kalau mereka menyertai kempen ini, mungkin kita tidak akan menghadapi masalah yang terlalu besar sekiranya bekalan cili berkurangan atau apabila harga bahan itu naik,” katanya.

– Bernama

Last Updated on Friday, 11 September 2009 10:00