Friday, 23 Apr 2021
You are here: Home
Lesap RM77,000 diperdaya ejen jualan mesin penapis air PDF Print E-mail
Written by admin3   
Tuesday, 16 February 2021 15:54

Image result for scamSelasa, 16 Februari 2021 @ 3:30 PM

Ipoh: Sambutan Tahun Baru Cina kali ini menjadi detik hiba buat seorang wanita warga emas yang juga pesara kerajaan apabila wang simpanan bernilai lebih RM77,000 miliknya lesap selepas diperdaya seorang lelaki yang mendakwa sebagai ejen jualan dan selenggaraan mesin penapis air.

Naib Pengerusi MCA Ipoh Timur, Kathleen Wong Mei Yin, berkata mangsa, Ng Kam Moi, 80, didatangi suspek pada 3 Februari lalu yang ingin menjual mesin penapis air bernilai RM7,000 ketika mangsa bersendirian di rumahnya di Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan.

Menurutnya, mangsa membeli mesin berkenaan pada hari sama daripada lelaki itu sebelum suspek berulang kali mengunjungi rumah warga emas terbabit hampir setiap hari kononnya ingin menyelenggara kembali mesin dijualnya itu.

Katanya, bagaimanapun pada 9 Februari lalu suspek memasuki bilik tidur mangsa dan ternampak sijil simpanan tetap milik mangsa bernilai lebih RM76,000, menyebabkan suspek kemudiannya menawarkan mangsa untuk bantu menggantikan perabot serta membeli ubatan.

Kathleen Wong berkata, mangsa mendakwa suspek mahu menjadikannya sebagai ibu angkat berikutan dia mempunyai masalah penglihatan kronik selain buta sebelah mata.

"Suspek kemudian cadangkan mangsa menukar akaun simpanan tetap kepada bank lain atas alasan pulangan faedah lebih tinggi dan ia dipersetujui wanita itu. Mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank di Bercham mengeluarkan simpanan tetap dan sebahagian kecil simpanan biasa untuk dipindahkan ke akaun bank baharu.

"Suspek menolak permintaan mangsa yang mahu transaksi itu dibuat melalui cek atas alasan caj perkhidmatan tinggi. Mangsa bersama wang tunai yang dikeluarkan itu kemudiannya dibawa oleh suspek kononnya ke bank yang dicadangkankan lelaki terbabit.

"Ketika itu mangsa disuruh duduk di dalam kereta sementara sebelum dia diperkenalkan kepada seorang lagi lelaki yang didakwa kawan rapat suspek yang juga pengurus bank berkenaan untuk meminta pengesahan serta tandatangan mangsa," katanya dalam sidang media yang dihadiri warga emas itu di pejabatnya, hari ini.

Katanya, mangsa hanya sedar ditipu pada malam hari sama selepas mendapati sampul plastik diberikan suspek yang sepatutnya mengandungi sijil simpanan tetap bank baharu hanyalah kosong.

Susulan itu satu laporan polis dibuat mangsa itu di Balai Polis Sungai Senam, 10 Februari lalu.

Sementara itu, Kam Moi berkata, suspek sering berkunjung ke rumahnya ketika ketiadaan anak dan menantunya di rumah.

"Lelaki itu merupakan individu yang diperkenalkan ejen penyelenggaraan mesin penapis air yang pernah dibelinya sebelum ini. Hati saya sangat sakit memandangkan itu sahajalah wang simpanan selama 10 tahun yang saya ada. Ia berlaku pula ketika hampir sambutan Tahun Baru Cina," katanya.

 

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/675047/lesap-rm77000-diperdaya-ejen-jualan-mesin-penapis-air