Saturday, 18 May 2024
You are here: Home NCCC di Pentas Media Pentas Media 2006 Utusan Malaysia - Pengguna beli dalam kuantiti kecil
Utusan Malaysia - Pengguna beli dalam kuantiti kecil PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 11 September 2009 09:59

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Rata-rata orang ramai berjimat-cermat membeli barang-barang keperluan harian terutama sayur-sayuran disebabkan terdapatnya peningkatan harga di pasaran.

Mereka juga didapati membeli sayur-sayuran dan keperluan lain seperti ikan dan ayam dalam kuantiti yang sedikit untuk mengurangkan perbelanjaan.

Ini kerana orang ramai terlalu berhati-hati memilih barang-barang yang perlu sahaja untuk dibeli dan mereka hanya membeli daripada peniaga yang menawarkan harga terendah.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Pudu di sini hari ini mendapati harga sayur-sayuran naik antara 20 sen dan RM1, ayam masih kekal pada harga siling RM5.40 manakala ikan pula tidak banyak berubah iaitu kekal pada harga RM5 dan RM7 sekilogram.

Seorang peniaga sayur-sayuran, Choo Choon Kiat berkata, antara sayur yang mengalami kenaikan harga ialah kubis bulat dan tomato.

Ini disebabkan permintaan menjelang perayaan dan masalah cuaca yang berlaku sekarang.

‘‘Jika sebelum ini sekilogram tomato kecil berharga RM1 tetapi kini RM1.20, manakala kubis bulat RM2 berbanding sebelum ini RM1.50.

‘‘Peniaga tidak boleh jual terlalu mahal ditakuti sayur tidak laku. Sayur-sayuran juga tidak boleh disimpan lama kerana mudah rosak.

‘‘Jika sebelum ini saya boleh jual dua kotak tomato tetapi sejak kenaikan harga hanya satu kotak sehari,’’ katanya.

Seorang lagi peniaga Chan Chen Chong, mendapati tidak semua sayur mengalami kenaikan harga.

‘‘Ada juga sayur yang turun harga seperti kacang panjang iaitu sebelum ini RM2.80 tetapi kini RM2.50 sekilogram.

‘‘Sayur yang mengalami kenaikan harga iaitu cili besar dan buncis. Jika sebelum ini cili besar berharga RM7 sekilogram tetapi kini RM8 dan buncis RM7 berbanding sebelum ini RM6.50 sekilogram.

‘‘Sawi dan bayam masih pada harga tetap RM2 sekilogram.

‘‘Orang ramai masih membeli seperti biasa walaupun ada harga yang meningkat, hanya kuantitinya sahaja dikurangkan,’’ katanya.

Jika sayur-sayuran ada yang mengalami kenaikan harga, berbeza pula harga ikan yang mengalami penurunan harga.

Seorang peniaga ikan, Palwih Minarferdi berkata, kebanyakan harga ikan mengalami penurunan harga.

‘‘Jika sebelum ini orang ramai sibuk dengan kenaikan harga ayam, tetapi kini ikan mengalami penurunan harga.

‘‘Bagi ikan selar sebelum ini berharga RM8 sekilogram, turun kepada RM7 sekilogram. Bagi ikan sardin dan cencaru masih kekal harga lama iaitu RM7 dan RM5 sekilogram,’’ katanya.

Sementara peniaga ikan air tawar, Mohd. Jumat Saidin berkata, ikan air tawar tidak mengalami perubahan harga seperti ikan air masin.

Sebagai contohnya ikan talapia hitam berharga RM4, keli RM5, todak RM3 dan talapia merah mengikut saiz iaitu bermula pada harga RM4.50.

‘‘Permintaan ikan air tawar sentiasa mendapat sambutan dari orang ramai yang menggemari ikan jenis ini. Lagipun tiada masalah untuk mendapatkan bekalannya di Pasar Borong Selayang,’’ katanya.

Peniaga ayam, Mohammad Akashah berkata, beliau tetap menjual ayam pada harga RM5 sekilogram walaupun harga ayam meningkat beberapa minggu lalu.

‘‘Disebabkan saya mendapat harga ayam yang lebih rendah, saya tidak pernah naikkan harga ayam.

‘‘Tidak mengapalah, asalkan saya mendapat untung walaupun sedikit.

‘‘Saya lihat orang ramai mengurangkan perbelanjaan jika sebelum ini membeli empat ekor ayam tetapi kini hanya dua ekor ayam sahaja,’’ katanya.

Beliau yang baru setahun berniaga di Pasar Pudu berkata, pada hari Sabtu dan Ahad permintaan ayam lebih sedikit berbanding pada hari-hari biasa.

Seorang lagi peniaga ayam, Efendi Rusli berkata, kini harga ayam berharga RM5.40 sekilogram seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

‘‘Walaupun harga RM5.40 tetapi disebabkan bekalan ayam banyak, saya menjual pada harga lelong RM5 sekilogram.

‘‘Saya tetap untung, ini semua sebagai taktik jualan dan hasilnya memuaskan.

‘‘Jika letak harga RM5.40 sekilogram, kebanyakan pembeli hanya lalu sahaja di depan kedai, tetapi apabila diturunkan kepada RM5, ada yang membeli antara dua hingga tiga ekor,’’ katanya.