Tuesday, 19 Mar 2024
You are here: Home
FOMCA terima banyak aduan kenaikan premium insurans PDF Print E-mail
Written by admin3   
Monday, 19 July 2021 13:06

Federation of Malaysians Consumers AssociationsJulai 16, 2021 @ 5:24pm
KUALA LUMPUR: Kenaikan mendadak harga premium insurans kesihatan antara 30 hingga 60 peratus antara tujuh aduan diterima Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berdasarkan 495 aduan yang diterima dalam tempoh dua minggu.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Saravanan Thambirajah, berkata isu itu dikesan membabitkan sebilangan syarikat insurans yang bertindak menaikkan harga premium insurans kesihatan sejak tahun lalu ekoran penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku ketika rakyat khususnya ada pelanggannya yang hilang kerja dan pendapatan.

"Apa pun alasan mereka (syarikat insurans) menaikkan harga premium insurans kesihatan, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu kawal selia dengan ketat.
"Pemberian moratorium tiga bulan pun tidak diuar-uarkan secara meluas berdasarkan makluman daripada BNM. Ia menyebabkan ramai orang tidak tahu mengenai moratorium berkenaan dan di pihak kami pun tidak mengetahui lanjut mengenai perkara ini kerana tiada jalinan komunikasi yang baik.

"Kita sudah memberitahu kepada mereka (syarikat insurans), jangan naikkan harga sebab pandemik COVID-19, sebab ada yang hilang kerja dan hilang pendapatan," katanya pada sidang media maya selepas menghantar memorandum kepada BNM yang diwakili Timbalan Gabenor, Abdul Rasheed Ghaffour, hari ini.

Pengurus Kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Baskaran Sithamparam, berkata lebih mendukacitakan ada pelanggan tidak dimaklumkan mengenai kenaikan harga yang perlu dibayar.

"Pelanggan tidak diberitahu mengenai kenaikan harga premium yang membebankan. Jika satu keluarga ada empat orang, insurans naik RM50... ia adalah peningkatan yang banyak. Jadi, pihak insurans kena maklumkan kepada pelanggan.

"Walaupun mereka (syarikat insurans) ada kuasa untuk naikkan caj perkhidmatan dan caj mutlak, syarikat insurans sepatutnya maklumkan perkara itu. Bank Negara juga kena lihat peratusan (kenaikan) dan sepatutnya kawal selia.

"Ketika negara masih berdepan pandemik COVID-19, syarikat insurans patut mengambil tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi diskaun atau moratorium sebab mereka ini jana jutaan ringgit," katanya.

Beliau berkata, aduan berkaitan industri insurans yang terkandung dalam memorandum itu adalah nilai tunai terkumpul dari semasa ke semasa dalam polisi yang digunakan untuk menampung jumlah premium yang disemak semula tanpa persetujuan pemegang polisi serta perubahan polisi dan premium apabila syarikat insurans baharu mengambil alih syarikat insurans lain

Ada juga aduan berkisar bayar dahulu dan tuntut polisi kemudian, pertikaian tuntutan, ciri tidak boleh dituntut pada kad perubatan dan istilah mengelirukan seperti terkandung dalam polisi.

Dalam perincian aduan yang dilihat BH, 58 peratus atau 285 daripada 495 pengadu mendakwa harga premium insurans kesihatan naik mendadak daripada RM300 kepada RM1,000.

Sebanyak 10 peratus pengadu mendakwa harga premium mereka meningkat kepada RM2,000 daripada RM1,000, manakala enam peratus pengadu mendakwa harga premium mereka naik sebanyak RM3,000 kepada RM5,000.

Hanya satu peratus pengadu mendakwa harga premium mereka naik dari RM5,000 kepada RM6,000.

 

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/840145/fomca-terima-banyak-aduan-kenaikan-premium-insurans