Friday, 23 Apr 2021
You are here: Home
Guru rugi RM3,300 ditipu beli gelang emas PDF Print E-mail
Written by admin3   
Monday, 15 February 2021 14:46

Image result for scamIsnin, 15 Februari 2021 @ 2:31 PM
Kuantan: Hasrat guru wanita di Bentong untuk melaram gelang emas baharu lebur apabila dia diperdayakan seorang lelaki yang kononnya menawarkan harga promosi barang kemas berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 40 tahun melihat iklan barang kemas itu di Instagram sebuah kedai emas.

"Mangsa kemudian menghantar mesej ke dalam instagram berkenaan sebelum menerima mesej daripada lelaki yang mendakwa pekerja kedai itu.

"Hasil perbincangan dengan suspek, mangsa bersetuju untuk membeli barang kemas berkenaan dengan harga RM3,300 iaitu harga promosi diberikan lelaki itu," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, mangsa membuat pindahan wang sebanyak RM3,300 melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dalam satu akaun diberikan suspek.

"Selepas itu, mangsa baru menyedari yang akaun yang dipindahkan wang berkenaan adalah akaun peribadi dan bukan akaun syarikat milik kedai emas berkenaan.

"Mangsa yang menyedari dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam," katanya.

Katanya, modus operansi suspek adalah dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penjualan gelang emas yang tidak wujud sehingga pengadu mengalami kerugian sebanyak RM3,300 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/674694/guru-rugi-rm3300-ditipu-beli-gelang-emas

Last Updated on Monday, 15 February 2021 14:46